RASA RUSUH, YANG MEMBUKA JALAN KE RUANG SUNYI
Ayah, di Laman Rumah Budaya
Lidahku dipancung Sekawan Tiran
Ayah,
roh perkasa yang kautitipkan
sewaktu zaman kanakku
kini seperti menjadi batu yang mengikat kaki
kandil rohani yang kaunyalakan dulu
entah siapa hilangkan sumbunya
Dengan wajah renta
kususun huruf-huruf berdarah
di bucu kamar
sejarah menjadi sebuah kisah sedih
yang tertayang di layar bangsa
Dengan jemari bergetar
kupungut sabda pendeta
yang tercicir
dengan mulut terkunci
kubaca sirah bangsa yang panjang
dengan mata tertutup
kutatap peta nurani bangsa yang kumal
Dengan kaki terikat
aku memasuki rumah budaya
melihat sosok masa sudah
menatap gemilang peradaban silam
kini, di hadapanku
gerombolan serigala bersiap-siap
membaham bunga pertiwi
Di rumah budaya
aku menatap arca kekinian
huruf keliru, angka berdebu
dan sepotong kata berdarah
anak-anak diajar berjalan
dengan kepala terpulas ke belakang
Dengan susur langkah gontai
aku tinggalkan rumah budaya
dengan racau dan kusut fikiran
menghitung-hitung hutang kita pada bangsa
Ayah, di laman rumah budaya
lidahku dipancung sekawan tiran
9 Oktober - 29 Disember 2006,
Dewan Budaya, Oktober 2007
2 comments:
salam wahhhhhh,
wah muka yang baru percubaan yang baik asalkan jangan mengundur sebelum waktu.tajuk saudara mengingatkan saya kepada seorang penyair,sebuah benua rusuh.
saya suka dengan puisi ini mungkin saudara terlepas pandang dengan puisi orang lain apapun saya suka dengan pusi saudara,saudara semakin kehadapan.
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
MAAFKAN SAYA KERANA MENGUSIK SAUDARA,SEBAGAIMANA SUASANA YANG KITA HADAPI PADA MASA SEKARANG PUISI INI LANGSUNG TIDAK MEMBERI MANFAAT KEPADA POLITIKUS MELAYU SEBAB MEREKA SEMUA TIKUS,TIKUS CURUT BUSUK LAGI MEMBUSUKKAN.SAUDARA JANGAN GOYAH SAUDARA BERPUISILAH DENGAN CARA SAUDARA,AKU TAHU SAUDARA BERJIWANG SAUDARA JIWANGKAN PUISI SAUDARA AGAR DAPAT MENIKAM KE DALAM KALBU MEREKA.
Oh ya,aku juga merindui pak engku(t.alias taib)ah...orang yang baik-baik selalu pergi dahulu,saudara juga orang yang baik-baik minta jangan pergi dulu.
Sdr. Awang,
1. Terima kasih atas sokongan dan setiap hari singgah di sini. Saya baru bermula, rasanya tak wajar kalau saya mengundur sebelum tiba waktunya.
2. Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh tu tajuk Biografi Usman Awang oleh SN Muhammad Haji Salleh. Hampir kebetulan tajuk blog saya hampir menyamai tajuk buku tu.
3. Saya akan tetap terus berpuisi.
4. Saudara membuatkan saya sedih. Saya ada secebis kenangan kecil dengan arwah Pak Engku. Bahkan kajian penyelidikan tahun akhir saya di universiti dulu berkaitan dengan puisi arwah. Semoga Allah merahmati Pak Engku.
5. Kita tetap akan pergi meski belum tau waktunya. Bukankah Amir Hamzah dan Chairil Anwar juga begitu cepat dan begitu muda perginya? Soalnya bila dan di mana.
Post a Comment