BERTEMU DUA SASTERAWAN NEGARA
SEMALAM telah berlangsung Seminar Sasterawan Dalam Pembinaan Peradaban Malaysia di ASWARA, dengan bertemakan Memartabatkan Seni Sastera. Anjuran bersama ASWARA dan GAPENA. Sebenarnya, bermula dengan 23 Jun lagi, disingkap dengan persembahan dari Gayo, Aceh. Dan malam tadi ada Gema Puisi Warisan. Dua perkara ini akan saya tulis kemudian jika berkesempatan. Rahimidin pun dah tulis sedikit pasal Gayo dalam blognya. Hari ini saya hanya nak bercerita tentang pertemuan saya dengan dua orang SN kita. Ada kisah yang menambat saya.
(i) Pagi, 24 Jun
Dewan Orkestra penuh sebelum YB Datuk Seri Hj. Shafei Hj. Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan tiba untuk majlis perasmian. Kerusi terpaksa ditambah. Tentu bos saya suka kalau dewan penuh sebelum Menteri tiba. Saya hanya senyum kelat - antara suka dan tidak. Suka, kerana sebegini ramai yang hadir. Entah kerana Seminar atau kerana Menteri. Harap sampai ke tamat Seminar dewan akan penuh.
Saya nampak SN S. Othman Kelantan (SOK) ada, duduk di barisan paling belakang sekali. Saya tanya penyambut tetamu, kenapa tidak dibawa SN ini ke depan? Dia antara tetamu khas, malah akan turut membentangkan kertas kerjanya. Jawab penyambut tetamu, sudah disuruh tetapi SOK mahu duduk di belakang.
Saya merapati SOK dari belakang, lalu menepuk bahunya, lantas bersalam dan bertanya khabar. Saya jemput beliau ke depan, dan duduk di kerusi paling hadapan - untuk "orang-orang besar." Inikan majlis untuk para seniman.
"Saya tok sei, duduk belake sene nok tubik. Nok cabut pun mudoh," cakapnya sambil ketawa.
"Tak leh gitu," jawab saya.
"Cuba demo tengok ore besar hok dok depe tu. Pakai topi baret. Saya beci bena. Ore ni tak dok adab. Tok reti majelih. Dio tok reti. Sebab tu saya tok sei gi dok depe." Dia menambah.
"Spesis mana tu?" Agah saya. SOK ketawa.
"Kalu dia lalu depe saya pah ni, saya ake sound dio. Baso jenih tok reti. Dio tak tahu majelih. Saya menyapoh denge ore lagu nih." SOK mengulang-ulang lagi ayat serupa.
Lelaki yang bertopi baret itu dulunya orang besar, yang menjadi kepala untuk sebuah kementerian. Sekarang dia datang mewakili sebuah pertubuhan. Saya pandang keliling dewan - sah, hanya dia seorang bertopi baret dalam dewan.
Saya hanya senyum kelat kepada SOK. Hari kedua Seminar ketika duduk berbual-bual dengan SOK, saya terlupa pula nak tanya adakah SOK berkesempatan bertemu dengan lelaki bertopi baret itu, dan "menyumpah-nyumpah" lelaki dari "planet" asing itu.
Ketika majlis penutup, Nazmi Berita Harian berkata mereka ini macam superman. Semua benda mereka boleh buat. Secara sinis dia berkata, lepas ini saya pun akan jadi superman sebab dah berkawan dengan superman. Saya acah Nazmi, tengok lelaki tu. Dia tu terkena meteor. Sebab tu misai janggutnya pun berwarna lain. Tapi kalau dah terkena meteor kenapa misai janggutnya tidak kaler hijau. Ini perang emaslah pula. Sambung Nazmi, topi tu mungkin nak lindung kepala dari terkena meteor kot. Dan kami ketawa mengekek-ngekek di belakang.
(ii) Petang - malam, 24 Jun
Pagi tadi saya dah bertegur sapa dengan SN Muhammad Haji Salleh. Tapi tak sempat berbual panjang. Ketika minum petang ada sedikit lompang untuk saya - lalu saya merapatinya. Saya hulurkan Salju Shibuya, dan Dua Puluh Puisi Cinta dan Satu Lagu Kecewa (puisi Pablo Neruda terjemahan beliau) untuk ditandatangani. Saya hulur Suluk Cinta saya. Merona senyumnya.
Malamnya, pada acara baca puisi dia hendak print puisinya. Saya bawa dia ke pejabat saya. Di situ kami berbual panjang lagi.
"Wah, ada poster Chairil Anwar." Dia pandang pada poster yang tergantung di dinding pejabat saya.
"Banyak buku. Suka baca buku Indonesia ye," katanya sambil membelek-belek buku yang ada di rak saya.
Selalunya, hanya Rahimidin yang suka membelek-belek buku yang ada di rak saya bila datang bertandang, walaupun dia tahu buku apa yang saya ada sebenarnya dia telah ada - dan mungkin telah baca dulu. Azizi Abdullah dalam gurau ketika singgah dulu cakap bilik saya macam bilik Profesor. Saya gelak saja. Entah kerana buku yang sedikit tu, atau kerana bilik saya berselerak dan bersepah. Saya hulurkan sebuah lagi bukunya, Maka Bermadahlah Masa, minta ditandatangani lagi.
Sebenarnya ada beberapa buah lagi bukunya yang ada dalam pejabat saya. Tapi tak jumpa cari. Kalau tidak, saya akan dapat koleksi lengkap bertandatangan buku SN ini. Beberapa tahun dulu, Sebuah Unggun di Tepi Danau dan Aksara Usia telah ditandatanganinya. Aksara Usia ditandatangani di rumahnya di Kajang ketika rombongan peserta MPR berkunjung ke rumahnya. Waktu itu saya antara pendamping MPR. Tahun 2000 agak saya.
"Biar saya tandatangan guna tulisan jawi. Tulis jawi ni lagi istimewa." Kata Muhammad.
Wah, beruntungnya saya. Dapat tandatangan yang istimewa. Kunjungannya ke bilik saya pun dah terlalu besar bagi saya.
"Emm, banyak buku saya awak ada."
"Hampir semua buku puisi Prof. saya ada. Saya antara penggemar puisi Prof," jawab saya, "paling saya gila adalah Sajak-Sajak Sejarah Melayu." Dia mengangkat kening seperti terkejut, dan kemudian tersenyum.
"Saya ingat nak susun dan terbit semula buku sajak tu. Ye lah, sajak-sajak tu ditulis ketika saya masih muda." Muhammad bercerita begitu. Saya terasa seolah-olah semangat saya tiba-tiba bangkit.
Bagi saya, Muhammad adalah penyair yang jiwanya telah jauh menanjak ke "angkasa" tetapi akalnya tetap berjejak pada ranah tradisi. Akar Melayunya utuh. Dia benar-benar berjiwa Melayu Baru. Teringat pada zaman saya belajar dulu, seorang pensyarah saya entah dengan sedar entah dengan harapan menyebutkan betapa Muhammad layak digelar Pendeta.
Kemudian sambung sembang di meja makan bersama Rahimidin yang turut hadir. Muhammad hulurkan sajak yang diprint di bilik saya yang dibacakan sebentar tadi kepada saya, untuk saya menyimpannya.
"Saya akan simpan sajak ini, tanda kenang-kenangan saya. Boleh masuk dalam blog ni," ujar saya.
"Blog tak payahlah." Kata Muhammad tersenyum. Saya ketawa.
Habis acara, saya hantarnya sampai ke kereta sebelum dia balik ke hotel.
4 comments:
salam bersajak-sajak,
wahhhhhhhh wahhhhhhh wahhhhh....hang kira ok juga asai jumpa sasterawan negara jer leh la huloq tangan bagi buku autograf kalau aku jumpa depa huloq tangan korek taik idung je lah huhuhu.
Awang,
aku dah tak larat nak berkawan dengan budak-budak PKNK saja. Bagilah can aku nak berkawan dengan SN2 pulak. Haha.
oit. gaya tulisan ko, mcm aku saja2 nak mengata pd dorang. utk makluman, superman tu pengakuan ismail hussein sendiri. masa tu ko monteng.. hehehe.. eh buat kerja lain kat tempat lain.
aku hanya ulang balik pengakuan "berani" ismail hussein tu
Mi,
eleh kalau dia tak cakap pun, semua orang tahu depa perasan depa nak jadi superman.
Ko carik batu meteor banyak-banyak, pas tu pi campak depan pagar rumah depa.Kekekek
Post a Comment