INIKAH YANG DISEBUT FENOMENA?
DUA malam lepas saya menonton tv. Kebetulan ada rancangan yang dikhususkan untuk orang seni. Tajuknya "sedikit" mengumpan saya. Perihal hari seniman. Jadi, saya pun duduklah terkulat-kulat menonton - juga mendengar. Manalah tahu dapat "menjaring" apa-apa.
Ada tiga orang ahli panel - seorang sedikit "tua", seorang sedikit "berumur" dan seorang yang nampak masih lagi "gagah." Pengacaranya tentulah disebut "hero tua." Orang kata, bukan saya.
Saya tak dapat menjaring apa-apa. Yang ada hanya keladak dan sampah. Entah, barangkali saya sedikit dungu. Yang "si tua" mempertahankan hujah perlunya hari seniman dengan hujah yang entah apa-apa. Saya sedikit pun tidak tersangkut. Balik-balik seniman itu pelakon, penyanyi.
Yang perempuan "sedikit berumur" itu entah, macam lalang. Orang kampung sebut tak ada pendirian. Bila ditanya, ayat pertama yang keluar daripada mulutnya ialah entahlah, tak tahulah... hendak berbasa basi sebelum bercakap. Kalau sudah rasa hari seniman itu tidak ada manfaatnya untuk golongan seniman, sebut sahaja. Bantai sahaja. Tak perlu berdolak dalik. Tak perlu merendah kami tak dapat datang menyokong hari seniman kerana perlu cari makan. Datang hari seniman bukan dapat apa-apa. Minyak pun mahal sekarang. Tol lagi. Bayar parking lagi. Bla bla bla. Cakaplah begitu kalau berani.
Yang nampak sedikit "gagah" itu lebih terus terang. Membantai gagasan hari seniman. Baginya, hari seniman ialah hari seniman bekerja. Tak payahlah nak berkumpul-kumpul. Saya ketawa kecil. Malah, pilihan hari seniman baginya pun tidak betul. Ada ke patut memilih hari kematian seorang seniman besar untuk meraikan hari seniman. Si "gagah" ini mencadangkan agar dipilih hari kelahiran Munsyi Abdullah sebagai hari seniman. Ini lebih wajar. Saya senyum sedikit. Sekurang-kurangnya daripada tiga orang ini ada yang cuba sedikit untuk masuk ke dunia persuratan.
Si Pengacaranya? Haram! Balik-balik menyebut hari seniman ini untuk artis, penyanyi, pelakon, pelukis. Itu saja. Tak cuba menyogok ahli panel dengan skop yang lebih luas, atau sekurang-kurangnya lari tajuk sedikit. Hampeh punya pengacara. Apa begitu kecilkah dunia seniman? Dia pun sama dengan "si tua" tadi. 2 X 5 dengan perempuan "sedikit berumur" tadi. Patutnya tukar aja pengacara ni dengan Sdr. Mat Daud DBP. Tak pun panggil kekanda saya, Rahimidin. Ini takat pengacara macam tu orang Kedah kata buat semak macam pokok menerung.
Sepanjang satu jam yang membuang masa depan tv itu satu kali pun tidak disebut pasal dunia lain - sasterawan misalnya. Dunia persuratan misalnya - kecuali cubaan untuk mengangkat Munsyi Abdullah itu. Begitu kecilnya dunia kesenimanan di sini. Lepas tu "di luar sana" ada orang berkokok berani memperlekeh, sasterawan tidak berani ke depan untuk merebut dana untuk seniman. Sasterawan berjiwa kecil kata mereka.
Padahal sasterawan pun dia tak kenal. Adakah patut Ismail Hussein pun dia kata SN. SN yang ke berapa, 80 kot? Poddah! Zakir, cepat serang mereka dan hentak rifel, minta duit, dana untuk sasterawan daripada depa - boleh anda buat lagi Perhimpunan Penulis Muda. Ada orang berangan hendak berkunjung melawat SN-SN yang uzur, tanda simpati dan kasih sayang. Sebelum balik nak hulur envelop ada isi. Apa ni? Koman sangatkah penulis? Belum ada penulis di Malaysia "dihalau" anak-anak, tidak ada rumah, belum ada yang kebulur. Penulis kita bukan macam seniman yang lain, bila tua berkokak-kokak merata-rata sebab duit tak ada untuk hidup. Sekurang-kurangnya penulis kita masih ada harga diri. Kalau kita nak tunjuk kasih sayang kepada sasterawan kita, belilah karya mereka. Sekurang-kurangnya kita menjaga harga diri sasterawan - dalam masa yang sama kita menjaga harga diri kita.
Inikah yang disebut sebagai fenomena? Entah, barangkali saya ni jenis dungu, jenis yang lambat nak faham, atau memang jenis ketegaq, susah dan payah nak faham. Seperti biasa bila tak dapat apa-apa, saya pun muntah sebaik tamat diskusi itu.
4 comments:
Salam,
marah nampak? jangan gitu dik.
Salam kembali,
aii dah tak guna dewek ke?
Tak marah bang,adik cakap je. Kalau dah muntah, marah dah keluar. Heheh.
salam `senimen`,
ahhh...mambaca buku pun malas macam mana nak kenal sasterawan pelakon filem porno pun mereka tak kenal,di US atau europe mereka ada anugerah pelakon filem dan filem porno terbaik tau...huhuhu.
Awang,
takat tu jer kepala otak depa ada. Nak buat macam mana.
Post a Comment