Tuesday, October 7, 2008

BEBERAPA CATATAN YANG TAK TERCATATKAN TENTANG AIDILFITRI
(i)

Saya balik beraya tahun ini di kampung dengan semangat yang seperti mengalahkan budak-budak. Sementelah anak-anak sudah bersedia menanti di kampung. Ketika takbir bergema, dan ketika masjid penuh sendat hingga ke luar, sangat syahdu. Ketika ini, saya benar-benar lupakan KL, lupakan Serdang, lupakan dunia kerja saya; lupakan di mana tempat saya bekerja. Dan kalau boleh buat pertama kalinya, saya mahu melupakan siapa bos saya dan nama bos saya sepanjang Syawal ini. Saya hanya ingin beraya dengan aman di kampung walau pun harga barang, harga daging dan beras fitrah melambung di Kedah (daging 1 kg RM 20.00 beb!, fitrah RM 7.00). Terasa betapa bodohnya kita yang hanya mendapat duit raya yang sekupang itu... Tak tahu bersyukur? Pala hotak hangpa!

(ii)

Sangat bermakna Aidilfitri bila melihat mak dan ayah masih sihat. Mak masih mampu membalutketupat dan memasak rendang. Kuih-kuih yang tradisional masih mampu dia buat (dalam sibuk-sibuknya menjaga tiga orang anak saya yang saya tinggalkan sejak sepuluh bulan lalu). Dua hari menjelang raya saya balik merengek-rengek macam budak; kepinginkan kerabu daging. Emak hanya tersenyum, dan menjelang Ramadan terakhir, ketika bersila untuk berbuka, emak bentangkan kerabu daging saya. Di KL takkan jumpa kerabu daging Kedah.

Ayah juga masih kuat. Cuma setahun dua ini, saya tidak merasa lemang buatan ayah. Adik saya, Nuar telah mengambil alih. Bila ayah saya pegang batang buluh, Nuar akan minta untuk dia yang buat. Hatta, masuk ke kebun getah mencari kayu api pun dia. Ayah akan jadi pemerhati sepanjang lemang dimasak, tanpa berkata apa-apa. Hanya melihat anak yang membakar lemang. Hanya berkata bila ada yang tak kena. Dan air tangan Nuar tak pernah mengecewakan. Barangkali berkat “kasih” mata ayah yang memandang. Nuar boleh menjadi pengganti ayah. Turun ke bendang pun dia lebih betah dari saya. Saya “jakun” bab-bab bendang ni. Bendang ayah yang serelung dua dia yang usahakan. Saya hanya pandai menyerbu balik rumah nak merasa beras baru. Nuar memang “benteng” terakhir ayah.

Dan kalbu pun tersentuh saat beraya dengan mak dan ayah di pagi Syawal. Syukur, mereka masih sihat – dan Allah masih memberikan ruang dan peluang untuk saya bersama mereka pada tahun ini. Dan saya ingin mereka tahu, walau pun saya anak yang paling “jauh” dari mata mereka, kasih saya tak pernah berkurang dan berjarak pada mereka. Sedar tak sedar sudah 11 tahun saya tinggalkan kampung. Di hadapan mereka, sayalah Ridzuan yang masih keanak-anakan, yang masih merengek manja, yang masih hingus meleleh, yang selalu minta dibelai-belai. Syawal terbaik ialah sewaktu saya memandang mata mereka dan memohon ampun maaf.

Masa berlalu pantas merampas zaman kanak saya. Saya belum puas menjadi anak kecil. Tapi masa gagal merampas kasih sayang orang tua saya kepada saya. Bahkan sejak berjauhan, saya merasakan kasih sayang saya kepada orang tua semakin akrab. Terasa Syawal saya penuh bermakna. Saya berdoa semoga Syawal yang seterusnya nanti akan masih ada ruang dan peluang untuk saya bersama mereka lagi.

(iii)

Balik sembahyang raya, saya menerkam ke rumah Tokwan saya (di sebelah rumah saya saja). Tokwan (sebelah emak saya) nampak uzur tahun ini. Kencing pun terpaksa pakai wayar yang ditebuk di bahagian belakang pinggang. Kasihan saya melihatnya. Tok pula walaupun selalu semput dan lelah, Alhamdulillah Syawal ini nampak sihat. Dalam tidak sihat mereka, masih lagi turun ke bendang dan masih menanam sayur dan jagung. Selalu saja bila balik kampung akan ada saja buah tangan untuk kami. Saya hanya akan nampak mereka macam sakit bila mereka tak bekerja saja. Orang-orang tua begitulah. Sakit bererti bila mereka duduk saja tak bekerja. Waktu bersalam saya hulurkan sedikit duit raya, terasa sangat tersentuh. Dalam hati, aku bila tua-tua nanti akan beginikah?

Kemudian ke rumah Mak Long saya, juga sebelah rumah. Dua jari kaki kanannya sudah dipotong lantaran kencing manis. Kasihan melihatnya, kaki pun sudah hitam-hitam. Kerana tak boleh makan pulut, kami sediakan lemang beras jawi untuknya. Mak Long saya ini murah dengan air mata. Nostalgianya kuat – melihat saya sekarang dengan sudah tiga anak pun dia boleh menangis; tidak menyangka saya yang dulunya mengayuh gerek ke sekolah sudah ada kehidupan sendiri sekarang. Tak sedar masa berlalu.

Petang, saya menerkam ke “rumah saya” di Alor Senibong, Tajar (jaraknya cuma 10 KM dari rumah saya). Rumah arwah Tok dan Tokwan saya di sebelah ayah. Di sinilah saya membesar dan bersekolah dulu. Rumah ini sekarang Pak Ngah (adik ayah) yang duduk. Sudah sedikit berubah, walau pun ibu rumahnya masih ada. Di sinilah saya kembali merasa betapa tidak bermaknanya Syawal saya sejak hampir lima belas tahun yang lalu. Merekalah “ayah dan emak” kedua saya. Tokwan saya meninggal tahun 1994, Tok saya menyusul pada 2003. Bila melihat emak dan ayah saya menjaga anak-anak saya sekarang, lantas saya terkenangkan arwah. Saling tak tumpah. Saya tak pernah ingat adakah saya pernah dimarah atau tidak; dipukul tak pernah langsung. Sebab itu dalam sesetengah hal, saya tak boleh “berdikari” seperti adik-adik saya yang lain di bawah jagaan ayah dan emak.

Saya pernah bergurau, kalaulah saya tidak berhijrah, barangkali saya yang harus pusakai rumah ini berbanding ayah atau bapa-bapa saudara yang lain. Tapi bila difikirkan balik, cukuplah saya hanya memilih untuk memiliki kenangan. Di sinilah “sarang” saya merapi air mata. Itu lebih berharga buat saya. Dan saya juga pernah memiliki lebih kasih sayang di sini. Saya tak perlukan apa-apa lagi. Doa saya selalu untuk mereka.

Saya singgah sebentar di rumah arwah Long Bahrum, guru Quran saya. Isterinya masih ada, justeru setiap kali balik, rumah ini tak pernah saya lupakan. Sementelah bapa saudara saya yang di Ipoh menjadi menantu mereka. Madrasah di depan rumahnya telah lama berwajah baru (sebelum dia meninggal lagi), tetapi saya tetap merindukan madrasah kayu kami yang dulu. Juga saya singgah sekejap di rumah Tokwa (abang arwah Tokwan) yang sudah hilang daya ingatannya. Hanya isterinya yang juga uzur yang masih boleh mengenal kami dan bercakap. Semua hidangan yang dijamu pada kami adalah pemberian jiran dan anak-anak – tiada buah tangan sendiri (Tokwa perempuan saya ini dulunya pakar membuat tapai). Dulu-dulu kalau ke rumahnya mesti ada tapai dan nira. Sewaktu hendak melangkah, saya melihat isteri saya seperti menahan tangis sewaktu memeluk Tokwa.
(iv)

Syawal ini selain dari beraya, banyak kenduri kahwin. Sepanjang seminggu bercuti dapat juga merasa kenduri kahwin. Zaman telah berubah, dan kita harus membayar atas setiap harganya. Sekarang di kampung-kampung sudah mula banyak yang mengadakan kenduri secara layan diri. Acara memasak masih secara pakat dan gotong royong. Tapi bila hendak makan, tidak lagi dihidang oleh mentara seperti dulu-dulu. Semuanya cebok sendiri dan layan diri sendiri. Tapi tak semualah. Sesetengah tempat masih mengekalkan cara lama. Barangkali semua sudah berhijrah sebab tu tak cukup mentara untuk angkat hidang. Lebih baik layan diri saja. Semua layan diri – pergi restoran layan diri, pergi isi minyak sekupang pun layan diri; sekarang kenduri pun kena layan diri. Adakah esok-esok memasak dan makan di rumah pun kita kena layan diri?

(v)

Tahun ini buat pertama kalinya sejak 1994 saya dan kawan-kawan membuat reunion sesama kami. Rakan-rakan dari Sekolah Menengah Dato’ Syed Omar sesi 1993/1994. Idea asal oleh Amran budak PKNK. Lima belas tahun zaman remaja kami sudah berlalu. Terasa begitu pantas masa berlari. Terlalu lama tak berjumpa. Sekadar telefon jadi penghubung. Atau blog yang selalu mendekatkan kami. Tempat berjumpa bukannya di rumah kami. Tapi di Stadium Darul Aman. Entah macam mana terpacul dari mulut kami untuk berjumpa di situ. Mungkin sebab Kedah champion kot, dua tahun sapu semua piala. Haha. Sebab Kedah kan best. Dan kami melabun hingga jam satu pagi. Walau pun tak ramai, tapi cukuplah untuk pengubat rindu kami pada masa silam. Tak sangka dulu-dulu muka macam pecah pintu sudah jadi Inspektor polis. Tak sangka dulu-dulu perangai macam jembalang tanah sekarang sudah jadi Pegawai Tanah. Tak sangka dulu muka macam kutu jalan sekarang sudah jadi Pegawai di Jabatan Pengangkutan Jalan. Tak sangka dulu ada yang simpan janggut dan jambang macam kambing sekarang betul-betul sudah jadi pengembala kambing sepenuh masa walaupun ada ijazah. Saya? Dulu perangai macam boya sekarang kerja di jabatan yang kununnya serabut budaya. Cuma sayang, tak cukup ramai. Kalau tidak boleh runtuh stadium.

Saya terkenangkan kawan-kawan yang dulunya kerja melawan cakap cikgu sekarang dah jadi cikgu, saya teringatkan kawan yang dulunya perangai macam taik sekarang kerja sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, saya terimbaskan kawan yang dulunya macam pencuri kabel telefon sekarang gaji ribu-ribu kerja di Telekom. Saya teringatkan kawan yang muka macam penyamun sekarang jadi pegawai bank. Saya teringatkan kawan yang malu-malu di sekolah, tiba-tiba berkahwin dengan rakan kelas sebelah. Saya termimpikan segala yang manis tentang remaja kami. Saya terbayangkan semuanya. Alangkah bagusnya kalau mereka ini turut ada. Buat Amran, Rushdi, Shahimi dan Hindon yang datang cukuplah raya ini kita mengumpul nostalgia. Dan keakraban kita terus berkekalan. Mungkin tahun-tahun mendatang kita boleh menjadi otai untuk mengumpulkan semua rakan-rakan lama yang lain. Alangkah molek kalau turut ada Syaja, Mona, Marina, Munie, Yati yang selalu menjadi rebutan kita dulu. Boleh kita tengok adakah kita akan saling berebut lagi seperti dulu. Haha.

Dalam kami bergembira berhimpun, turut terkenang cerita sedih. Pada arwah Rosli yang lebih awal mendahului kami, kami akan selalu merindui lukisan-lukisannya yang memukau. Pada arwah Shamsuri yang meninggal semasa bertugas, dan kepergiannya diiringi penuh acara dan adat penghormatan. Semoga mereka aman di sana, dan tiada jalan gempita buat mereka. Kita juga akan menyusul nanti.
(vi)

Kepada semua saudara, teman-teman yang karib dan akrab, jauh dan dekat; juga kepada semua pengunjung http://benuasuluk.blogspot.com/, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri; dengan rendah hati memohon ampun dan maaf kepada semua dan dengan lapang dada saya maafkan semuanya. Semoga Ramadan dan Syawal 1429H ini adalah yang terbaik buat kita semua. Dan semoga kita kembali dipertemukan dengan Ramadan dan Syawal masa mendatang.

7 comments:

Anonymous said...

Sayu juga hati bila bernostalgia begini.Tapi part hang sebagai budak hingus meleleh tu buat aku sengih sikit.Heheh!

Jom mai raya di FPP!

Anonymous said...

salam aidilfitri,
pertamanya sungguh nostalgik dan memukau sanubari.
kampung hang memang best,dulu-dulu waktu aku sekolah rendah aku ada juga p jabi kampung tok tiri aku yang aku anggap mcm tok betoi.mandi ayaq telaga cari biji getah jabi.memang best.
tapai,hang pun macam sham rais tukar tiub sham balik jelebu mentekedarah tapai dia bagitau tapai dan nira kita adalah lebih sehebat champange paris.aduhai...

reunion,insyallah tahun depan kita kasi lagi gempaq sebab aku dah dapat AJK alumni smdso khairul anuar untuk merealisasikan perhimpunan kita.doakan agar ia berjaya.untuk arwah rosli dan shamsuri,kita sedekahkan fatihah.

rakan karib yang berjaya aku paling suka aku lagi suka depa kaya raya kalau depa miskin nanti dok mai pinjam duit kat kita kehkehekehkehkeh.biaq kita p pinjam duit atau minta duit `pree` kat depa,mokalo kata depa jadi ahli politik lagi baguih kita leh jadi kroni yang terulung untuk sama-sama kaya kahkahkahkahkah.

kawan-kawan jangan lawan nanti kena rotan(pinjam tag dari bob suria fm)

benuasuluk said...

rai,
salam raya. Raya di FPP dibuat dalam kolam renangnya kah? Haha.

awang,
(i)kampung aku biasa saja, hulu. Kalau pusing dunia pun takkan jumpa tapai/nira sehebat tempat kita. Apa kata hang pi Kelantan pula, pekena tapai daun getah mentua aku.
(ii) Aku lantik hang jadi jenderal reunion taun depan.
(iii)beb, hang memang "barua" perangai tak berubah. haha.

Denanz ... said...

ishk ... seronok sungguh ghaya di kampong no.
nostalgia pun banyak. kalau dah tua isok, tak tau lagi nasib kita, wan. semoga allah kurniakan kesihatan yang sempurna utk kita.

benuasuluk said...

Che Nan,
seronok bang balik kg, banyak nostalgia. Balik jitra ka?

Anonymous said...

ololoo
cohmeynya..semua org pun anak manja mak ayah mereka selamanya walaupun dah tua bangka..

kasih sayang bukan dikira dengan
usia pun
kan
kan..

benuasuluk said...

farah,
tau tak per.