Friday, June 27, 2008

YANG INDAH, YANG GUNDAH BILA MENGENANG ...
SENAK dan sebu perlahan-lahan menyusut dan terus hilang sebaik sahaja Seminar Sasterawan Dalam Pembinaan Peradaban Malaysia melabuhkan tirai pada petang 25 Jun. Penat masih lagi terasa. Bermula pada 23 Jun, dengan menampilkan persembahan dari Gayo, Aceh. Mereka menjajakan Sebuku, Didong dan Tari Guel. Etnik Gayo mendiami bahagian tengah atau pedalaman dari wilayah Propinsi Daerah Istimewa Aceh. Saya tidak berkesempatan untuk muat turun gambar sepanjang tiga hari program berjalan kerana tidak sempat lagi bertemu Jurufoto ASWARA. ASWARA tengah sendat dengan aktiviti sepanjang Mei-Jun-Julai 2008 ini.
Ada cerita manis-pahit untuk kami membawa mereka ke ASWARA. Panjang ceritanya. Bahkan kalau mengingat-ingat kembali akan membuatkan dada saya menjadi sakit. Saya bukan bersedih dengan Aceh, tapi bersedih dengan apa yang saya dan Zakaria Ariffin - Zack (Ketua Fakulti saya) lalui. Biarlah ini menjadi kenang-kenangan kami berdua. Pada malam 24 Jun ketika Malam Gema Puisi Warisan, saya berbicara dengan Bapak Ibrahim Kadir (ketua rombongan, yang juga seorang aktor) bersama Fikar W. Eda, orang/penyair yang bertanggungjawab mengurus membawa Gayo ke sini. Fikarlah yang menjadi perantara. Ibrahim gamam bila saya mengunjukkan sampul. Dia seperti tersekat-sekat hendak bercakap, entah terharu entah gembira. Fikar pula beria-ia hendak membawa kami ke Gayo. Saya berjanji dengan Ibrahim hendak wawancaranya besok, sebelum mereka berangkat pulang. Saya hampa kerana gagal. Saya dihimpit masa. Bahkan sewaktu mereka hendak berangkat pun tidak sempat saya pamit (walaupun malamnya sudah bersalam dan saling mengucapkan terima kasih). Saya terkedu bila diberitahu Ibrahim menangis-nangis sebelum berangkat pulang.
Tentang Malam Gema Puisi Warisan, ianya berjalan seperti Malam-malam Puisi sebelum ini. Katanya santai, tetapi seperti kaku bila ada orang-orang besar yang menjadi tetamu. Mujur kehadiran Sabri Yunus sebagai pengacara sedikit membunuh rasa formal itu. Penyair undangan, orang yang pernah atau biasa kami jemput, cuma ada seorang dua sahaja yang baru pertama kali tampil di ASWARA sebagai penyair undangan. Hendak ulas lebih-lebih pun biasa saja. Cuma, Rektor ASWARA (bos besar) memilih untuk membaca puisi saya yang dipetik dalam Suluk Cinta. Kawan-kawan yang datang senyum penuh makna kepada saya. Inilah pertama kali dalam mana-mana acara baca puisi, ada orang membaca catatan/apologi penyair dan mengulas-ulas catatan tersebut sebelum membacakan puisi. Saya yang duduk di belakang ketawa terbahak-bahak. Selalunya kita sebagai orang bawah yang akan bodek bos, ini terbalik pula. Bos yang mengangkat kita pula. Tak leh gitu!
Mengingat-ingat Seminar pula, sakit dada saya akan kembali datang. Letih pun datang semula. Inilah rasanya Seminar oleh Fakulti Penulisan yang pertama kali bekerjasama menganjurkannya dengan pihak luar. Tetapi perlukah saya menyebut di sini bahawa Zakaria dan saya sahaja yang bekerja untuk Seminar ini? Oh sedih. Dari awal lagi, kami amat tidak menyenangi ungkapan Peradaban Malaysia. Seharusnya, bagi kami peradaban bangsa. Ada orang yang tersangat "faham" mengubah macam-macam. Bahkan tema asal pun lain, bukannya "Memartabatkan Seni Sastera." Saya dan Zack banyak beralah. Dan kami terus bekerja seperti lazim - senyap, diam, dan terus bekerja. Agaknya inilah stail kami bekerja.
Dan sepanjang majlis perasmian, saya hanya dengar Menteri berulang-ulang menyebut tentang peradaban Melayu. Atau peradaban bangsa. Tidak ada pun ungkapan peradaban Malaysia. Nampaknya Menteri lebih memahami dalam hal ini. Kita terlalu banyak memberi dan hendak beralah. Bahkan dalam acara selingan masa perasmian pun, seorang pelajar berketurunan Cina tampil membacakan puisi tentang bahasa tetapi dengan pakaian "tok neneknya." Saya tak sanggup melihat dan hanya memejamkan mata. Lagi teruk, Zack lari keluar dari dewan. Ini bukan kehendak kami.
Seminar berjalan lancar, tanpa gendala. Ada perkara yang panas, ada yang sejuk dan ada yang panas kembali. Yang hangitnya hanyalah dari istilah "penganjuran bersama" itu. Saya betul-betul serik. Janji hendak bawa peserta, tapi haram tak ada. Bersusah payah saya menguruskan penginapan. Bahkan sepanjang Seminar, berapa kerat kerabatnya yang datang? Tak sanggup saya membilangnya. Ada kerabatnya yang datang bentang kertas dan balik. Pakcik yang seorang inilah yang terbata-bata keliling kampus. Mujur kehadiran peserta-peserta dari ISMMA Melaka yang saya uruskan penginapan di asrama menjadi penyelamat kepada seminar ini. Dan dua tiga orang kawan-kawan dari DBP dan yang biasa datang ke Seminar ASWARA sebelum ini. Kalau tidak, nescaya saya dan Zacklah peserta tetap untuk Seminar ini.
Saya bukan serik untuk bekerjasama lagi dengan mana-mana pihak di lain kali. Cuma, biarlah selepas ini hanya orang yang boleh duduk dan bekerja bersama sahaja. Saya sedih sebab tengok bos saya, Zack "all out." Macam nak bagitahu saya inilah projek akhirnya. Saya belum pernah tengok di mana-mana tempat, ketua jabatan bergerak merata-rata sepanjang acara, mereka hanya duduk dan main isyarat mata sahaja. Tapi Zack luar biasa. Bahkan pada Malam Persembahan Gayo, Zack sendiri bertindak sebagai juruacara. Pernahkan tuan-tuan tengok di mana-mana? Kalau ada bagitahu saya, saya belanja tuan-tuan makan roti tempayan. Saya berharap ini bukan projek terakhir Zack bersama saya.
Banyak lagi yang tercicir, yang tidak sempat saya catatkan. Entri ini pun sudah terlalu panjang. Saya tahu akan ada rakan-rakan di ASWARA yang mencuri masuk ke blog ini dan membaca repekan-repekan saya. Terima kasih kepada semua kawan-kawan kerana membantu perjalanan program, terutamanya yang melibatkan VVIP. Saya menulis ini hanya untuk peribadi saya saja, bukan hendak menyinggung sesiapa. Maaf banyak-banyak.
Saya menulis hanya meluahkan perasaan. Sepanjang seminggu ini, tidak ada kawan-kawan baik nak mendengar luahan saya. Tiga hari Seminar ini ini seperti saya "putus" sahabat. Haha. Rahimidin dok mengataa, Zakir dok perli. Kawan-kawan yang datang macam Nazmi asyik dok senyum sumbing pula. Habis Seminar, baru Rahimidin nak berkawan balik, dan sms ucap tahniah sebab seminar dah habis. Oh ya, saya belek muka saya di cermin, muka saya tidak berwajah seperti dinasour lagi. Syukur banyak-banyak. Cuma yang saya takut doa si Nazmi termakbul, saya jadi superman.
Entri ini sudah terlalu panjang. Saya berhenti di sini. Maaf kalau ada yang tersinggung. Terima kasih juga kerana membaca dan memahami. Jauh ke dasar hati, saya cuba menyaring-nyaring - mencari yang indah di dalam gundah.

2 comments:

Anonymous said...

salam tamat,
hah hang kena belanja aku roti tempayan,hang tau ada lagi lebih bos dari kuli bos buat kesemuanya.
awat hang tak jemput cina berbangsa melayu mai sama?

benuasuluk said...

Awang,
kalau ada Gang Starz untuk anjurkan seminar, aku dan bos aku wajar dapat bintang penuh. Haha.