Sunday, May 11, 2014


Guru Saya

Mengunjungi guru, atas tugasan akademik yang sekian waktu tertangguh. Saya letakkan semuanya atas kelalaian saya kerana sering bertangguh dan melengahkan waktu. Guru yang sama, yang juga membimbing saya 17 tahun dulu, di institusi yang sama ketika mula berpindah ke kota untuk melanjutkan pengajian. Kerana bidang kajian yang saya tekuni hanya ada dia yang utama di situ, maka saya memilihnya penuh kerelaan. 17 tahun dulu, dia masih muda pada perkiraan saya. Barangkali sebaya, atau lebih muda dari usia saya sekarang ketika mengajar saya dan kawan-kawan.

Pagi Jumaat lalu, saya mengunjunginya. Janji temu yang diatur beberapa kali sebelum ini selalu beranjak dan berubah kepada Jumaat lalu. Dan ketika saya menyerahkan sebahagian (lagi) kerja saya, cepat-cepat guru saya ini mengeluarkan kanta dan membaca catatan saya. Saya sangat tersentuh, sangat terharu. Beberapa penyakitnya sudah mula mengambil sedikit demi sedikit kelebihannya berbelas-belas tahun lalu. Tahap penglihatan dan kuasa pembacaannya sudah jauh merosot. Jauh di sudut hati, saya doakan semoga guru ini diberi kekuatan untuk terus berbakti, diberikan kesabaran dan keimanan dengan ujian demi ujian ke atas dirinya.

Melihat situasi ini, saya semakin sedar, saya juga tidaklah lagi semuda dulu. Ada garis-garis kecil pada diri, yang menunjukkan usia saya juga kian bertambah, dan berkurang. Dengan baki yang ada, saya harus terus fokus dan menetapkan matlamat hidup saya.

No comments: