Wednesday, May 7, 2014

Forum Memperingati Anak Alam 40 Tahun

Petang semalam diadakan Forum Memperingati Anak Alam 40 Tahun di Kampus ASWARA. Acara ini diadakan dengan kerjasama ASWARA-DBP-ITBM. Antara yang menjadi ahli panel ialah Dr. Siti Zainon Ismail, Yusof Osman yang digelar Yusof Volkswagen, AGI dan Johan Jaaffar. Majlis kecil, tapi sangat besar maknanya. Ramai juga kerabat Anak Alam yang hadir. Yang sempat saya kenal antaranya yang hadir pelukis Raja Azhar, Apai, Mazlan Noor, Ibrahim Ghaffar, Kasajiza A.S., pelakon Omar Abdullah, Pyanhabib, ada seorang pelukis India yang saya lupa namanya (katanya satu-satunya India yang turut serta bersama Anak Alam) dan beberapa orang lagi. Majlis bermula dengan al-Fatihah kepada kerabat Anak Alam yang sudah tiada, diikuti membaca sms yang dikirim Latiff Mohidin yang tidak dapat turut serta. Mendengar smsnya dibaca, kita tahu hati Latiff hadir bersama. Yusof Gajah berkirim salam tidak dapat turut serta kerana baru pulang dari luar negara.

Sesiapa yang hadir Forum Memperingati Anak Alam 40 Tahun petang semalam akan sedikit tumpang merasai keterharuan, kegembiraan saling berbaur. Hendak menitis air mata pun ada. Rasa itu ada, walaupun saya "jauh" untuk tumpang merasa sejarah panjang mereka. Rasa setiakawan mereka sangat menyentuh hati. Selain ahli panel, setiap orang Anak Alam yang hadir diberi ruang juga untuk bercakap dan berkisah. Suasana yang sangat mengimbau-imbau, penuh nostalgia, mercup, sesekali mengharukan. Juga dipertontonkan slide beberapa gambar semasa aktiviti mereka di Rumah Anak Alam yang kini menjadi tapak Kampus Tetap ASWARA. Saya sendiri entah kenapa terasa sedikit sebak dan terharu melihat gambar-gambar mereka, terutama melihat gambar Rumah Anak Alam ketika itu. Ada iras-iras seperti Rumah PENA.

Anak Alam mungkin sudah tiada, dan berserak-serakan. Namun semangat dan inspirasi mereka tentunya masih ada. Ia sudah menjadi sejarah, telah memberi warna dan mengisi landskap dunia seni tanah air. Anak Alam adalah sebuah "institusi" yang terus bergerak hidup dalam fikiran dan hati sebahagian besar dari mereka, dan kita juga tentunya. Ia sungguh menginspirasikan.

Terima kasih kepada semua yang hadir memberi sokongan kepada kami, kawan-kawan wartawan, Hafizah Berita Harian terutamanya yang hadir lebih awal walau hanya sekadar undangan melalui fb saja. Insya-Allah ada satu dua acara lagi yang sedang disusun ASWARA bersama Anak Alam.

Kami akan kembali 30 Mei nanti, Malam Puisi Bersama Anak Alam.

No comments: