Monday, September 15, 2008

RAMADAN YANG SUNYI
(Bahagian ke II)

SAYA fikir inilah pengajaran terbesar Ramadan untuk saya tahun ini. Segala-galanya dihambat sunyi. Sesungguhnya Dia memberi hikmah yang tak mampu terduga oleh akal. Segalanya menyatu, dan menjadikan diri begitu kerdil di hadapan-Nya.

Saya bukan tidak pernah berpuasa sendirian. Malah sewaktu zaman bujang dulu, ini adalah resam perantau. Bahkan saya pernah bekerja pada 1 Syawal tanpa sedikit pun rasa sedih. Waktu sebelum bekerja di sini sekarang, saya pernah bekerja sebagai penyelia di Shell. Cuti raya kami bergilir. Jadi, saya pernah bekerja pada 1 syawal dan hanya bercuti raya seminggu kemudiannya. Bila saudara-mara bertanya, saya hanya menjawab tiket bas habis. Nak dibagitahu bekerja, nanti diketawakan pula. Sekoman-koman orang kampung, orang tak bekerja di hari raya. Inikan kita pula yang hidup di bandar besar.

Tapi, tahun ini penuh kelainan. Dalam bahagian I saya bercerita tentang kerinduan saya pada orang yang telah tiada, kali ini kerinduan saya pula pada yang jauh di mata. Terasa begitu akrab kesunyian buat saya Ramadan kali ini. Saya terkenangkan Adib, Zafirah dan Iman – tiga cinta di hati saya. 2008 adalah tahun yang benar-benar menyentap naluri saya sebagai seorang bapa. Tiga orang anak yang tak mengerti apa-apa ini jauh saya tinggalkan di Utara tanah air. Berbulan-bulan saya menyimpul dendam rindu pada mereka.
Jadi, mood puasa saya tahun ini ketara berubah. Tak ada hilai tawa anak-anak, tak ada rengek manja mereka. Ramadan tahun ini saya menjadi bapa yang bujang. Isteri hanya balik ke rumah pada cuti hujung minggu. Kalau tidak sibuk, pertengahan minggu kadang-kadang dia balik juga. Kemudian pergi lagi, hujung minggu balik pula. Begitulah rutin kami sekarang.

Jadi, sewaktu berbuka, kadang-kadang terasa seperti sedang mengunyah ketul-ketul batu. Kadang-kadang seperti terbayang sewaktu sedang makan, anak-anak memanjat dan berkapuk di belakang tengkuk saya. Apalah ertinya kalau sekadar berbuka seorang diri. Telah lama saya mengajar diri menjadi “jantan” yang agak baik. Tidak merayap tak tentu pasal. Saya boleh saja keluar berbuka dengan teman-teman saya yang bujang, tapi naluri saya kosong sekali. Dan saya hanya duduk termanggu seorang diri di rumah untuk berbuka.

Ada ketika bila teman-teman bercerita tentang hal anak-anak, saya lebih diam dan tidak mencelah. Tak ada yang hendak dikongsikan. Saya hanya ada kesedihan. Ketika teman-teman sibuk bercerita tentang seronoknya berbuka puasa di rumah bersama keluarga, atau bercerita tentang seronoknya berbuka di luar bersama anak-anak, pun saya hanya diam. Menyampuk cakap mereka seperti saya ingin menajamkan kesedihan saya. Ada ketika bila mereka bercerita tentang sibuk membeli belah baju raya anak-anak, pun saya diam (walhal segalanya sudah saya bereskan dua bulan lepas – sewaktu balik menjenguk mereka).

Oh Tuhan, saya harus bersabar sehingga penghujung tahun ini. Sampai segalanya sudah isteri saya beresi. Kalau ditanya tentang angka, tarikh, bulan – saya hanya ingin membilang berapa hari lagi kita hendak beraya. Saya nak balik kampung dan melepaskan rindu pada anak-anak. Tak tertanggung rasanya. Dan saya hanya ingat “hujung tahun ini” saja. Waktu itu, saya akan kembali ceria. Saya akan bawa anak-anak saya kembali ke sisi saya. Tak ada yang lebih menyakitkan selain dari berjauhan dengan anak-anak. Tak ada ubat! Memang tak ada ubat. Jauh di sudut hati, terasa mereka selalu ada.

Ubat Rindu Ini
(kepada Adib, Zafirah dan Iman)

Ketika mamamu bertanyakan
ubat rindu ini
hanya satu jawabku,
kesedihanlah segala mujarab.

Ketika mamamu bertanyakan
ubat rindu ini
hanya satu jawabku,
kesunyianlah penawar hakiki.

Ketika mamamu bertanyakan
ubat rindu ini
hanya satu jawabku,
kesepianlah penenang sukma.

Ketika mamamu bertanyakan
ubat rindu ini
hanya satu jawabku,
tangisanlah sebenarnya kuasa.

Ketika mamamu bertanyakan
ubat rindu ini
hanya satu jawabku,
ingatanlah ikhtiar kita.

Ketika mamamu bertanyakan
ubat rindu ini
hanya satu jawabku,
kenanganlah pembalut atma.

Ketika mamamu bertanyakan
ubat rindu ini
hanya satu jawabku,
anak-anaklah kesegalaan kita.

Anak-anakku, tika dewasa nanti
ingatlah ubat rindu kami
biarpun nanti Dia menjarakkan lagi
ruang dan kasih antara kita.


15 September 2008/ 15 Ramadan 1429 H

17 comments:

Anonymous said...

salam tangisan,uhuks,uhuks,
apa yang hang p kheja time raya bagilah kat mat bangla jaga sat.wahhh hang memang kaki kerja lah.hang patut mai ganti tempat aku.baru betoiii...surrr.

tapi pada aku perkara paling sedih apabila kesihatan terganggu sewaktu bulan puasa kita terpaksa meninggalkan puasa,takder feel lah.macam aku hari ni.

SATIRA + KACAU said...

Sdr Ridzuan: Sunyi yang kian mendalamkan erti.

benuasuluk said...

awang,
duluk-dulu mana ada lagi mat bangla. Tu yang kena kerja. La ni kalau suruh kerja mampuih aku tak mau.
pssstttt, hang gastrik ka? hak hak hak.

Sdr. Satira,
terima kasih atas ingatan. Sdr. selalu hadir dengan kata-kata bak terapi.

Denanz ... said...

suluk,
kerinduan kat anak suku ja. tiga suku lagi kat mak dia. haha.

benuasuluk said...

Bang Nan,
tu yang buat pak dia jadik macam tiga suku nih. haha.

adiratno said...

Wan,

Shell tue dah pebesaq dah. rumah hang kat dalam sana pun rasanya depa dah bakaq, Haji Smauri ambik papan dia buat bakaq satay.

Memang la camtu Wan, aku pun kadang kalau kena outstation lama sikit, bila malam-malam teringatlah kat anak-anak, kat mak dia tak berapa sangat...hik..hik

benuasuluk said...

adi,
shell tu dah ramai bangla. dah tak best macam aku jadi otai dulu. rumah sewa aku tuan rumah dia ambil balik pecah pebesaq rumah dia. samuri makin kayooo

Anonymous said...

saya sangat faham mengapa mencurah rasa rindu kerana sunyi. sangat fahammmmm!

tapi sengaja tak mau faham.
tukcai ingat makda

benuasuluk said...

Tukcai,
haha.
Tukcai ingat makda, tapi makda ingat dak kat Tukcai? Hakhak.

sinaganaga said...

wo, kau dah kahwin ke dude?

benuasuluk said...

Naga,
wo!lambat sangat tunggu yoke peng sama sardah, aku belasah le satu dulu. Kalau tak belasah satu dulu, akan terasa hidup ini macam palat. hakhak.

Anonymous said...

HHAHAHAHA lelaki yang kasihkan keluarga adalah lelaki yang berjiwa paling halus..
http://farahnyemahmulya.blog.friendster.com/ cik wan try la update semula..memang link dari cik wan je yang de masalah

benuasuluk said...

Farah,
kamu mahu mencoba diriku? Haha.
Sudah baca, tapi naper kontot sangat?

Anonymous said...

Sdr Ridzuan: awat yang dok berjauhan dengan isteri. Depa dok di PS,hang dok di Serdang..tapi tak pa..mengeratkan kasih sayang..tu. Pokok Sena dok menggamit balik orang KL..


anjungsena

benuasuluk said...

anjungsena,
anak-anak ja di PS. Isteri di lembah kelang, tapi seminggu sekali gak jumpa. Dia pun dalam proses nak jadi macam anjungsena juga. Insyaallah, tahun depan.

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Dugaaan...dugaann!

salam kunjungan kawan!

benuasuluk said...

Sdr. Rozlan,
terima kasih kerana singgah.