Monday, April 28, 2014

Wawancara Sofa Putih
















(Shamsudin, saya, Azriq dan Ruhaini)

25 April, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014, saya sekali lagi diundang ke sesi "Wawancara Sofa Putih" Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Ini kali kedua saya sertai Sofa Putih sesudah tahun lalu bersama Marsli N.O. Tahun ini bertiga - bersama Wan Nor Azriq, dan Ruhaini Matdarin - tiga pemenang Hadiah Utama Sayembara Menulis Novel, Cerpen dan Puisi anjuran ITBM-PENA & BH dengan judul sesi perbincangan kami, "Hadiah dan Anugerah: Sejauh Mana Ia Mampu Melahirkan Pelapis Penulis Mapan". Sahabat kami, Dr. Shamsudin Othman bertindak sebagai moderator. 

  











(Bersama Mohd Khair (kiri), orang terpenting dalam ITBM)

Tak ada apa yang hendak diulaskan. Saya hadir kerana menghormati undangan ITBM yang turut membantu perkembangan kepenyairan saya. Kerana saya mahu kekal lama menjadi penulis, saya harus segera melupakan anugerah terbesar yang dimiliki ini. Seperti jawapan saya kepada Shamsudin ketika ditanyakan, saya "hidup dan bertahan" hampir 20 tahun ini tanpa anugerah, jadi saya harus jalan terus. Kemenangan dulu anggaplah sebagai bonus, selepas berdikit-dikit, dan bersusah payah 20 tahun untuk terus kekal di sini. Selebihnya, saya ingin melipat dan menyimpannya dalam kenangan peribadi, supaya tidak terlalu lama 'berbangga-bangga'. Cuma saya berdoa diberi kesihatan yang baik dan kekuatan untuk terus menulis dengan lebih baik.

Saya teringatkan soalan Sutung Umar RS di penghujung sesi kepada kami bertiga, kenapa menulis? Saya sudah terlupa apa jawapan dua sahabat saya. Yang masih saya ingat, saya menjawab, "Saya menulis kerana ingin menulis!" Sutung tersenyum di bawah pentas mendengar jawapan kami. Saya tidak tahu sama ada jawapan saya salah atau pelik hingga membuatkan Sutung tersenyum. Atau seperti 'sombong' bunyinya. Saya tak tahu. Memang, saya menulis kerana ingin menulis!

~ Foto: ITBM

No comments: