Monday, October 13, 2008

AZMAN SERTAI KAMI

HARI ini genap seminggu Azman Ismail menyertai kami. Meninggalkan Utusan Melayu dan menyertai kami di sini. Mungkin ada kawan-kawan di luar sana yang belum tahu Azman sudah meninggalkan Utusan. Sepatutnya Azman masuk pada September lepas, tapi sekadar lapor diri dan kembali menyelesaikan tugasan akhirnya di sana; termasuk notis pelepasan dari pejabat lamanya. Dengan itu, anggota kami di Penulisan bertambah seorang lagi secara tetap.

Insya-Allah, pada November ini akan ada seorang lagi yang akan melaporkan diri, dan mula berkhidmat di sini – di Fakulti kami. Bertambah lagi seorang kerabat kami secara tetap. Mungkin ramai di luar sana yang tidak tahu bahawa sebelum ini kami (termasuk fakulti-fakulti lain pun) menggunakan pensyarah/tenaga pengajar yang diambil secara sambilan. Hampir 80 peratus mereka berkhidmat secara sambilan. Namun, pelan-pelan dasar ini mula berubah, dan kami cuba mengimbangi antara sambilan, kontrak dan tetap. Mungkin akan menjadi 60 peratus tenaga tetap, dan bakinya mungkin sambilan atau kontrak.

Banyak yang diperkatakan tentang baik buruk institusi kami dinaiktarafkan, bertukar nama dan segalanya. Kami di sini secara peribadi pun lebih “menyayangi” nama yang lama. Tapi kasad (?) orang dahulu yang selalu berangan-angan duduk di dalam rumah kaca telah mengubah fenomena ini. Terbaru, akhbar Wasilah edisi terbaharu memuatkan artikel yang ditulis oleh “ntah sapa-sapa” yang sedikit sebanyak menyentuh institusi ini. Saya tidak tahu reaksi kawan-kawan yang lain bila membaca artikel ini (kalaulah mereka membaca). Tapi secara peribadi, saya menyenangi artikel seperti ini, walaupun ia seperti mendedahkan apa kelemahan kami – dan secara tak langsung akan membuka “pekung” kami. Kita tak perlu dipuji-puja sepanjang masa; adakalanya kita perlu disedarkan tentang kesilapan yang telah kita lakukan. Saya rasa orang yang menulis artikel ini faham dengan kedudukan kami. Tak perlulah orang-orang di sini hendak meneka atau menyiasat siapa penulis itu. Mungkin penulisnya bersikap jujur, dan kami perlu berlapang dada menerima “kebenarannya.”

Saya amat menyayangi dunia kerja di sini. Walaupun diasak dengan benda-benda remeh yang kadang-kadang amat “melugaikan” saya, sedikit pun tidak pernah menggoyangkan kepercayaan saya terhadap institusi ini. Ini bukan sekadar konsep mencari rezeki atau mencari makan – ianya lebih daripada itu. Di sini saya melihat kawan-kawan berjuang membangunkan institusi ini. Di sini (termasuk di Kementerian ini), kami kadang-kadang tidak terjumpa istilah hari minggu, siang dan malam dan istilah hari bersama keluarga dalam diari dan kamus kerja kami. Pun, kami tak pernah mengungkit. Kami melakukan kerja-kerja pejabat (pengurusan), kami menjalankan aktiviti/program fakulti, program bersama – hatta program di peringkat Kementerian.

Dalam pada masa yang sama, kami juga diamanahkan untuk mengajar. Tidak timbul soal kau layak atau tidak. Tidak timbul soal kau cukup kelulusan atau tidak. Yang penting niat kami betul dan ikhlas. Tak timbul kami mengajar tak pernah dibayar (walaupun kami layak menerima imbuhan). Itu bukan tugas hakiki kami, jadi ia sepatutnya mewajarkan titik peluh kami dihargai. Dulu-dulu mana-mana pegawai yang mengajar layak diberi imbuhan. Tetapi pada satu peringkat entah dari mana sang penguasa yang betina telah mengubah dasar dan melarang kami merasai imbuhan.

Tiga tahun mengajar di sini saya tak dapat apa-apa. Pun, saya tak kisah. Niat dan minat kami mengatasi segalanya. Biarlah kalau “orang dalam” tak hargai kami, yang penting biarlah kami hargai diri kami sendiri. Dan kami tak perlu nak mengeluh-ngeluh mengadu domba kami patut dapat segalanya di sini. Artikel Wasilah itu membuatkan saya hanya tersenyum. Kalaulah saya berada di luar sana (dan tidak berada di sini), sudah tentu saya juga akan menulis menyinggung perkara yang serupa. Tapi disebabkan berada di sini dalam hal-hal tertentu mulut harus “dikunci” maka niat seperti itu saya pasungkan saja.

Saya berlapang dada menerima kehadiran Azman – sama seperti saya dan Zack berlapang dada menyambut kehadiran Anwar Ridhwan baru-baru ini. Kini kami sudah berlima secara tetap dan kontrak - Anwar, Zack, A. Rahim, Azman dan saya. Yang lain-lainnya masih kekal sebagai pensyarah sambilan. Semoga Azman akan membantu mengubat “kesepian dan kesunyian” kami di sini. Azman perlu “kuat” untuk terus berada di sini. Dari segi ilmu, mungkin Azman akan berjaya – bahkan di sini saya yang paling ketinggalan. Mungkin dari segi lain. Biarlah, pelan-pelan nanti Azman akan “faham” cara kerja kami di sini. Saya tak akan bercerita “yang lebih-lebih” pada Azman. Biarlah dia merasai sendiri. Oleh kerana dia yang sanggup memilih untuk datang ke sini dan meninggalkan gaji ribu-ribunya di sana, saya percaya Azman akan kental di sini.

Sementara kita tertanya-tanya kerusi dan meja yang dikosongkan oleh Azman di Utusan siapa yang akan mengisinya nanti, saya berlapang dada mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadirannya di sini. Semoga dia akan menjadi penguat kami. Dan lebih dari itu, moga-moga kehadirannya akan membantu mengubat “kesepian dan kesunyian” kami selama ini.

Selamat berhijrah, Man!

10 comments:

Anonymous said...

wacha mendalamnyer...bolehker dak cumot mcm farah masuk ask?
kokoooo...

benuasuluk said...

farah,
budak-budak yang dah pandai tak payah masuk sini. Asah saja parang yang sudah di tangan.

Anonymous said...

wau, lepas Dr Anwar Ridwan..Cek Azman mengajar terus di ASK..cool..Dr Anuar Nor Arai masuk HEA pun cool..patutnya di ASK orang-orang beginilah yang kena banyak...bukan macam satu "mamat kastam mana tah".. tiba-tiba nak manage tempat seni,akibatnya ASK dipenuhi kaca,tanaman herba,lantai mozek tandas yang baru,sportlight,kandang kuda dan tah apa benda "berhala" baru tah lepas ni.. hahahaha

jangan marah ye

benuasuluk said...

epool,
kandang kuda? haha. Ntah, lepas ni mungkin patung pegawai kastam pun boleh ada. hak hak.
Tak, saya tak marah - awak semua pun "layak" juga untuk lepas marah, kecewa dan sakit hati...

Anonymous said...

aminn..pandai yer..
uhhuhh..
aper nk ktre pen pengarh jabatan tu tolak kite mentah2
itu novelblog in trial je
kasi kawan addicted mcm gnj
nnt tulis proper2

benuasuluk said...

farah,
:)

Denanz ... said...

moga2 en azman tak "melugai" kerja di aswara (ask?).

selamat bertugas di tempat baru.

benuasuluk said...

bang nan,
ya ya, harap2 dia tak melugai. Kalau melugai pun jangan muntah sudah. Hak hak.

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

Tiba-tiba saya rasa tersentuh membaca artikel ini... Walaupun 'ASWARA' banyak menyakitkan hati student seperti saya, namun pengalaman sepanjang 3 tahun di sanalah banyak mengajar saya di dunia luar sekarang. Terima kasih En. Wan :)

benuasuluk said...

diari kampung tengah,
kadang-kadang pengalaman yang menyakitkan itu memberi kita pengalaman yang sangat berguna. Semoga sdr. sejahtera selalu