Sunday, June 29, 2008

PUISI, POLITIK DAN KEKUASAAN

MINGGU lepas saya terima sms daripada Azizi Haji Abdullah. Dia mesra dengan panggilan Ustaz. Kadang-kadang saya hanya memanggilnya Tukcai sahaja. Meminta saya menulis sebuah puisi bernada protes. Untuk siaran September katanya. Fikir saya, barangkali untuk disiarkan dalam penerbitan CAP.
Saya bergurau dalam sms, "nak kritik sapa pulak? PKR, PAS atau UMNO?"
Jawabnya, "apa-apapun, tapi bukan suara parti. Sebelum 15 Julai."
Rasa saya seperti ada yang tidak beres dengan jawapan Azizi. Saya acahnya, kalau macam tu saya kritik DBP jelah. Dengar cerita dapat KP baru yang tidak baru. Sekejep kemudian, telefon bimbit saya berderik lagi.
"Tak mau. Protes kepada kerajaan PAS yang nak tebang balak di Kedah. Kami nak sentuh juga sikit demi alam sekitar." Jawab Azizi.
Baru saya jelas. Kemudian Azizi menelefon saya bagi membuktikan seriusnya dia.

"Ustaz Azizan (MB Kedah) tak mau dengar cakap orang dah la ni. Sombong. Tak fikir panjang." Itu antara buah kata yang dicakapkan Azizi kepada saya.
Saya juga diberitahu kawasan "sasaran" ialah Ulu Muda-Ahning. Wah, kawasan tadahan, fikir saya. Patut CAP tersentot. Saya tidak menyatakan pada Azizi kesanggupan saya untuk menulis puisi tersebut, tetapi nada saya bercakap dengannya seolah-olah seperti saya menyanggupinya. Sudah lebih 100 hari memerintah, rasa saya Kedah adalah negeri yang paling cool dan Ustaz Azizan adalah MB yang paling jauh daripada publisiti, berbanding dengan kawan-kawannya yang berkongsi kuasa di Perak, Selangor; juga di Kelantan dan Pulau Pinang. Nampaknya, "gegaran" di Kedah baru hendak bermula.
Tup-tup hari ini dalam Mingguan Malaysia ada wawancara akhbar tersebut dengan MB Kedah ini berkaitan dengan penebangan balak di Kedah. Saya membacanya dua tiga kali, mencari kepastian. Manalah tahu boleh membantu saya menyiapkan puisi yang diminta Azizi. Hujah Azizan sesekali saya rasakan betul, walau bunyinya agak sedikit keras. Dia juga sudah menghalakan meriamnya kepada Lim Guan Eng dan Pulau Pinang. Mesejnya jelas, hang ada negeri, aku ada negeri. Pakat-pakat jagalah negeri sendiri. Toksah dok kacau negeri kawan-kawan.


Saya sms Azizi, "bila baca wawancara Utusan dengan Ustaz Azizan hari ni, terasa macam dia betoi juga. Rasa tak berapa sedap nak tulis sajak tu."
Sebentar Azizi membalas, keras nadanya.
"Macam tu kata betoi? Itu katanya juah."
Saya balas lagi, "dia marah kat Guan Eng tu. Masing-masing ada negeri pakat jagalah." SMS saya itu langsung tidak disambut oleh Azizi. Entah marah entah tersinggung.
Saya masih termenung di depan komputer bersama akhbar di tangan. Terasa begitu payah kali ini kalimah hendak jatuh dari "langit." Inilah kali pertama seumur hidup saya orang meminta saya menulis puisi untuk protes. Selalunya kalau nak protes pun, ianya akan terbit sendiri tanpa ada suruhan, permintaan atau desakan. Dalam kepala saya, hanya ada tiga patah perkataan. Puisi, politik dan kekuasaan. Bolehkah sebuah puisi kecil saya nanti membuatkan Azizan insaf, meraung-raung, lalu membatalkan penebangan balak seperti yang dirancangkannya? Lantas, saya akan dijulang bagai wira oleh para rakyat? Saya akan tetap menulis untuk Azizi. Dengan dilema yang bersarang di minda. Soalnya sekarang, saya hanya mampu termenung buat ketika ini.
Kalau Tukcai membaca blog saya ini, saya ingin bertanya: apakah puisi ini seperti sihir dan punya kuasa sakti hingga mampu merobah politik dan kekuasaan? Sekarang ini, saya bingung - kepenyairan saya dibelit suara rakyat (permintaan Azizi) dan juga mimpi sang penguasa!

2 comments:

Anonymous said...

salam protes,
puisi atau sajak itu bukan suka-suka ia datang ia datng dari hati yang telus bukan suka-suka kita suka mereka ia datng dari jiwa yang murni begitu juga dengan cerita.oleh itu janganlah anda menjadi katak alaska berada di benua sejuk tapi berdarah panas hati panas jiwa panas semuanya panas tapi berada di tempat sejuk bila lemas tiada siapa yang nak peduli.
lahirkan puisi dari sanubari.politik?hah...politik melayu tiada adab politik melayu hanya untuk kepentingan perut hang kata aku aku kata hang hang tak suka aku aku tak suka hang tapi boleh berdangdut bersama-sama.
jadikanlah ahmadinejad(peresiden Iran sebagai `role model`namun sekoq umat pemimpin melayu tak peduli dengan tingkah laku ahmad.
kalau taknak jadikan ahmadinejad sebagai role model jadikanlah almarhum ustaz fadhil noor sebagai role model,tapi?hah...mana ada satu yang ikut.jadikan arwah burhanudin al-helmi sebagai role model?hah,takdak juga.
balak hanya sebagai provokasi tak tebang pun lagi kalau nak tebang pun eloklah mcm mana nak hidup tanpa sumber.semua org buat tak betul habis sapa yang dok pebetoi.menegur?boleh tegur,tapi jangan lah nak menghentam keromo beb.
saudara perlu menganalisis sendiri segala maklumat dan pendirian setiap orang saudara tak perlu mengikut telunjuk orang.
cikgu nasir dah pesan kan?seseorang yang berkasut `but`tak semestinya pemandu jentolak.
analisis lah dengan sebaik mungkin ini hanya pesanan jangan kita terheret dengan budaya politik yang kotor.
mungkin kita seiya sekata tapa haluan berbeza.

http://greatdaddy.blog.ekawan.com

benuasuluk said...

Awang,

terima kasih atas ingatan. Saya sudah lupa cerita kasut but. Yang masih ingat wajah "Saja" saja.