Thursday, August 7, 2008

SAYA SEPATUTNYA ...
(I)

SANGAT seronok bila melihat karya kita tercetak dalam bentuk buku. Apatah lagi buku itu adalah buku pertama kita. Rasanya seperti menyambut anak pertama. Rasa teruja yang tidak boleh digambarkan.

Maka kepada orang yang kita sayang, kepada karib yang akrab, atau kepada sesiapa yang kita rasa wajar, kita akan memberikan naskhah percuma kita bertandatangan kepada mereka dengan rasa ikhlas dan ingatan. Tanpa ada niat yang berselindung. Dan juga bukan untuk menunjuk, “woi aku dah jadi penulis”, atau “woi, tengok ni aku dah ada buku.” Tidak pernah terlintas sedikit pun.

Semuanya atas ingatan. Dan kasih sayang juga tentunya. Dan kita tak berharap orang yang kita beri itu akan peluk dan cium buku kita seperti mana yang kita lakukan. Semuanya atas ingatan. Cukuplah kalau sedikit menghargainya (kalaupun mungkin takkan membacanya).

Cuma, cuma – janganlah memegang kalkulator di depan kita dan mengira-ngira berapa royalti yang akan kita dapat. Sangat menghiris rasanya. Dan kemudian ketawa-ketawa bila tahu royalti itu takkan mampu untuk membeli sekerat dari kereta nasional yang bernama Perdana V6 itu. Apatah lagi untuk bergaya-gaya seperti “rakyat” Terengganu yang boleh pakai kereta lagi hebat dan punya “super power” untuk lasak berjalan jauh yang murah maintenancenya. Setakat nak bayar muka beli kereta kebal pun belum tentu.

Sangat terhiris rasanya. Apatah lagi kalau di tempat kita, hanya kita seorang saja yang bergelar penulis. Atau penyair. Apatah lagi kalau buku itu buku pertama kita. Apatah lagi kalau buku pertama kita itu terbit dengan cara yang tidak “sewajarnya.” Jarak masa yang panjang, misalnya. Kita pernah menangis sewaktu menulis, misalnya. Tersalah genre, misalnya. Berbalah dengan editor, misalnya. Editor lepas tangan, misalnya. Bertekak dengan designer, misalnya. Mereka tak tahu, dan mereka takkan nak ambil tahu tentang proses kreatif kita.

Ini antara perkara-perkara “kecil” yang akan kita hadapi bila nak jadi penulis. Di dalam majlis atau di luar majlis, kita sebagai penulis amat tidak gemar bila orang bercakap atau bertanya berapa sen, ringgit, ratus, ribu atau puluh ribu kita dapat dengan menulis buku. Sangat tidak suka dan sangat tidak manis. Kita pun tahu batas. Malah, sebelum kita jadi penulis, kita tak pernah tanya pun pun kawan-kawan kita yang jadi penulis berapa sen dia dapat dengan menulis. Tak pernah kita sergah SN-SN kita di mana-mana seminar yang kita hadir berapa juta yang dia dapat hasil dari kerja menulis. Malah, kita pun tak pernah tanya kawan-kawan atau anak murid kita yang menulis karya “cari makan dan karya tangkap leleh”, walaupun kita tahu menulis macam tu walau tidak kaya raya tapi masih boleh senang, dan lebih banyak pendapatan dari kita. Sangat biadab bunyinya.

Malah, buku pertama kita itu pun bukan bertujuan untuk “test market.” Semuanya bertolak dari kecintaan kita. Dan rasa tanggungjawab kita. Kita pun tidak hingin jadi kaya raya dengan kerja menulis di Malaysia. Kita pun sedar di mana kedudukan kita. Setidak-tidaknya, kita turut menyumbang untuk industri buku negara. Setidak-tidaknya kita turut sama memperkaya khazanah negara.

Tak perlu ucap tahniah pun tak apa, kita tak berkecil hati. Tak nak membaca buku kita pun tak apa, kita tak kisah. Nak kata buku kita tak bagus, tak ada kualiti pun tak apa, kita bersyukur. Nak kata kita tak layak jadi penulis pun tak apa, kita tak marah. Kita sedar diri juga.

Cuma, cuma janganlah di hadapan kita, di depan buku yang kita hadiahi itu, saudara membawa keluar kalkulator dan mengira-ngira berapa royalti yang akan kita dapat. Kita rasa terhina sangat. Hingga kadang-kadang terpersil kata-kata, menyesal kita hadiahkan buku. Kita tak sepatutnya memberi buku kita tu. Patutnya kita hadiahkan pada orang lain yang lebih layak, orang yang menghormati buku, dan orang yang tahu juga menghormati kita. Walhal kita beri dengan ikhlas dan rasa gembira. Kalau kita nak untung, kita jual aja buku tu. Kita kecil hati sangat tau.

Jauh-jauh, di belakang orang yang kita sayang, di belakang karib kita yang akrab, di belakang sesiapa yang kita rasa wajar itu, kita pun berhiba-hiba.

(II)

SANGAT seronok bila melihat karya kita tercetak dalam bentuk buku. Apatah lagi buku itu adalah buku pertama kita. Rasanya seperti menyambut anak pertama. Rasa teruja yang tidak boleh digambarkan.

Maka kepada orang yang kita sayang, kepada karib yang akrab, atau kepada sesiapa yang kita rasa wajar, kita akan memberikan naskhah percuma kita bertandatangan kepada mereka dengan rasa ikhlas dan ingatan. Tanpa ada niat yang berselindung. Dan juga bukan untuk menunjuk, “woi aku dah jadi penulis”, atau “woi, tengok ni aku dah ada buku.” Tidak pernah terlintas sedikit pun.

Semuanya atas ingatan. Dan kasih sayang juga tentunya. Dan kita tak berharap orang yang kita beri itu akan peluk dan cium buku kita seperti mana yang kita lakukan. Semuanya atas ingatan. Cukuplah kalau sedikit menghargainya (kalaupun mungkin takkan membacanya).

Kita tahu orang yang kita hadiahi buku kita itu bukannya minat dengan jenis buku yang kita hasilkan. Dia di luar bidang kita. Mungkin dia baru nak berjinak-jinak dengan dunia yang kita mesrai ini. Walaupun cara berjinak-jinaknya itu seperti plastik di depan kita. Tak apa, kita tak kisah. Kita nak bagi juga buku kita. Sebagai ingatan dan kenang-kenangan. Sebagai rasa hormat kita.

Maka, di depan orang dipuji-pujilah kita ini bagus, hebat dan amat berbakat. Kita tahu bunyinya juga macam plastik. Tapi kita tak kisah. Selepas dipuji-puji, dibacalah karya kita dalam majlis, di depan orang banyak. Kita tak kisah, malah tak tunjuk pun rasa gembira. Sepatutnya kita gembiralah bila karya kita dibaca orang, dan dibaca pula depan orang banyak.

Cuma, cuma – janganlah selepas membaca karya kita di depan orang banyak, tinggalkan begitu saja buku yang kita hadiahi. Tinggalkan atas bangku dan balik begitu saja. Walhal buku itu kita hadiahkan dengan rasa syukur dan penuh hormat. Tanda ingat dan kenang kita. Sedih dan terhina kita dibuat begitu. Kita tahu dengan buku tu kita takkan mampu untuk membeli sekerat dari kereta nasional yang bernama Perdana V6 itu. Apatah lagi untuk bergaya-gaya seperti “rakyat” Terengganu yang boleh pakai kereta lagi hebat dan punya “super power” untuk lasak berjalan jauh yang murah maintenancenya. Setakat nak bayar muka beli kereta kebal pun belum tentu. Kita sedar kita ni penulis kecil saja, datang tak menambah pun meriah dunia sastera, kalau hilang pun takkan diratapi. Tapi, kita rasa terhina sangat.

Sangat terhiris rasanya. Apatah lagi kalau di tempat kita, hanya kita seorang saja yang bergelar penulis. Atau penyair. Apatah lagi kalau buku itu buku pertama kita. Apatah lagi kalau buku pertama kita itu terbit dengan cara yang tidak “sewajarnya.” Jarak masa yang panjang, misalnya. Kita pernah menangis sewaktu menulis, misalnya. Tersalah genre, misalnya. Berbalah dengan editor, misalnya. Editor lepas tangan, misalnya. Bertekak dengan designer, misalnya. Mereka tak tahu, dan mereka takkan nak ambil tahu tentang proses kreatif kita.

Kalau kita tak tahu orang yang kita hadiahi buku kita tu tinggalkan begitu saja tak apa juga. Ini kita tahu. Dan depan mata kita pula. Bukan orang lain yang ceritakan pada kita. Tapi kita nampak sendiri dengan mata kepala kita. Kita jadi sedihlah. Kita bukan sedih dengan buku tu sangat, cuma kita sedih dengan perangai orang yang kita hadiahkan buku tu. Kita boleh tak bagi pada sapa-sapa pun buku tu. Buku kita, punya sukalah kita tak nak bagi pada sapa pun. Tapi kita tak macam tu. Kita memberi pun bukan untuk dapat atau minta apa-apa balasan pun. Bahkan kita keluar duit sendiri, beli buku kita sendiri semata-mata untuk hadiah pada orang. Kita ikhlas nak bagi. Kalau kita tak ikhlas, kita jual aja buku tu.

Tak perlu ucap tahniah pun tak apa, kita tak berkecil hati. Tak nak membaca buku kita pun tak apa, kita tak kisah. Nak kata buku kita tak bagus, tak ada kualiti pun tak apa, kita bersyukur. Nak kata kita tak layak jadi penulis pun tak apa, kita tak marah. Kita sedar diri juga.

Cuma, cuma janganlah di hadapan kita, di depan buku yang kita hadiahi itu, ditinggalkan begitu saja buku tu seperti surat khabar buruk. Kita rasa terhina sangat. Hingga kadang-kadang terpersil kata-kata, menyesal kita hadiahkan buku kita. Kita tak sepatutnya memberi buku kita tu. Patutnya kita hadiahkan pada orang lain yang lebih layak, orang yang menghormati buku, dan orang yang tahu juga menghormati kita. Walhal kita beri dengan ikhlas dan rasa gembira. Kita kecil hati sangat tau.

Jauh-jauh, di belakang orang yang kita sayang, di belakang karib kita yang akrab, di belakang sesiapa yang kita rasa wajar itu, kita pun berhiba-hiba.

9 comments:

Anonymous said...

salam sejahtera,
tak payah bagi percuma atau menghadiahi suluk cinta anda pada awang,awang akan beli sendiri untuk menyokong kawan-kawan.nanti benua suluk boleh turunkan tandatangan suluk cinta pemebelian awang yang ditulis oleh kawan awang ridzuan harun.
lepas benua suluk tandatangan suluk cinta yang awang beli itu benuasuluk kena lanje awang pegi pijat belanja tambang makan dan ceweknya ditanggung oleh benuasuluk.
ok ka,berehhhhhh....

sahrunizam abdul talib said...

sdr ridzuan,

tahniah kerana lahirnya 'cahayamata sulung'.
terus berkarya

benuasuluk said...

Awang,
Hang ni tak habih-habih nak pijat. Pi lah buat pasport dulu. Kita try ke jogja pula.

Sdr. Sahrunizam,
Terima kasih kerana singgah dan juga sokongan sdr. Nanti saya linkkan blog sdr ya. Sekarang kebetulan saya sedang mengunyah 'Di Ruang Ini'. Moga-moga boleh mengejutkan seperti 'Bahasa Senjata' dulu.

Denanz ... said...

ridzuan,
tu antara cabaran dan pengalaman sorang penulis.
macam mana pun, terima kasih, buku tu, dan abang tak akan tingal atas kerusi.

benuasuluk said...

Che Nan,
Terima kasih. Saya hargainya.

Nisah Haji Haron said...

Betapa benarnya perasaan itu! Orang yang tidak mencintai dunia sastera ini hanya tahu membilang RMnya sahaja. Kalau nak kita memang nak kaya, takkanlah kita terbit buku, apatah lagi kumpulan puisi. Mereka yang buat begitu seperti yang dinyatakan dalam entri ini memanglah tidak berhati perut. Kalau depan saya, memang dah 'kena cili' mulut tu.

Sabar, wan.

benuasuluk said...

Kak Nisah,
Orang-orang seperti kita memang ada sedikit sifat "budiman". Orang nak kata apa, nak buat apa masih kita diamkan, kita pendamkan. Kalau tak, memang saya dah "cilikan".

Fahd Razy said...

hehe...bila tahu dah keluar buku, kenalan yang dah 10 tahun tak tegur pun tiba-tiba hantar emel, "Wah, sahabat karibku. Dah keluar buku pun. Takkan dah lupa member kot?". Lucu pun ada =D

benuasuluk said...

Fahd, TK kerana singgah. Saya sedang mengulit Menggeledah Nurani.