Thursday, July 31, 2008

KEMBALINYA SEORANG SASTERAWAN NEGARA

HARI sedih untuk dunia sastera tanah air. Allahyarham Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, kembali ke alam abadi tengah malam tadi. Saya bersama Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Zakaria Ariffin dan Ghazali Abdullah baru balik menziarahi Allahyarham di Bangi. Ketika kami sampai di Surau Bangi Perdana, Seksyen Tiga pukul 10.00 pagi, jenazah sedang dimandikan.

Ramai kawan-kawan Allahyarham dan sanak saudara penuh di sekitar surau. SN Arenawati datang dengan bertongkat, sebagai tanda juga uzur. Ketika jenazah dikapankan, ramai yang mengesat mata. Sangat terharu bila menatap wajah akhirnya, sangat pilu tika melihat isteri dan anak-anaknya mengucupnya seorang demi seorang. Selepas solat jenazah, kami menggiringnya ke Tanah Perkuburan Islam di Sungai Tangkas. Alhamdulillah, memang ramai menggiringnya hingga ke pintu akhir, sebagai bukti begitu akrabnya hubungan arwah dengan orang lain. Lebih kurang 12.00 tengah hari jenazahnya selamat disemadikan.

SN A. Samad Said sampai seusai talkin habis dibaca. Ramai teman-teman Allahyarham, penulis dan sasterawan hadir. Zakir berbisik pada saya, meminta maaf Diskusi Karya MPR Sabtu ini akan berlangsung tanpa kehadirannya. Zakir akan bicarakan kumpulan puisi saya. Saya menepuk-nepuk bahunya, dan memintanya melupakan tentang perkara itu. Saat-saat sedih begini, saya sangat faham perasaannya. Dan sebelum pulang, tersangat hiba dan tersentuh rasanya ketika saya bersalam dan memeluk Zakir. Semoga Zakir dan keluarganya tabah.

Teringat tentang Allahyarham, ada beberapa perkara yang sangat menyentuh. Saya dan Zack sangat terkilan kerana tidak dapat memenuhi pelawaannya untuk minum bersama ketika dia datang mengunjungi kami di ASWARA awal Julai lalu. Ada tugasan segera yang menunda-nunda kami saat itu. Dia beria-ia mengajak. Begitu beria-ia sekali. Boraknya pun lain macam hari itu. Jenakanya berlebih-lebih, ceritanya bertele-tele. Ada beberapa falsafah dan kata hikmat yang sempat saya pungut dari tutur bicaranya dalam kunjungan akhirnya ke ASWARA. Itulah kali terakhir Allahyarham datang ke ASWARA. Dan itulah kali terakhir kami berborak mesra dengannya, seperti tiada apa yang akan berlaku. Ketika menziarahinya di Hospital Serdang Ahad lepas, bicaranya sudah tidak jelas walaupun dia masih boleh mengenal orang yang datang melawatnya.

Memang kita terasa sekali dengan kehilangannya. Sebutir lagi mutiara peradaban dan persuratan tanah air telah ghaib di langit zaman. Hanya jasadnya sahaja yang berangkat pergi, namun semangatnya tetap ada bersama-sama kita. Dia meninggalkan harta pusakanya yang bukan sedikit untuk peradaban bangsa kita. Sejumlah dan sederet buku-bukunya akan sentiasa mengingatkan kita kepada perjuangannya.

Semoga Allah merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Kepada Zakir, Dian dan seluruh ahli keluarga Allahyarham S. Othman Kelantan, kita mengucapkan takziah dan berharap semoga mereka tabah dan sabar dengan kehilangan ini.

Al-fatihah!

1 comment:

Anonymous said...

salam takziah,
semoga roh allahyarham dicucuri rahmat.buletin tv3suku semalam tak tayang pun berita pemergian SN S.Othman Kelantan.sebab itulah digelat tv3suku.

amin.