Tuesday, May 20, 2014

Temuduga Calon Pelajar Baharu ASWARA

Saya turut terlibat untuk temuduga pengambilan pelajar baharu ASWARA Sesi Akademik 2014/2015 bagi Fakulti Penulisan Kreatif. Pengalaman temuduga calon hari ini, ada seorang calon cerita dulu sekitar 1990-an, pernah minta untuk masuk belajar di ASK (sekarang, ASWARA). Katanya waktu itu di Jalan Ampang. Tak sempat datang temuduga, ibu bapanya tidak memberikan kebenaran. Kemudian minta masuk Akademi Filem di Finas, pun sama. Sekali lagi, ibu bapanya juga tak mengizinkan. 

Calon ini tidak nyatakan kenapa kedua ibu bapanya keberatan sekali untuk mengizinkan anaknya masuk ke sekolah seni, dan mahu belajar bidang penulisan. Dan sampai ke akhir temuduga pun, saya sikit pun tidak bertanya kenapa ibu bapanya begitu sekali tidak membenarkan dia untuk belajar dalam bidang seni, khususnya penulisan. Saya tak perlu tanya, dan rasanya saya tak perlu membuang waktu bertanya tentang itu. Jawapannya sudah saya boleh agak kenapa. Jadi, saya bertanya dan bercakap hal yang lain, hal yang lebih penting untuk menjadi pelajar dalam situasinya sekarang yang sudah jauh berbeza dengan dirinya pada dekad 90-an yang lalu.

Sekarang beliau sudah berkahwin dan ada dua anak. Tahun hadapan anaknya yang sulung akan mula masuk sekolah. Bekerja sendiri sebagai pengedar buku. Setelah beberapa waktu dan ketika dia sudah membina kehidupan sendiri, kali ini dia minta sekali lagi untuk masuk Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA kerana kemahuan dan keinginannya masih ada.

Hidup, memang ada banyak warna.

No comments: