Monday, August 4, 2008

HOBI YANG MENYENANGKAN

SAYA punya satu hobi yang biasa sahaja. Bahkan pernah dibuat oleh orang lain. Barangkali kesusahan masa kecil sedikit membantu saya selalu beringat-ingat – dan terus terbawa-bawa hingga saya dah jadi bapak budak sekarang. Menabung. Menyimpan syiling, yang tersisa daripada perbelanjaan harian.

Dulu-dulu sewaktu bersekolah rendah, saya membuka akaun BSN melalui cikgu sekolah. Sekolah menolong membuka akaun simpanan pelajar dan menolong menabung setiap hari. Tak banyak, cukup sehari sepuluh sen jika mampu. Setiap hari sebelum mula kelas, cikgu darjah akan bertanya siapa yang hendak menabung hari ini. Jumlahnya dikumpul selama sebulan, sebelum disimpan dalam bank. Waktu itu, pos bergeraklah yang menjadi sumber paling mudah untuk menyimpan wang di bank. Begitu mulia jasa guru. Selain dari memberi ilmu tanpa mengira lelah, mereka menyemai sikap berjimat cermat pada pelajar dan selalu mengingatkan hari depan kami. Barangkali kami waktu itu rata-ratanya anak kampung yang susah belaka, jadi ada inisiatif dari guru untuk membantu. Semoga jasa para guru akan sentiasa dirahmati.

Pelan-pelan tabiat menyimpan syiling dari alam kanak saya terbawa-bawa hingga kini. Saya pernah punyai pelbagai bentuk tabung – dari tabung yang dibeli, hingga tabung yang dibuat sendiri. Dulu sebagai galakan kepada saya, ayah membelikan tabung ayam, besar juga saiznya. Sekali pernah terjatuh pecah dan syiling terburai. Terbongkok-bongkok saya memungut syiling. Tidak praktikal. Kemudian tabung buluh, yang dilekatkan di dinding rumah. Bila penuh, tabung buluh perlu dibelah. Tidak praktikal. Tabung berbentuk Tabung Haji, nampak cantik dan eksklusif. Tapi hampeh, kalau kuat menabung sekejap saja sudah penuh. Tidak praktikal juga. Akhirnya, saya gunakan apa saja bekas asalkan niat menabung saya tidak terbantut.

Waktu zaman saya belajar di universiti, syiling tabung banyak menyelamatkan saya. Kalau lambat loan masuk, duit tabunglah sebagai guna. Kadang-kadang menjadi tukaran wang kepada kawan-kawan yang mahu bergayut 24 jam. Bodoh punya kawan, aku pun reti "bermarka-marka" juga, tapi tak pula menyondol hidung mencari syiling. Haha. Bila dah telefon bimbit berkembang di kampus, barulah lekat syiling yang saya tabung. Tak ada yang mahu tukar-tukar lagi. Ada juga, tapi sudah kurang. Saya jarang tukar syiling. Hanya seronok menyimpan. Menjadi masalah di kala saya tamat belajar dan mahu berpindah ke rumah sewa. Beratnya mahu menyamai buku-buku saya.

Saya tak pernah tukar syiling kepada wang kertas dalam jumlah yang sedikit. Selalunya mau ratus-ratus sekali tukar. Dulu, saya selalu tukar di Shell Sungai Ramal Dalam, Kajang tempat saya bekerja sebagai supervisior sekitar tahun 2000-2002. Sekarang tukar di sekitar kawasan rumah saya. Baru-baru ini isteri saya merungut-rungut, hendak saya buat apa dengan syiling berlongggok-longgok di rumah kalau tak mahu tukar. Lama-lama boleh runtuh rumah, dia merungut. Saya ketawa. Kalau simpan bank sudah beranak pinak, dia merungut lagi. Saya pun ketawa lagi. Biarlah, bukan saya sesak sangat sekarang. Saya berdegil tak nak tukar juga. Sebenarnya, saya pun tak tahu apa tujuan saya simpan syiling banyak-banyak dalam rumah.

Sangat senang untuk menabung syiling. Setiap kali lepas makan, atau setiap kali berbelanja, atau setiap kali lepas bayar tol, bakinya akan saya simpan. Kalau ke kedai makan, atau ke kedai runcit, saya payah benar hendak hulur sen-sen jikalau penjualnya tak merayu-rayu. Selalunya saya buat muka kering dan hulur wang kertas tanpa hulurkan syiling, walau pun misalnya jumlah yang saya kena bayar RM 2.20 atau RM 4.10. Jangan harap sennya akan saya bagi kalau tak bercinta merayu-rayu pada saya. Haha. Saya teringat, waktu remaja saya menjual air tebu, lengkong dan buah-buahan di Stesen Bas Baru, Alor Setar (Nanjamil mesti tahu tempat ni), payah benar orang nak hulur syiling kalau saya minta. Tapi saya fikir, kita sebagai peniaga tak perlu meminta apa hak pelanggan kita. Malu muka kalau minta pelanggan tak nak bagi. Itukan tanggungjawab peniaga menyediakan segala keperluan berniaga. Barulah profesional.

Baru-baru ini ketika duduk sendirian di rumah, saya teringat bebelan isteri. Lantas, saya usung kesemua tabung ke ruang tamu. Maka, terkodek-kodeklah saya seorang diri membilang syiling. Macam nak patah pinggang. Tak terlarat saya. Tapi bila siap syliling dikira, terkejut seronok jadinya. Tak sangka saya boleh menabung sebanyak itu. Saya asingkan mengikut nilai, dari lima sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Lepas itu, saya masukkan dalam plastik kecil RM 20.00 satu plastik. Ini untuk memudahkan orang nak tukar syiling dengan saya. Selalunya, peniaga akan minta kita asingkan kepada RM 20.00 satu plastik kecil atau RM 50.00. Biasanya RM 20.00 lebih mudah.

Isteri saya melonjak suka bila dia tahu saya dah “insaf” dan sudah siap mengira syiling. Eleh, sebenarnya dia suka sangat bila tahu jumlah keseluruhan syiling yang saya simpan. Saya masukkan dalam beg dan terhegeh-hegeh mengendengnya untuk tukar. Orang Kedah cakap, berat nak "mampuih". Mulanya berjanji dengan Mamak Maulana depan rumah. Tapi bila bawa, pekerjanya tak berani ambil pula sebab bos tak ada. Apa turr punya mamak. Akhirnya saya bawa ke Kedai Runcit Ban Soon, dia selalu tak pernah menghampakan saya bab-bab syiling ni. Lagipun dia dah kenal amat dengan saya. Dia nak ambil semua syiling saya. Wow! Terkejut saya bila pekerjanya menimbang syiling. Jangan bimbang, kata pekerjanya, jumlahnya selalu betul. Mesin ini bukan kira syiling tapi menimbang syiling. Dari timbangannya, boleh agak jumlahnya tepat atau tidak. Kalah bank kalau macam ni. Selepas dihulur sekepuk wang kertas, saya pun melangkah keluar dari kedai dengan sehabis bergaya macam baru terkena loteri.

Agak-agak berapa jumlahnya? Hah, boleh buat tambang saya pergi balik Jakarta naik MAS dan shopping buku di sana. Bila isteri tanya nak buat apa dengan duit tu, saya jawab nak beli kasut kot. Kasut kerja pun dah lama tak berganti. Lagi? Banyak benar soalan isteri. Nak ke? Hah. Saya jawab ingat nak simpan dalam akaun anak-anak. Simpan bank sendiri haus nanti. Isteri angguk-angguk setuju. Lagi nak shopping baju anak-anak. Petang itu juga pergi beli baju anak-anak. Kasut sendiri tak beli pun. Bank in pun belum lagi. Saya buat poyo depan isteri. Belakang isteri bila dia tak ada, saya habiskan sebahagian besar duit tu dengan membeli buku. Haha. Sampai sekarang isteri tak tahu, saya campakkan buku-buku tu di pejabat. Tak payah pergi Jakarta, kat sini pun boleh jadi miskin kalau takat nak membeli buku. Biarlah tak beli kasut pejabat pun tak apa, asal hati puas mencium bau buku.

Sekarang saya kena segera ke bank, masukkan baki duit untuk akaun anak seperti yang dijanjikan. Kalau disimpan dalam tangan, duit saya ni akan dijangkiti kulat buku. Heh heh.

9 comments:

lutfi said...

Salam.

Hobi hang sama dengan hobi bapa aku. Dia simpan syiling dalam tin milo. Bertahun-tahun lamanya. MAlah sampai sekarang, masih ada beberapa tabung syiling seringgit lama (bukan syiling emas). Aku pun ada juga mewarisi hobi dia, tapi, bezanya syiling tu takkan kekal berbulan-bulan lamanya. Paling lama dua bulan, bila nilainya dah masuk ratus-ratus, tangan aku jadi gatal sendiri.
Apapun, terima kasih kerana hadiahkan buku. Aku sedang menikmatinya.

Anonymous said...

salam syiling tebu,
hahaha pi mana tokeh ayag tebu tuh wan.tokeh ayag tebu yang nak juai mesin taip boleh taip sendiri tuh ka kat hang.apadaaaa...adakah patut dia nak kencing hang.apa punya turrr.....

syiling sebenarnya penyelamat maruah kita.awang suka simpan syiling dalam kereta sebagai penyelamat kepada seribu segala bahana di atas jalan.

benuasuluk said...

Lutfi,
kira dahsyat la orang tua hang ada syiling lama. Aku takdak. Selamat menikmati buku aku, komen la tang mana ada kurang.

Awang,
aku pun tak tau pi mana dah tokey aku tu, dah lama tak jumpa.
Jangan simpan banyak sangat syiling dalam kereta, nanti ghedoh kereta. haha.

Anonymous said...

Wan,

Aku pun pernah ada tabung Tabung Haji tu!Kita tak boleh sombong sangat dgn duit syiling nih.Di ofis aku ada satu tabung syiling.Kalau nak ronggeng-ronggeng tengok wayang dan melantak kat Secret Recipe,anytime.Kat rumah pun ada.Aku asingkan ikut mata wang.Nanti aku kena ikut macam hang tukaq duit syiling kat kedai runcit mana-mana.

benuasuluk said...

Rai, tunggu aku tang mana-mana kat serdang kalau nak tukar syiling. nanti aku tunjuk tempat. Boleh kira timbang. haha. Lepaih tu kita pi pekena roti tempayan.

Sham al-Johori said...

hamba ada satu cadangan,
apa kata duit syiling tu simpang atau sedekah aja kat hamba pacal yang hina ni...
hamba tak ada tabung tapi ada poket yang sentiasa kosong.
kasihanilah hamba...

benuasuluk said...

Sheikh sham,
nanti saya bagi satu tabung yang telah kosong untuk tuan isi, nanti poket tak lagi kosong.
Orang tua selalu cakap, jangan bagi ikan, lebih baik bagi pancing, nanti baru tahu nikmat/susah memancing. Err tapi apa kena mengena tabung syiling dengan pancing, ya?

Denanz ... said...

stesen bas baru aloq staq. ish ... lama dah tak singgah situ. dulu2 balik kg, bas ekspress berenti situ la. la ni balik kg kalau lalu situ, tunjuk la kat anak2, ni la tempat ayah naik turun bas.

benuasuluk said...

Che Nan,
stesen bas baru tu dah jadi stesen mati, stesen berhantu. Dah tak ada orang. Warung-warung tempat saya cari makan dulu pun dah tak ada. Bila lalu situ time balik kampung, teringat masa lalu. La ni depa semua pakat turun shahab perdana. tang mana yang perdana dia pun tak tau...