YANG DATANG, YANG PERGI
SEDAR tak sedar, sudah sebulan saya berketuakan bos baru. Dahulu, di Fakulti saya diketuai oleh Zakaria Ariffin. Sejak tamat kontrak, tempatnya diambilalih oleh seorang lagi penulis tersohor tanah air, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Sejak enam tahun bertugas di sini, saya sudah empat kali bertukar bahagian.
Sewaktu mula masuk dulu, tempat saya memang di sini – penulisanlah. Waktu itu berketuakan A. Rahim Abdullah. Tidak lama. Tiga bulan selepas itu, saya dipindahkan ke bahagian Pengurusan/Pentadbiran. Setahun juga. Kemudian bertukar lagi ke Jabatan Teater (waktu itu belum disebut Fakulti. Di Teater saya sempat merasa bekerja dengan Zack hanya lapan bulan. Kemudian bertukar lagi. Memang jodoh saya lebih serasi dengan Penulisan. Saya balik semula ke Penulisan pertengahan 2004 dan bekerja dengan A. Rahim lebih kurang setahun hingga kontraknya tamat sekitar pertengahan 2005. Dan lepas itu, Zack kembali ke Penulisan (tempat Zack di sini asalnya memang Penulisan) hinggalah kontraknya tamat baru-baru ini.
Di Penulisan, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan adalah bos saya yang ketiga secara rasmi, selepas A. Rahim dan Zack. Saya memang terlebih gembira bekerja di Penulisan. Saya memang boleh sasau kalau sekali lagi dibawa keluar dari Penulisan. Setakat ini, saya lama di bawah Zack. Dan kini, Anwar sudah sebulan di sini. Kadang-kadang, yang pergi membuatkan kita tidak gembira; kadang-kadang yang datang, membuatkan kita kembali gembira. Semuanya berbaur. Seperti memahami lumrah, saya akur ketiadaan Zack adalah satu proses biasa dalam bekerja (dia masih tetap ada di sini seperti Rahim - mengajar sambilan); dan menerima hadir Anwar dengan rasa syukur.
Anehnya, ketiga-tiga mereka (Rahim, Zack dan Anwar) datang dari warna landskap yang sama – dari benua DBP. Entah ini satu kebetulan atau apa. Dan selepas sebulan, saya temui satu sifat dan sikap Anwar yang hampir sama ada dengan Rahim dan Zack – juga saya. Pendiam. Kami semua lebih suka bekerja dalam diam. Rahim dengan diamnya, Zack pun dengan diamnya. Dan kini, saya teruskan sesi belajar diam saya dengan Anwar. Saya sangat serasi dengan diam. Tak perlu kepoh-kepoh tanda kita bekerja. Duduk diam-diam dan low profile, kerja tetap juga boleh berjalan.
Saya memang agak lebih lama di bawah Zack berbanding Rahim. Justeru, terkadang tika ada sesiapa yang kurang faham dengan Zack, saya berlebih-lebih faham. Selalunya, diam itu mendekatkan kami, dan merapatkan kami dalam urusan kerja. Dengan bahasa diamnya, saya tahu siapa Zack di mata saya. Rahim juga begitu. Dua-duanya cool, tak pernah melenting. Mereka berdua tidak segan silu, boleh berlapang dada masuk ke bilik saya tanpa sekatan. Sama ada untuk berbincang hal kerja, atau berborak seputar dunia sastera, atau berbual biasa. Tidak hanya menanti saya sebagai orang bawah saja yang menjengah ke kamar mereka. Atau terkadang kami beriring menuju “lereng” (di DBP disebut “bucu”), pekena teh tarik. Tak ada pagar protokol di jiwa mereka.
Saya tidak tahu bagaimana saya di mata mereka. Tanggapan tentang kerja saya tentunya. Tak pernah saya tanya. Saya harap dua bos saya yang dulu senang dengan kerja saya, seperti mana saya menyenangi mereka. Rahim mengajar saya bagaimana untuk selalu tenang dan tidak ripuh. Semua masalah dan kerja boleh settle perlahan-lahan. Dengan Zack, paling terkesan lebih baik bekerja dalam diam. Kalau ada benda yang kita tak setuju, pun kita diam. Kalau kita marah pun, baik diam saja. Kalau kita melawan pun (kadang-kadang bila hangin datang satu badan saya melawan juga), tidak ke mana. Lebih baik diam di kamar, dan melakukan kerja kita juga diam-diam. Satu lagi, hendak buat program tidak perlu kita senaraikan nama petugas macam satu batalion. Akhirnya yang bekerja dua tiga kerat sahaja. Ini sangat saya maklumi. Cukuplah beberapa orang tenaga penting saja, tak perlu nak penuhkan nama dalam buku program saja.
Sebab itu, kadang-kadang ada acara besar Fakulti, Zack juga bergerak macam saya. Sepatutnya dia bos duduk sahaja, biar yang lain saya uruskan. Tapi, dia tak kisah dan dia membuang semua protokol. Dia seperti faham, di Fakulti hanya saya saja seorang penyelaras, menguruskan semua benda – dari akademik kepada pengurusan pejabat, dari pengurusan pejabat kepada aktiviti Fakulti, daripada aktiviti Fakulti kepada kuliah kursus sendiri. Empat tahun di bawahnya menjadikan saya lebih matang dan lebih menajamkan taring diam saya.
Dan kini, Anwar di depan saya. Dalam jarak sebulan ini, Anwar tentunya dalam peringkat untuk menyesuaikan diri dengan budaya kerja ASWARA, dan memahami keperluan Fakulti dahulu. Saya biarkan dia dahulu, untuk lebih sendiri memahami apa-apa, terutamanya berkaitan dengan silibus dan kurikulum Fakulti. Ada apa-apa, saya sedia membantu. Zack pun masih di sini, bila-bila saja kami boleh membantu Anwar. Dia pun seperti ada “gangguan” sekarang. Dia mengadu masalah matanya kepada saya, lepas pembedahan kecil matanya sudah ok, tetapi kembali kabur seminggu ini. Kesian dia, saya tumpang simpati. Manalah kuliahnya pun sudah bermula.
Seperti Rahim dan Zack, saya pelan-pelan melihat Anwar. Saya percaya, dia juga akan terus membantu menajamkan taring diam saya. Ini diakuinya sendiri, memang dia agak diam. Kalau ada perkara-perkara remeh, dia tidak akan bercakap atau bersuara. Saya maklumi ini. Saya percaya, dengan reputasi dan nama besarnya, dia akan membantu memacu Fakulti ke mercu. Lebih 30 tahun pengalamannya bertugas di DBP rasa saya akan memudahkan tugasnya untuk mengetuai Fakulti Penulisan. Bezanya, di sini lebih fokus pada dunia akademik.
Dan saya akan terus berlapang-lapang dada untuk bekerja sambil terus menimba pengalaman dengan satu lagi nama besar dunia sastera tanah air ini.
11 comments:
salam datang dan pergi,
macam lagu sweet charity lah...kita mengharapkan yang pergi itu akan digantikan dengan yang lebih baik namun selalunya yang kita sangkakan yang pergi itu teruk dan buruk sebenarnya adalah yang terbaik setelah yang datang itu berpuluh kali lebih teruk dan buruk begitulah seterusnya.setiap kali kita akan mengharapkan yang mengganti itu baik sebenarnya ia menjadi lebih tidak baik dari yang telah pergi.
perkara ini berlaku sewaktu di sekolah dan membawa ke kantor tempat kita bertugas sekarang.orang itu selalunya ialah boss kita.
awang sedang melaluinya oh betapa derita dan seksanya ibarat kata sebuah iklan di tivi zaman dah berubah.
Penat baca cerpen kau yang panjang lebar ni. Ha ha.
Awang,
lu makan hati ker? haha.
Naga,
ni bukan cerpen, ini kisah benar namanya. haha. datang ler sini, terjah dato Anwar, kita pekena teh tarik lereng. Asyik sup tok perak jer apa barang.
wan,
dato' anwar ok. untung hang kerja bawah dia.
Che Nan,
Betul, dia memang baik. Agaknya mantan-mantan orang dewan semua baik-baik belaka. Nanti jenuh la saya dok kira keuntungan saya tu. Haha.
Sdr Ridzuan: Selamat bertugas. Asalkan diam ubi tidak mengapa.
satira,
terima kasih. Ya ubi memang bagus. Ada orang baru sedar ubi tu bagus sampai nak suruh kita mencekik segala ubi dan lupakan segala beras. Gimana ya?
Dr Anwar cool, Cik Zakk pun cool dan Tuan haji Rahim "terlebih" cool. Jabatan Penulisan tidak pernah ada masalak ketua jabatan, tidak seperti jabatan muzik. Kesian budak muzik.
Epol yang ?,
biarlah kita terus cool, jangan samakan kita dengan orang lain. Dalam "cool" kita pun kita juga boleh menyumbang sesuatu yang bermakna, kan?
Ye, betul tu. Kita tak payah nak kecoh-kecoh, sebab kita tak pernah ada masalah besar. Cuma kesian je kat kawan-kawan di jabatan..oops..Fakulti lain. Fakulti, Cik wan rasa relevan ke nama Fakulti di ASK yang sangat "besar" tu? Heheh, tapi saya masih selesa dengan ASK yang cukup "besar" tu. "Kecik" sangat macam UIA pon pening kepala. Bila Cek Wan nak jadi ketua Fakulti pulak? ;)
epool,
teruskan belajar, saya sentiasa menyokong.
saya tak ada cita-cita besar. Cukuplah sekadar menyumbang sesuatu yang bermakna.
Post a Comment