Monday, July 7, 2008

SAYA, YANTO DAN HAJI DOLAR

PERNAHKAH terjadi kepada saudara bila mengunjungi ke satu tempat yang jauh dan asing untuk jarak masa yang agak lama, sesudah sampai di sana baru saudara sedari yang saudara tidak membawa atau keciciran wang belanja untuk jarak lama saudara itu?
Ini pernah terjadi kepada saya baru-baru ini, ketika berkunjung ke Jakarta. Saya membawa rombongan pelajar ke Festival Pantun Serumpun di Taman Ismail Marzuki. Sebelum pergi, sudah saya tukarkan wang belanja sebanyak empat juta rupiah. Saya masukkan dalam sampul. Ada tiga lagi sampul - sampul wang belanja pelajar, sampul yuran pertandingan, dan sampul segala cukai, transportasi dan kontingensi. Dan sampul keempat itu wang empat juta rupiah itulah - untuk biaya saya sendiri selama seminggu di sana.

Kasad saya sebelum pergi memang saya akan gunakan wang itu sebahagian besarnya untuk membeli buku. Juga untuk berjalan-jalan. Juga berniat hendak belanja pelajar saya makan angin kalau berkesempatan. Dalam beg duit saya pula, terselit wang dalam bentuk Ringgit Malaysia, agak banyak juga. Besoknya, sesudah sampai di Jakarta dan waktu sedang mengikuti sesi taklimat festival pantun tersebut di Hotel Menteng, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena.

Saya pandang tutor saya, Nasir dengan muka berkerut. Padanya saya bisikkan saya "barangkali" tertinggal wang biaya sendiri di Malaysia. Saya tahu dia menyumpah saya waktu itu. Pelajar-pelajar saya yang tiga orang itu - Sari, Azreen dan Fairuz tidak saya beritahu sehingga pulang ke Malaysia. Perempuan barangkali cepat panik dalam situasi ini. Dan saya tahu, mereka bertiga tidak membawa wang yang banyak. Mereka masih belajar - kebetulan wang poket dibiayai oleh institusi kami. Usai taklimat, buru-buru saya dan Nasir naik ke kamar hotel, saya geledah beg saya. Memang sah, saya tertinggal wang saya. Saya telefon drebar pejabat yang menghantar kami ke airport semalam, takut tercicir dalam kereta. Jawapannya negatif. Nasir sudah menepuk dahi.

"Kau ton tong duit aku dululah." Begitu dia berkata kepada saya. Suaranya menyebal.

Saya masih mahu bertenang, "Duit tu aku nak joli katak beli buku di sini tau," kata saya sambil menghempuk di depannya duit dalam poket saya - masih dalam Ringgit Malaysia (duit ini sebagai "kecemasan" saya).
"Habis kata nak ke Bandung, ke Garut, ke Bogor?" Nasir macam patah hati.

"Tengoklah macam mana, kalau masih berbaki." Saya pun macam patah hati.
Petangnya, Nasir bawa saya berjumpa temannya - Yanto. Yanto bilang Si Nasir ini seperti saudaranya sendiri. Kepada Yanto kami mengadu, sambil bertanya tempat yang sesuai untuk menukar ringgit yang seperti sudah menjadi beban dalam beg duit saya ini.
"Nggak usah ke Money Changer. Nanti malam ikut saya bertemu Haji Dolar. Uangnya lagi lumayan."
Malamnya, seputar jam sebelas Yanto membawa kami berlima ke tempat Haji Dolar. Sampai di sebatang gang yang mulai sunyi, Yanto memberhentikan van. Nasir dan tiga pari-pari saya tinggalkan dalam van. Saya dan Yanto berjalan kaki sehingga kami betul-betul sampai di laman sebuah banglo. Inilah rumah Haji Dolar, bilang Yanto. Di luar rumah Haji Dolar ada tiga atau empat orang lelaki- tegap dan sasa.
Saya dan Yanto dibawa masuk ke dalam bertemu dengan Haji Dolar oleh salah seorang lelaki yang agam itu. Barangkali bodyguardnya. Haji Dolar simple orangnya, hanya berseluar katuk keluar berjumpa kami. Rupanya Haji Dolar ini money changer tidak berdaftar. Saya keluarkan seketul duit dan unjukkan pada haji ini.
"Sama saya tukarannya lebih lumayan. Nggak percaya sila kembali ke hotel dan semak kadar tukarannya." Begitu Haji ini berkata kepada saya. Yanto mengiakan saja - dia memang sudah biasa dengan lelaki ini.

Syukur, sekepuk rupiah kembali dalam genggam saya, hampir empat juta juga. Masih jutawan lagi saya. Ketika mau pulang, sedar-sedar dompet duit saya tak ada. Gelabah saya dalam rumah Haji Dolar. Yanto dan Haji Dolar meminta saya tenang, dan cari perlahan. Saya selak habis bawah sofa rumah Haji ini. Fikiran jahat saya mula menerawang. Tapi mustahil. Setelah berpeluh-peluh agak lama, baru saya sedar dompet saya terselit di poket belakang jeans saya. Cis! Baru saya ingat sejak dari LCCT lagi dompet saya selitkan di bahagian poket depan. Entah macam mana boleh selit di belakang semula. Saya menyumpah-nyumpah diri sendiri - bikin ribut saja. Yanto ketawa dan senang sekali menasihati saya itu ini. Selepas bersalam dengan Haji Dolar, kami melangkah. Lega rasanya bila rupiah sudah ada kembali di tangan. Kata Yanto, dulu Haji Dolar ini buas juga - kaki minum, kaki perempuan. Sekarang sudah Haji, sudah baik orangnya.

Dengan wang di tangan, usai saja acara rasmi kami, saya bawa budak-budak saya ke Bandung dan Garut. Dua jam lebih perjalanan dari Jakarta ke Bandung dengan kijang. Selain menyewakan kenderaan, Yanto menyediakan kami pemandu yang cekap - orang Bandung yang tahu jalan pintas. Turun seawal jam tujuh pagi dan budak-budak saya seperti "mabuk" di Bandung. Kami batalkan hasrat untuk bermalam di Bandung. Kalaulah wang tidak tertinggal, nescaya kami akan lebih lama di Bandung. Jam satu pagi baru kami tiba semula di Hotel Menteng, setelah penat seharian memborong di Bandung. Untuk suri, emak dan mertua, saya titipkan beberapa helai kain batik sebagai ole-ole. Beberapa helai baju untuk buah-buah hati saya. Untuk diri? Cukuplah dengan rasa puas sampai juga ke Bandung. Tapi di Jakarta, saya borong ole-ole saya - serentetan buku-buku yang menjadi idaman. Hingga terpaksa beli beg tambahan kerana tidak muat. Itupun rasa tak cukup. Lain kali mau pergi lagi. Di Pasar Senin, saya menempah kot baru - yang disiapkan dalam masa sehari saja. Cepat dan murah.

Oh ya, wang empat juta yang saya tertinggal dulu, masih ada. Saya belum mau tukar kepada ringgit. Barangkali itu sebagai tanda dalam jarak waktu terdekat ini, saya pasti kembali ke sana!

3 comments:

Anonymous said...

salam wak jono,
lain kali nak p jakarta bagitau kat aku ada benda byk sangat nak kirim.

Denanz ... said...

salam,
apa habaq, jutawan?

benuasuluk said...

Awang,
apa barang kirim-kirim. Jom lah kita pi skali ke sana. Kita dua pun takpa. Ada brani?

Che Nan,
habaq baik. Lama tak dengaq ceghita. Bila bole lepak di bucu skali?