SURAT-SURAT YANG TERCICIR
(Kepada Rahimidin Zahari)
SEWAKTU sedang mengunyah inti kumpulan puisi terbaharu Zurinah Hassan, Salasilah pada halaman pertama, saya tertegun sejenak. Lantas, saya terbayangkan beberapa peristiwa atau perkara yang berlegar di seputar kehidupan saya, lebih jauh lagi melangkaui kehidupan kita semua. Saya perturunkan dahulu keseluruhan sajak pendek Zurinah tersebut:
Menyusur Jejak
(Kepada Rahimidin Zahari)
SEWAKTU sedang mengunyah inti kumpulan puisi terbaharu Zurinah Hassan, Salasilah pada halaman pertama, saya tertegun sejenak. Lantas, saya terbayangkan beberapa peristiwa atau perkara yang berlegar di seputar kehidupan saya, lebih jauh lagi melangkaui kehidupan kita semua. Saya perturunkan dahulu keseluruhan sajak pendek Zurinah tersebut:
Menyusur Jejak
Menyusur jejak
dari Bukit Siguntang Mahameru
hingga ke Kampung Baru
mengimbas langkah
dari bawah pohon melaka
hingga ke Dewan Merdeka.
Anakku, kutiplah
surat-surat yang bertaburan
sebelum ia terpadam.
Sajak pendek ini amat mengesani saya. Saya berasa cukup terganggu dengan beberapa hal yang berputar di sekeliling saya (baca: kita) mutakhir ini. Akhir-akhir ini saya kerap “terpanggil” untuk kembali melihat sosok peribadi saya 20 tahun yang lampau. Semestinya, ketika alam kanak saya kembali berpuput menyentak naluri, saya akan kembali ke alam diri, menjadi pendiam dan kembali merenung diri. Bila melihat sosok silam, terentang segala kebenaran mengenai diri, daripada bertelanjang bulat mandi di sungai, nakal-selekeh anak kampung, dilibas rotan oleh guru, sawah dan ladang getah, semuanya berputar dan tertayang di layar ingatan.
Sebulan dua yang lepas, seorang teman meminta saya untuk mengesan kembali seorang tokoh wayang kulit di Kedah. Tidak terlintas untuk saya bertanya mengapa teman ini membuat permintaan sedemikian. Seketika saya kembali teruja, mengenangkan alam kanak saya. Tokoh wayang kulit inilah yang dahulunya begitu digilai oleh saya dan teman-teman sekampung. Katen@Koten merupakan tok dalang yang hebat sekitar penghujung 1970-an santak ke pertengahan 1990-an. Saya kaget seketika, bagaimana teman ini boleh “tercium” tempat sehulu Pokok Sena yang menjadi laman usia saya berkembang mempunyai seorang tok dalang wayang kulit.
Mengambil nama dari kampungnya, Nawa, Katen menggerakkan Kumpulan Wayang Kulit Sri Nawa di sekitar Negeri Kedah. Kampung Nawa jaraknya lebih tiga batu dari kampung saya (untuk sampai ke sana, mesti “melintas” rumah saya dahulu). Setiap tahun, tiga atau empat kali, atau lebih; Katen dan kumpulannya akan membuat persembahan di tempat saya. Seingat saya, Katen jarang membuat persembahan terbuka di kampungnya sendiri. Entah, saya kurang pasti, tetapi saya tidak pernah berjalan malam ke kampungnya untuk melihat dia membuat persembahan. Semuanya dimainkan di pinggir kampungnya. Tempat yang selalunya dipilih ialah di Pekan Kebun 500, sebuah pekan yang majoriti penduduknya berbangsa Cina. Barangkali di sini audiensnya lebih ramai kerana pekan kecil ini seperti menjadi penghubung antara penduduk-penduduk di sekitar Mukim Jabi, Mukim Tualang, Mukim Tobiar dan kawasan-kawasan di sekitar Pokok Sena.
Biasanya, sekali persembahan berlarutan hingga seminggu masanya. Penduduk di sekitar Kebun 500 seperti berpesta pada ketika itu. Setiap malam saya dan kawan-kawan sekampung akan berbasikal sejauh hampir dua batu untuk menunggu ekeng dan etong. Setiap malam, usai sahaja waktu Maghrib kami akan berbondongan menuju ke Kebun 500. Yang menariknya, persembahan Wayang Kulit Sri Nawa ini diadakan bersebelahan dengan persembahan Opera Cina. Sri Nawa di bahu kiri jalan dan Opera Cina di bahu kanan jalan. Di sekeliling tempat persembahan itu adalah rumah-rumah kedai yang didiami oleh penduduk-penduduk Cina di situ. Riuh sekali.
Masa itulah seperti terlihat toleransi antara kaum dan budaya berlangsung. Dan saya, tentulah akan terpegun dan duduk berlama-lama menekur watak ekeng dan etong yang dimainkan oleh Katen. Seingat saya, itulah satu-satunya persembahan (ada juga wayang gambar bergerak ketika itu) yang mendedahkan saya kepada bentuk hiburan pada waktu itu. Apatah lagi, saat-saat ini bila dihimbau kembali, sudah tentu saya akan melihatnya daripada perspektif yang sedikit berbeza.
Seperti masa yang berengsot pergi, perlahan-lahan Wayang Kulit Sri Nawa pun mulai lenyap di mata kami. Selepas pulang daripada mengerjakan haji sekitar pertengahan tahun 1990-an, Katen berikrar tidak akan menjadi dalang lagi. Istikrarnya itu lebih terbukti bila mana sesudah beberapa tahun berikutnya saya mendapat tahu dia membakar habis kesemuanya sekali kelir-kelir kepunyaannya (yang tidak boleh dibakar dihanyutkan di sungai - itulah yang diceritakan oleh teman saya yang berasal dari tempat Katen). Katen seperti memperoleh “sesuatu” yang baru selepas kepulangannya dari Mekah, lantas membuang jauh-jauh wayang kulit yang menjadi “nyawa”nya selama ini.
Anak-anak yang lahir selepas daripada generasi saya tidak berpeluang melihat jatuh bangunnya Wayang Kulit Sri Nawa, barangkali juga mereka tidak tahu pun wayang kulit itu apa. Seiring dengan pengunduran Katen, Opera Cina juga perlahan-lahan mulai berengsot pergi dan hilang di mata kami. Kami, antara dungu dan tidak tahu apa-apa ketika itu seperti mula “hilang” sesuatu. Akhir 1990-an, Kebun 500 pun mati dan menjadi pekan sepi, tiada lagi arca dan citra budaya bangsa di situ.
Kembali saya mengenang permintaan teman yang tidak kesampaian, saya menjadi sedikit hiba. Ketika usai menonton Lakhon Phuud semasa Festival Teater Tradisional Antarabangsa baru-baru ini, perkara yang sama masih dibualkan antara kami, di bangku Laman ASWARA. Dan saya, perlahan-lahan menyusup kembali ke alam kanak saya, alam melastik burung, alam mandi di sungai, alam bermain banjir, alam selekeh anak kampung dan segalanya. Sudah pasti yang terkesan di sukma saya saat itu adalah dua watak yang sering mengekor dan menghambat saya hingga ke alam mimpi – ekeng dan etong. Tanpa saya sedari, dua watak inilah yang membantu mengendong alam kanak saya menginjak ke alam remaja. Dan sesudah 20 tahun ketika diri telah benar-benar dewasa, dua watak yang sering menjadi bualan dan mimpi saya rupa-rupanya telah benar-benar ruyup.
Berendoi, satu lagi bentuk persembahan tradisi yang mengakar di Utara tanah air kini perlahan-lahan mula terseok-seok melangkah pergi. Di kampung saya sendiri, tinggal satu generasi lagi yang masih bertahan, di bawah pimpinan Razak Omar. Pada setiap majlis kelahiran bayi (cukur rambut dan aqiqah terutamanya), berendoi selalu mendapat tempat. Bayi diletakkan dalam buaian yang dihias indah dengan bunga-bungaan dan kumpulan ini akan duduk berkeliling buaian tersebut sambil melagukan berendoi. Biasanya, lagu-lagunya penuh dengan unsur-unsur nasihat dan pedoman seperti patuh pada suruhan agama dan menghormati kedua-dua orang tua. Di majlis kenduri kahwin pula, kumpulan ini akan berzanji dan bermahabban; dan aktiviti seperti ini masih lagi berlangsung di tempat saya sehingga kini.
Yang selalu berlegar di benak saya, berapa lama lagikah tradisi seperti ini akan mampu bertahan? Satu ketika dahulu, sekumpulan belia di kampung saya, termasuk saya cuba meneruskan tradisi berendoi dan mula belajar daripada generasi tua ini. Kami sempat juga merasa membuat beberapa persembahan berendoi di dalam kampung sendiri sebagai percubaan pada peringkat awalnya. Sayangnya, cita-cita dan impian kami tidak mampu bertahan lama ekoran masa yang menggoncang. Bila sekelompok belia ini mula menjengah ke luar dari tanah tradisi, sama ada atas peluang kerjaya, perkahwinan atau menyambung pelajaran, hasrat generasi tua yang mulanya sedikit mercup akhirnya lumpuh dan terus mati. Saya terasa pasti, selepas generasi Razak Omar ini tiada lagi, tradisi berendoi dan marhabban akan tiada lagi di tempat saya. Saya sudah terasa!
Masa tidak pernah memberitahu dengan “kuasa” yang dimilikinya mampu menelan seluruh khazanah bangsa. Maka, apakah mampu saki-baki kebudayaan kita yang tertinggal ini akan benar-benar ampuh untuk bertahan dari rempuhan dan amukan masa? Apakah dengan tanpa pemuliharaan yang bersungguh-sungguh dan penuh sedar, warisan bangsa yang belum tercicir ini akan benar-benar perkasa menongkah gelombang masa? Kita telah benar-benar berada di bendul rennaisance; yang mendorong emosi kita mengejar kebendaan, dan dalam masa yang sama meminta kita berperang dan membunuh semua warisan poyang moyang kita. Aduh, dengan kalimah apakah mahu saya yakinkan kepada anak-anak saya bahawa ekeng dan etong itu benar-benar watak yang hebat, berendoi dan marhabban itu benar-benar lunak dan merdu? Ianya akan tinggal menjadi sebuah mitos purba pada anak-anak hari ini.
Saya telah benar-benar berada di laman silam saya 20 tahun dahulu. Terasa beberapa halaman surat masa lalu saya jatuh tercicir entah di mana. Lantaran itulah bila membaca puisi Zurinah Hassan yang saya sebutkan tadi, saya menjadi galau. Seperti ada kepedihan dan kesedihan yang menunda-nunda sewaktu membelek-belek peta silam saya yang mulai kumal. Sesuatu bangsa dikenal melalui budaya dan bahasanya. Dengan ranting budaya yang kian rapuh, dengan nasib bahasa ibunda seperti piatu di rumah sendiri, dengan apakah akan kita sogokkan kehebatan bangsa kita? Kabus dan kabut seperti mengelambui peta perjalanan kita hari ini.
Kembali ke laman silam seperti sengaja saya mahu mempertajamkan kesedihan. Bila melihat sosok silam, yang terentang di depan layar hanyalah warna kelam.
Pokok Sena tempat sanjungan,
jauh melata ke tanah Serdang;
kubuka surat di tapak tangan,
terhimpun duka terpikul walang.
Sumber: Buletin Beringin ASWARA, Oktober 2006
3 comments:
salam,
janganlah terlalu melankolik. bangsa kita memang begitu, kurang menghargai milik nenek moyangnya sendiri.
salam asun,
ada lagi ka tradisi-tradisi yang sebegitu?ada,tapi hanya dilakukan di kalangan-kalangan warga keraton atau warga-warga bertradisi.namun hanya sebilangan aku rasa.aku hanya tahu menyalahkan `our leader`.
masihkah ada lagi mainan gasing,guli,toi,tuju lemak,cak lempung,main getah biji getah(biji getah jabi antara yang terhebat)tuju selipar,jengket-jengket,zero poen,ikan pelaga(ikan karing atau ikan sempilai)batu 7 atau batu sremban,congkak...ahhh apa lagi iya aku pun dah lupa.
sekarang ini yang tinggal PS2,game boy dan psp.ahh...
awang suka main,main-main.
Dewek,
1.Saya hanya teringat-ingat 'barang yang lepas.' Sekarang tak ada apa lagi untuk diingati.
2. Kalau melankolia ini boleh menenangkan saya, biarlah begitu.
Awang,
1. Bukan Asun, tapi Sri Nawa. Hangpa hanya kenal Asun bila dia main di radio alor setar saja, tu pun tahun 90-an. Tapi dengan Sri Nawa, aku bersila di atas tanah duduk melangut tengok depa.
2.Ya, biji getah Jabi paling hebat. Aku tau kerana alamat kampung aku termasuk dalam mukim Jabi. Nanti aku tulis satu entri perihal nostalgia biji getah.
Post a Comment