Wednesday, June 1, 2016

Tentang Sutung Umar RS

  









 

 




1. Saya tak sempat cari gambar bersama arwah. Tak ingat, mungkin ada. Mungkin juga tak ada. Mungkin ada dengan kawan-kawan.Tapi saya selalu ingatkan buku ini - "Kampung Halaman".
2. Sutung pernah menyiarkan dua tiga buah puisi saya. Tak banyak mana. Di BH dan juga majalah MASA. Ketika saya sedang baru bermula, dengan puisi mentah seadanya. Secara peribadi, saya kenal dan berbaik dengan Sutung melalui Rahimidinlah. Kerja Rahimidin, memang memperkenalkan saya kepada semua kawan agaknya. Memang begitu.

3. Ada satu puisi saya Sutung sangat suka, kata Rahimidin. Sutung tak pernah cakap pada saya. Sutung edit sedikit dan siarkan dalam majalah Pentas terbitan Istana Budaya yang dia menjadi editornya. Memang agak panjang. Saya tak tahu kenapa Sutung suka, padahal hanya sebuah nostalgia ketika saya kanak. Kerana Sutung yang edit, saya tak berkecil hati, malah sangat berbangga. Puisi saya mendapat sentuhan tangan antara editor sastera terbaik tanah air. Sutung menanam, membajakan dan membentuk ramai penulis muda; yang kemudiannya mengisi persada sastera tanah air. Saya terlambat sekali agaknya.
4. Suatu petang Rahimidin bawa saya ke DBP untuk serahkan manuskrip kumpulan puisi pertama saya. Ya, kumpulan puisi pertama saya terbit dengan DBP. Di Bucu, kami menunggu Mat Shaidan. Saya serahkan sampul berisi manuskrip saya kepada Mat Shaidan. Ketika inilah Sutung sampai. Apa ni tanya Sutung kepada saya? Manuskrip puisi saya, jawab saya. Aku nak tengok kata Sutung. Saya terkejut. Saya tak bagi buka. Segan. Sebenarnya saya serba salah dengan Mat Shaidan. Akhirnya Sutung buka juga. Saya terdiam. Rahimidin tersengih. Mat Shaidan tak terkata apa. Ok, boleh terbit, sepatah kata Sutung kepada Mat Shaidan. Petang itu Mat Shaidan bawa balik manuskrip kumpulan puisi saya ke pejabatnya dengan sampul yang sudah dikoyak. Mengingati Sutung, tak ada perkara lain yang lebih saya ingati, selain peristiwa kecil ini suatu petang di Bucu Dewan.
5.Ketika novelnya, "Seluang Lepas Melaut" terbit, saya antara orang di belakang penerbitan buku ini, selain Rahimidin. Orang yang terbitkan novel ini kawan baik saya juga. Hanya sayang kerana beberapa masalah, bahagian kedua novel ini tidak dapat diterbitkan walaupun sudah siap dicetak. Setiap kali berjumpa dan bersalam dengan Sutung, melihat matanya memandang saya, saya tahu dia seperti bertanya saya tentang bahagian kedua novel ini. Dia ralat bahagian kedua ini tak dapat diterbitkan. Saya nak tolong, tapi tak boleh membantu. Rahimidin pun sudah tak ada. Tapi saya seperti menyimpan bahagian kedua "Seluang lepas Melaut" yang belum bersunting, diemelkan Rahimidin. Mungkin masih ada. Kena cari kalau masih ada.
6. Saya tak baik sangat dengan Sutung. Kenal pun agak lewat. Rasanya tak sampai dalam 10 tahun. Mungkin 7, 8 tahun begitu. Kali akhir jumpa, rasanya dua tiga bulan lepas di PENA. Tapi sesingkat itu banyak perkara sempat saya saring dari nasihatnya. Dia tidak lokek ilmu, sedikit sebanyak saya juga sempat berguru dengannya secara tidak rasmi.
8. Jasa dan sumbangan Sutung terhadap sastera tanah air sangat besar. Ramai yang terhutang budi dengannya. Yang tinggal kini, ingat-ingatan kita, kenang-kenangan kita, dan tentunya doa kita. Dia telah pergi, tapi Panggung Sutung Umar RS yang menjadi pentas kita berpuisi di Rumah PENA saban bulan masih tegak berdiri, mewakili semangat dan dirinya.
9. Tugas Sutung untuk kita telah selesai. Berdoalah kita semua, semoga roh Sutung ditempatkan di tempat orang yang baik-baik. Perjalanan akhirnya semalam pun sungguh mudah, pantas, cepat; sangat-sangat laju saya kira. Allah memudahkan perjalanan akhirnya. Ramai yang tak sempat berziarah; kerana semuanya seperti sepantas kilat diselesaikan urusan jenazahnya.
10. Seperti judul bukunya "Kampung Halaman", Sutung Umar RS kini telah benar-benar kembali ke kampung halamannya; kampung halaman yang lebih abadi. al-Fatihah.

Nota: Sutung Umar RS meninggal dunia pada petang 30 Mei 2016. Jenazahnya dikebumikan pada malamnya di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Permata.

No comments: