CERITA PENAT DAN SETIN CAT
SAYA sangat penat hari ini. Sudah dua hari penat lain macam dan serabut. Maklumlah pelajar baru mendaftar untuk semester baru. Pagi tadi ada taklimat untuk semua pelajar Fakulti Penulisan. Yang baru dan yang lama. Dari pagi saya belum senyum. Asyik kena serbu mana nak senyum. Yang nak daftar kursus, yang nak semak semula keputusan peperiksaan, yang nak mengulang semester, yang kena amaran, yang nak tangguh pengajian, yang tak tahu nak pilih elektif, yang buat-buat nak manja, yang buat-buat tak tahu, macam-macam bertimpa datang. Itulah rutin yang penat setiap awal semester, tapi saya seronok.
Di sini, saya bukan setakat mengajar. Serba serbi kena buat sebagai seorang Penyelaras Fakulti. Dari akademik pelajar kepada pengurusan pejabat, dari pengurusan pejabat kepada aktiviti Fakulti, dari aktiviti Fakulti kepada aktiviti keseluruhan institusi ini. Saya juga bertindak seperti “kaunselor Fakulti” di sini. Sebab itu saya tidak gemar orang panggil saya pensyarah. Malu saya, tak kena langsung. Kawan-kawan yang datang atas undangan seperti Malam Puisi Warisan atau Seminar akan perasan saya terkejar-kejar, bergerak sana sini, tak duduk diam, dan tak sempat mana pun nak melayan kawan-kawan. Di Fakulti bayangkan hanya saya seorang saja penyelaras, yang menguruskan serba serbi.
Di Fakulti, saya terkenal sebagai cikgu disiplin (jarang senyum tapi hati baik haha). Saya cakap saya kurang senyum pada pelajar tapi saya kuat ketawa pada pelajar. Ye lah bila saya cakap tak nak dengar, tapi bila mereka ada masalah mereka akan cari saya semula. Dan saya akan ketawa kuat-kuat pada mereka. Padan muka! Haha. Suruh pergi jumpa Ketua Fakulti mengadu tak nak pulak. Sudahnya balik jumpa muka yang susah nak senyum ni. Saya pun jadi macam kaunselor. Tapi, akhirnya akan saya tolong mereka juga. Ye lah mereka pelajar, nak buat macam mana, menjadi kewajipan saya untuk menolong. Memang itupun tugas saya. Sepatutnya saya tak perlulah mengeluh penat atau apa. Kadang-kadang banyak benda yang saya juga dapat belajar dari mereka dan selalunya bila ada aktiviti mereka ini juga yang tolong saya. Itu yang saya cakap penat tapi seronok. Yang penting, mereka faham saya dan senang dengan saya.
Sekarang sudah pukul 6.00 lebih, pejabat pun dah mula sunyi. Sekarang saya ingin ketawa kuat-kuat. Pasal pelajar saya. Tengah hari tadi ada seorang pelajar saya bercerita tentang pengalamannya praktikal masa cuti semester baru ni. Di sebuah penerbitan akhbar. Pengalamannya bertugas. Naik tren turun tren, naik teksi turun teksi. Setiap kali cover story akan dapat barang-barang sebagai cenderamata. Seronok katanya, rasa tak puas lagi berpraktikal.
Ada satu hari pergi cover story pasal pelancaran cat baru oleh sebuah syarikat pengeluar cat. Maka sebelum pulang, dihulurlah setiap seorang setin cat sebagai cenderamata. Bukan tin kecil tapi tin besar, sebesar bakul sampah. Maka terkejutnya bukan kepalang. Terpaksa bawa pulang tin cat naik LRT. Malu bukan main. Semua orang asyik pandang-pandang. Sampai di pejabat, dicampaknya tin cat itu pada penyelianya. Tak sanggup untuk sekali lagi dia bawa naik tin cat dalam LRT untuk pulang ke rumahnya. Apalagi, pecah perutlah saya ketawa tengah hari tadi. Gayanya yang bercerita tu yang membuatkan saya tak tahan untuk ketawa. Dari pagi muka tak senyum, tiba-tiba ada juga penawar yang datang. Budak-budak ini memang penawar saya di sini. Hilang sekejap penat saya.
Inilah cara saya nak lepas tension dan penat bekerja. Saya akan ketawa. Dan sekarang, saya ingin ketawa lagi perihal cerita setin cat ketika orang lain sudah beransur pulang dari pejabat.
5 comments:
salam cat,
ala,macam kita juga lah dulu-dulu penawar dan pemanis kepada cikgu sekolah kita.sekarang ini gigliran saudara menerima keseronokan itu pula.
Awang,
nasib baik dulu sempat berguru dengan cikgu nasir macam mana nak jadi kaunselor.
wan,
"... yang buat-buat manja ..."
haha. yang tu abang suka. hahaha.
wah.. dah sah2 la si sari....
Che nan,
"yang buat-buat manja" tu lah yang selalunya buat saya selalu patah tengkuk. haha.
hadsha,
wo! wo! wo!
Post a Comment