Bercuti Panjang
Tidak merancang, tapi dalam masa yang sama saya merancang. Usai saja Perhimpunan Penulis Muda 18 Disember lalu, saya bercuti panjang di Kelantan. Sepanjang dua minggu lebih di sana, sempat juga berpatah kembali ke pejabat semula untuk urusan SBPA, yang bagi saya entah apa-apa. Kemudian, berpatah kembali ke Pasir Puteh - keluarga saya sudah berkumpul di sana sejak hujung November lagi. Sepanjang Disember saja, tiga kali saya turun naik ke sana. Penyudahnya, kali terakhir balik, kereta saya meragam.
Cuti memang memenuhi hasrat saya - untuk melupakan semua dunia saya di sini. Sekurang-kurangnya buat seketika. Ya, saya sering bergurau dengan menyatakan setiap kali bercuti saya sering sangkutkan masalah saya di pintu tol; supaya jangan mengekor saya bercuti. Ya, saya sering berjaya melupakan hampir semua perkara, khususnya tentang dunia kerja yang tak selesai-selesai. Cuma, yang tak boleh dilupa panggilan atau sms dari teman-teman yang baik. Saya jawab. Ada yang tak sempat dijawab, mohon maaf. Saya memang ada agenda yang lain. Dengan lebih tumpuan menyambut kehadiran orang baru dalam hidup kami. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dengan baik.
Syukur, banyak hemah dan hikmah yang saya pungut sepanjang menempuhi peristiwa sepanjang cuti dan sepanjang tengkujuh Pantai Timur. Semuanya menumbuhkan impian yang lain, memberi rasa dan warna yang baru. Dengan segala 'peristiwa' pahit dan malang yang mengekor saya sepanjang 2011, semuanya saya benamkan dalam lecak dan becak lumpur hujan. Saya perlu pantas lupakan semua, kerana di hadapan saya kini ada pengertian baru yang minta diisi.
Cuti sudah tamat. Dan kini saya kembali.
Selamat tahun baharu masihi kepada kawan-kawan dan pengunjung senyap benua suluk ini. Semoga kita sentiasa dalam rahmat-Nya. Amin.
No comments:
Post a Comment