Monday, July 28, 2008

(i) KESAN SATU KUNJUNGAN

TENGAH HARI Ahad, bersama-sama Shamsudin Othman dan Rahimidin Zahari, saya mengunjungi SN S. Othman Kelantan yang sedang terlantar di Hospital Serdang. Dari rumah yang jaraknya cuma 10 minit, saya menunggu mereka berdua sampai, sebelum kami kemudiannya sama-sama beriringan menuju ke tingkat empat wad tersebut.

Kasihan sungguh melihatnya. Tak sampai hati merenungnya lama-lama. Masih terngiang-ngiang suaranya sewaktu kali terakhir saya berborak dengannya selepas Seminar Sasterawan tempoh hari. Selepas seminar tamat, pada awal Julai S. Othman ada berkunjung sekali lagi ke ASWARA. Mengambil bayaran bagi pembentangan kertas kerjanya. Dia terlewat ambil.

“Demo tu hak ambik duit awal tu gamaknya sesak benar.” Begitu dia cuba berlucu pada ketika itu. Saya ingat lagi.

Dia memang suka berlucu dalam serius. Dalam serius dia berlucu. Beria-ia dia mengajak saya dan Zack untuk minum. Tapi saya dan Zack menolak kerana ada urusan penting waktu itu. Sempat dia bercerita akan mula bertugas di UPSI, dan berkira-kira hendak mencari sebuah rumah di sana. Tak larat nak ulang alik katanya. Sempat lagi berlucu, katanya Zakir pergi Kediri tak bagi tahu dia. Kalau bagi tahu pun bukan dia tak bagi pergi, Zakir dah besar, pergilah. Bahkan kalau Zakir bagi tahu, dia akan doakan lagi untuk Zakir. Tapi rasanya Zakir dah bagi tahu dia, cuma tak bagi tahu bila nak pergi. Begitu cerita S. Othman. Saya dan Zack ketawa mengekek.

Tapi S. Othman yang sedang berada di hadapan kami tengah hari ini berbeza amat dengan S. Othman yang kami kenali sebelum ini. Nampak benar penderitaannya. Saya pasti, Shamsudin dan Rahimidin juga berperasaan sama ketika itu.

Entah apa yang bermain di fikiran saya. Tapi rasa terharu dan simpati bertimpa-timpa bila melihat sasterawan besar ini terlantar. Moga Allah memberinya kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi ujian ini, kembali sembuh dan sejahtera hendaknya.

(ii) MIMPI

MALAM tadi saya bermimpi. Tak pernah lagi saya bermimpi seperti ini. Saya terbang ke langit, dan akhirnya saya turun menjunam dan jatuh ke laut. Di tengah segara, saya membina kehidupan yang baru. Jauh dari hiruk-pikuk dan kesibukan manusia.

Anehnya, saya hanya bermain perahu layar di tengah laut yang tak bertepi. Tidak ada rumah. Bahkan tidak ada kehidupan yang lain. Yang ada cuma hanya saya dan perahu layar. Saya memandang ke atas, bintang-bintang penuh di langit. Pokoknya, saya gembira dengan dunia baru itu. Dengan perahu layar itulah saya berpusing-pusing melihat dunia baru saya. Sangat indah dan penuh makna.

Bila tersedar, sudah hampir subuh. Saya seperti menyesal bila tersedar. Tak puas rasanya saya bermimpi seperti itu. Sungguh indah dan asyik. Ini pertama kali bermimpi seperti ini. Di dalamnya saya terlupa dengan dunia sebenar. Saya benar-benar masuk ke dalam terowong mimpi. Terasa seperti bukan berada dalam ilusi fatamorgana. Sayang, mimpi tak selalunya nyata. Dan tak selalunya akan kekal dalam ingatan. Ia hanya akan menjadi seperti puing-puing buih. Dan akhirnya ruyup dan begitu saja akan dilupakan.

Kini, kehidupan kembali seperti biasa. Rabb, aku bersyukur dengan kesementaraan ini...

7 comments:

Denanz ... said...

mimpi indah memang menyeronokkan. abang selalu mimpi jd orang kaya. bantu orang sana sini. buat kediaman utk anak yatim. bina masjid (masjid betul, bukan "masjid" lain). kalaulah jd kenyataan ... doa2kan la.

Anonymous said...

salam sejahtera,

s.othman kelantan antara sasterawan yang pernah atau membawa kepada muqabalah antara PAS dan UMNO.
ahh,apalah sasterawan di mata politikus.semoga pak s.othman kelantan cepat-cepat sembuh.

benuasuluk said...

Che Nan,
Saya tak mao mimpi jadi orang kaya. Ustad kata orang kaya yang paling lambat masuk syurga sebab banyak kena hisab. tapi kalau kaya buat macam dalam mimpi bang nan tu baguihlah

awang,
amin, semoga beliau segera sembuh.

MARSLI N.O said...

Sdr Ridzuan: Mimpi. Mimpi. Harap. Harap. Jadikan cerpen bagus juga kisah mimpi itu.

benuasuluk said...

Sdr. Marsli,
memang sesuai untuk cerpen.
Datang tak diskusi MPR sabtu ni, boleh kita berborak panjang.

Sham al-Johori said...

tuan benuasuluk,
lain kali sebelum tidur basuh kaki. susah2 sangat rendam kepala dalam baldi biar sampai lemas. Lepas tu tidur. kalau mimpi juga, maknanya tak lama lagi akan bergelar pendekar mustar di ASWARA. hehehe.
mimpi kan indah dan seronok apatah tagi apabila bermimpikan siti norhaliza... hehehe

benuasuluk said...

syeikh sham,
tuan guru juga akan jadi pendekar mustar tak lama lagi. haha.
Siti norhaliza? Tak maolah, saya nak mimpi nurul syuhada pulak. Haha.