Saturday, July 26, 2008

DI KEDAI BUKU

SANGAT sedih bila membaca catatan Saudara Marsli berkaitan dengan Memartabatkan Kembali Sebuah Buku. Bercakap tentang buku dan harga buku. Tentunya yang berlebih-lebih ialah tentang harga seorang penulis. Di Malaysia. Bukan Uganda. Bukan Namibia. Bukan Kenya. Dan catatan Saudara Lutfi juga berkaitan Kedai Buku. Semuanya perihal yang tidak molek dan amat menjengkelkan.

Saya kebetulan baru balik dari kedai buku DBP. Dan terus duduk di depan komputer. Ingin membeli buku dan majalah baru, Ogos. Sudah terbit majalah, tapi Dewan Sastera tidak ada. Saya tanya mamat di kaunter mana Dewan Sastera? Jawabannya;

“Oh, dah habis, Encik.”

Jawab saya;

“Betul ke? Saya tanya yang bulan Ogos punya, buka Julai.” Di rak, segala majalah Dewan termasuk Dewan Budaya, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Dewan Kosmik edisi Ogos 2008 semuanya ada. Dewan Sastera yang tidak ada.

Betul, Encik. Dah habis Dewan sastera. Rasa saya Bahagian Sastera DBP yang borong kesemuanya.” Jawab mamat yang jaga kaunter, dengan tertib sekali.

Saya agak mungkin Bahagian Sastera nak jual sendiri kot majalah Dewan Sastera. Kalau harap kedai buku je memang akan berkulatlah nanti. Baguslah kalau mereka ada niat nak jual sendiri. Tapi, betul ke? Kalau nak jual sendiri, Bahagian Majalah DBP yang patut jual. Penat-penat mereka buat tapi jualannya amat mengecewakan. Semuanya kerana Pemasarannya yang lembab nak mampuih.

Saya pusing menjengah Suluk Cinta saya. Ada tiga naskhah saja. Saya senyum sendiri, kalau saya tanya budak ni lagi nanti dia akan jawab Suluk Cinta pun habis terjual. Saya pun cuba bertanya. Saya nak borong menjelang diskusi 2 Ogos ini. Kalau jumpa kawan-kawan MPR yang lama tak jumpa, kasad saya ini sebagai buah tangan. Budak kaunter pun menyemak data dalam komputernya.

“Hah? Macamana boleh jadi negatif lima buku ni?” Dia bercakap kuat, tampak terkejut. Saya mengangkat kening. “Ni salah rekod kot, buku baru mesti ada,” dia seperti bercakap kepada saya.

Macam mana boleh jadi negatif lima, fikir saya sendiri. Gamaknya ada makhluk halus yang sembunyikan buku saya. Dia berjalan ke rak buku tempat saya mengambil tiga naskhah tadi sambil membelek-belek di rak. Kasihan! Kata saya;

“Kat sini saya dah tawaf tadi. Memang tak ada dah,” harap dia akan membuka kotak mencari stok baru yang belum dibuka.

“Oh kalau dah tak ada kat sini, maksudnya dah habis. Mungkin buku yang Encik cari tu dah habis dibeli orang,” jawabnya seperti berjujur-jujur.

Saya senyum kelat. Kumpulan puisi Suluk Cinta Ridzuan Harun dah habis? Besar sungguh nama Ridzuan Harun sampaikan bukunya habis terjual dalam masa empat bulan (Suluk Cinta mula dijual pada penghujung Mac 2008).

“Kalau Encik nak dengan stok yang banyak, Encik pergilah ke Dawama. Di kilang tu ada kedai buku. Saya percaya mesti banyak lagi ada di situ. Lagipun Encik boleh dapat murah lagi.” Dia memang baik dan mahu lagi menolong saya. Tapi apa kejadahnya saya nak ke sana, walhal sekarang saya berada di kedai buku DBP, yang menerbitkan karya saya sendiri?

Saya cepat-cepat bayar RM 200.00, harga buku yang saya beli dan cepat-cepat keluar sebelum mulut saya ringan untuk mencarut-carut. Sebelum keluar saya kerling sepintas lalu buku kawan-kawan, Sangeetha Azizi Abdullah dan Manikam Kalbu Faisal Tehrani masing-masing tergodek-godek ada sebuah lagi. Walhal Azizi ada bagitahu saya Sangeetha ni hebat bukunya saja, tapi jualannya tak berapa laku jika nak dibandingkan dengan Harga Sebuah Maruah (yang diborong oleh Perpustakaan Negara Malaysia). Saya menggeleng kepala dan cepat-cepat melangkah keluar.

Bila mengingat-ingat catatan Marsli, sebagai sahabat dan sebagai penulis, saya tumpang bersedih. Saudara Marsli, nampaknya nasib kita tidak mungkin sebaik Sawako di Jepun. Bila membaca catatan Lutfi, radang kita pun datang.

Di hadapan komputer ini ketika membuka blog saya, saya pun berkira-kira empat atau lima tahun lagi saya akan memungut sampah bernama Suluk Cinta dengan harga RM 1.00 sebuah. Lalu longgokan yang akan saya beli nanti, akan saya bayar dengan air mata dan rasa kecewa sahaja.

4 comments:

Anonymous said...

salam ketawa,kahkahkah.

DBP ka?huhuhu aku lebih lama dan arif dengan DBP.pun..k punya jenama lebih baik balai pustaka.lebih baik happy news agency kat aloq staq nuh atau pustaka union.tanya apa pun tarak.buku hang kat ejen DBP kat klang pun tarak.jawapan depa cik p kat dawama ampang situ kilang dawama ada kedai buku sekali.kalau logotuh hangpa tutup atau katup semua DBP daerah atau negeri pakai dawama sajalah.lagi satu kualiti kertas dbp sekarang macam siot.
nasib penulis macam lu orang takyah lah nak banding dengan penulis jepun ka penulis jerman banding dengan ahadiat akashah sudah lah huhuhu.

FT pun tahu tentang hal ini jiwarasa pun tahu ramai dah tahu tapi meluat lah.tengoklah sapa pengerusi dbp kelasss gitu si mamat tuh.nak cari buku baik pi kat pijat lagi belambak lagi murah-murah iya pak huhuhu.

bersabarlah wahai kawanku,apa kata kalian buat kumpulan penulisan bawah tanah secara besar-besaran.hah budak-budak remaja dan muda-mudi sekarang nih suka dengan pergerakan bawah tanah nih.kalau nak kenangkan nasib nanti memang parah pakai jadi miskin jer lah berapa sen sangat dapat.hah lu orang pakat-pakat buat novel cereka cinta meleleh-leleh berganding dengan FT,lu,azizi(wakil penulis senior)nisah haron,zaen kasturi ka s.m zakir ka.hah bikin gempak,mau meletup-letup di pasaran.hahahah...

SATIRA + KACAU said...

Sdr Ridzuan: Ada juga bahagian lain yang menarik di sana. Dan tentu sahaja kita merungut bukan kerana benci, tetapi mengharapkan akan ada sesuatu yang diperbaiki.

Tidak mengapa, walau kita hanya mengharap dan terus mengharap.

Kerana, jika tanpa harapan, apalah kita?

Bukankah?

Satira +Kacau

Denanz ... said...

salam.
reduan, abg pun heran kalau kata DS dh habis. baru sangat terbit. kalau macam tu, mmg bagus betul Dawama punya pelan perniagaan. awat tak call abang. DS ada. buleh jugak pekena teh bucu.

benuasuluk said...

Salam awang,
DBP walau apa pun masih yang terbaik untuk semua penulis di Malaysia. Buruk-buruk DBP dia tetap juga kecintan kami semua penulis. Marah-marah sayang sebenarnya.

Sdr. Satira + Kacau,
DBP masih yang terbaik untuk kita. Kita tetap sayang kepadanya. Betul cakap sdr, kita menegur mereka dengan penuh kasih sayang, dengan harapan yang penuh kepada mereka di sana.

Che Nan,
Saya pergi hari sabtu, mungkin Che Nan tengah cuti. nanti kita plan le bila-bila hari apa kita pekena cendol bucu. Ajak sinaganaga sekali.