Wednesday, September 10, 2008

RAMADAN YANG SUNYI

RAMADAN tahun ini terasa sangat sendiri. Setiap kali datangnya Ramadan, saya selalu terkenangkan orang yang kita sayang; yang telah tiada di sisi kita. Dunia kecil saya sewaktu alam kanak dibentuk oleh gemulah datuk dan nenek. Saya dibesarkan oleh mereka.

Saya pernah bertanyakan emak, mengapa saya seorang sahaja (anak sulung dan cucu sulung) yang dihantar untuk dijagai oleh gemulah. Saya tidak pasti, emak memberikan jawapan atau tidak. Rasanya, tiada jawapan – emak pun tidak tahu kenapa saya perlu dibela oleh datuk dan nenek. Bahkan bersekolah pun di sana. Jarak rumah tidaklah jauh dalam ukuran masa sekarang; tapi kalau dulu terasa amat jauh. Saya tidak bertemu jawapan, tapi saya temui satu kesimpulan – kemiskinanlah yang menghantar saya ke sana.

Keluarga kami susah. Sebagai anak sulung, saya paling "beruntung" – melihat ayah dan emak struggle. Barangkali (?) itulah alasan terkuat untuk gemulah datuk beria-ia hendak membela saya. Setiap minggu, cuti sekolah Jumaat dan Sabtu saya akan kembali bersama ayah dan emak. Di rumah datuk, saya dilayan penuh manja, seperti anak mereka sendiri. Di situlah saya membesar. Sewaktu hendak masuk ke sekolah menengah, saya minta hendak balik ke pangkuan keluarga. Berkali-kali saya dipujuk oleh mereka agar terus bersama mereka.

Semua orang meminta agar saya terus bersama mereka. Tapi saya keraskan hati, saya terlalu rindukan keluarga. Akhirnya mereka mengalah. Ketika menghantar saya pulang, nenek menangis sambil memeluk saya, dan datuk berpaling wajah, tidak mahu melihat saya. Sebagai janji, mereka minta saya kembali ke sana setiap cuti hujung minggu. Selalulah saya ulang alik setiap minggu cuti sekolah ke rumah mereka dengan basikal.

Kini, mereka telah tiada. Bila mereka telah tiada, baru saya rasa benar-benar sunyi. Dan pada malam 1 Ramadan yang lalu, mereka hadir ke dalam mimpi saya. Cukup puas menatap wajah mereka, walaupun mereka hadir cuma dalam bentuk, tanpa suara. Sedar-sedar, hampir 15 tahun datuk telah berpulang, lima tahun nenek telah pergi. Semoga mereka sejahtera di sana, dilindungi dan disayangi-Nya.

Syawal nanti seperti selalu, saya akan kembali rumah lama kami; dan di situ saya akan melihat kembali sosok alam kanak saya. Dan seperti selalu, dalam diam dan penuh sendiri, saya akan merapi airmata – tanpa ada sesiapa pun tahu, walau ayah atau emak saya.

Abjad Condong di Dinding

Di rumah lama almarhum
kutemui sebaris abjad condong di dinding
terbata-bata aku membaca makna
di antara dengung rindu dan sumur hikayat
dengan garau pita suara almarhum bersipongang

Ilalang tinggi menegak,
sumur sebuah telah bertahun tertimbus
kasurmu diam di penjuru kamar
serumpun kenangan pun bagai sawang dan debu
berhimpun di kamarmu

Aku kelam membaca bayang yang tertinggal
antara keping huruf yang jatuh bertabur
dengan makna yang merimbun di layar ingatan

Di tanganku peta masa kecilku bercalitan darah
sungguh, sesekali pulang
terasa aku merapi airmata

Abjad condongmu bagai kehilangan bicara
aku lelaki berdiri bagai kehilangan makna.

10 comments:

adiratno said...

Salam Wan,

Puaka bwh pokok reriang kat telaga depan rumah hang masih ada ayaq ka? Dah lama aku tak samapi ke kampung...kalau ada kesempatan nanti kita jumpa kat kampung... g rumah Yati sekali naak..hehh

benuasuluk said...

adi,
puaka? menatang apa tu?
Pokok keriang dah tak ada, sayang buahnya sedap bukan main. Telaga masih ada, tapi dah tak guna. Tokwan aku ja dok guna untuk kebun sayur dia depan tu.
Yati? Apa barang Yati. Mona lah. haha. Insyaallah, aku balik syawalni, mailah jenguk kg aku...

Sham al-Johori said...

SALAM RAMADHAN

WAH JIWA SULUK YANG MENYENTUH. KADANG-KADANG CERITA ITU SEPERTI TERBAWA-BAWA KE DALAM DIRI.

Yang pasti kita juga bakal menjadi gemulah dengan cerita kita sendiri. Amin.

benuasuluk said...

Syeikh Sham,
Itu baru part 1. Tunggu part 2 pulak. Heheh.

Anonymous said...

salam ramadan,
buah riangdot ada lagi ka la nih?pokoknya tinggi melayup,buah kote mamak pun ada lagi ka la ni?
urm,tokwan aku pun dah lama arwah tapi tak selama tokwan hang,depa umo panjang sorang 90thn meninggal sorang 80thn meninggal.
kita akan menjadi tokwan yang sebagaimana dulu kita dimanja olh tokwan.

brp hari balik kebun500,set time kita main teka-teka lagu huhuhu .set time aku ct pendek thn nih.semakin gila pjbt aku skrg nih disebabkan pukulan PTD yang tak profesional.

set time.kita blh gebang dgn cd sama.

benuasuluk said...

Awang,
Nanti kita adjust time. Aku pun cuti sat saja, orang rumah aku cuti pendek. Kalau ikut aku mau aku tibai sampai 15 syawal, cuti aku banyak lagi. Nanti kita calling-calling. Ajak budak titi upaq tu sekali.

Anonymous said...

suluk,bila dah jadi atuk nanti barulah tahu, kenapa dan mengapa 'aku' tinggal dengan atuk.
jawapan ini hendaklah tunggu apabila dah jadi atuk.

tukya

benuasuluk said...

Tukya,
Terima kasih.
Hai, cepat balik dari taiwan. "Orang" lain tak balik lagi, kan? Hahaha.

Denanz ... said...

ish ... wan. mana nak cari buah keriang? lama sungguh tak makan.

benuasuluk said...

Che Nan,
payah juga nak jumpa, kena pi usha kot tepi-tepi sungai. tapi dalam kampung ada juga. saya paling rindu buah muyu dengan buah kucaq tau. Mana nak carik buah muyu dengan kucaq?