Sunday, October 2, 2011


Catatan-catatan Singkat Mengenang Tukya

“Boleh kita bercakap dalam telefon, Ustad?” Tanya saya dengan sedikit gementar. Itulah kali pertama saya bercakap dengan beliau dalam telefon; detik mula hendak berkawan baik. Saya kenal dia dan karyanya, tapi memang dia belum kenal saya lagi.
“Boleh aih bercakap. Kita bukan bisu tak boleh bercakap!” Jawabnya cuba berlucu.Saya gelak kuat dalam telefon, terlupa ini kali pertama bercakap dengannya. Gementar saya hilang. Kelolo macam karya, kata hati kecil saya.

(,)

Saya rasa baguih kalau Ustad buat sekuel Ateik Putriba. Tajuknya saya cadangkan Cucu Awang Sala,” kata saya kepada beliau dalam kereta dari KLIA ke ASWARA suatu waktu dulu. Saya jemputnya untuk bercakap dalam seminar beberapa tahun dulu.
“Hang syok ka?” Tanya dia kepada saya. Kemudian kami singgah di R & R Nilai. Saya memesan teh halia.
“Baguih. Aku nak juga teh halia,” celahnya.

(,)

Ini macam bilik Professor, katanya bergurau – merujuk kepada ruang bilik pejabat saya yang berselerak tidak berkemas. Saya gelak sambil berkata, dalam bilik Professor ni ada banyak buku Ustad tau ha ha.

(,)

“Kalau orang offer Ustad bertanding lagi maukah?” Tanya saya, masih dalam kereta tapi pada waktu yang berbeza.
“Tobat tak mau dah!” Saya ketawa kecil.
“Aku dulu bukan mau sangat. Tapi tak boleh. Malu muka dengan arwah Ustad Fadzil Noor. Banyak kali mai dok jumpa aku ajak masuk bertandin. Kita jadi malu alah kat arwah ja,” cerita beliau kepada saya. Sebenarnya, panjang lebar lagi beliau cerita kepada saya, terutama pandangannya terhadap situasi dan kedudukan PAS mutakhir menurut kaca matanya. Yang saya ingat lagi antara katanya, PAS pasca arwah Fadzil Noor adalah PAS yang cempera.

(,)

“Ayo ada orang berani hentam dbp dan dawama,” sms beliau kepada saya suatu hari. SMSnya ini merujuk kepada Berita Harian menyiarkan pandangan saya tentang penulis dan buku yang tak laku. Saya dah lupa bila tarikhnya. Saya Ha ha ha sahaja membalas smsnya.

(,)

“Hang dajai!” Gurau-marahnya kepada saya bila saya usik tentang Zul Nordin, YB yang lompat parti.
Malah ‘hang dajai’ ini selalu saja terkeluar dari mulutnya – bercakap depan, dalam telefon atau melalui sms. Saya tak marah. Dan saya tahu dia pun bukannya marah bila sebutkan ‘hang dajai’ itu. Orang Utara sahaja yang maklum tentang ‘hang dajai’.

(,)

“Hang mai buat merugi ja kalau tak bercakap,” gerutunya kepada saya di Bucu, depan kawan-kawan. Dan ayat beliau kepada saya ini ‘kekal’ menjadi guarauan kawan-kawan kepada saya. Dah memang jenis saya tak reti bercakap. Ini kelemahan luar biasa saya.

Dalam kereta saya acahnya, “Ustad dah patut layak dapat SN; saya lama dah dok harap Ustad dapat.”
“Wan, orang tak pandang aku. Aku bukannya intelektual.” Saya diam, tak bertanya lagi.

(,)

Suatu tengah malam yang lewat, saya menghantarnya pulang ke hotel penginapan, setelah minum dengan kawan-kawan di bucu. Menyusur jalan yang sunyi. Sampai suatu tempat yang agak gelap, saya brek kereta secara mengejut dan mengelak 'sesuatu' yang cuba menyusur menyeberang jalan raya.

"Ulaq sawa," kata saya kepada beliau.

"Laaa ... aku ingat pelepah nyoq!" balas beliau kepada saya.

Saya kuk kik kuk kik ketawa dalam kereta.

(,)

Suatu malam yang lain – saya berjanji untuk mengambilnya di Hotel Mirama. Hujan renyai-renyai. Lucu. Dia menunggu saya di Hotel Mirama. Saya menantinya di Wisma Mirama. Lama. Dia menunggu saya lama; saya menanti dia lama. Saya dah lama tunggu ni kat depan Wisma Mirama, jawab saya dalam telefon, dalam deru enjin kereta bercampur nyanyi hujan. Hoi aku kat Hotel Mirama, bukan Wisma Mirama. Alamak, salah tempat. Cepat-cepat saya bergerak ke sana. Bila dia membuka pintu Persona saya, perkataan pertamanya - hang dajai nak pekena aku. Kah kah kah.

(,)


Saya hanya tersedar, selepas dia berangkat tak lagi pulang-pulang, tak ada sekeping pun gambar kenangan saya bersamanya. Sedih. Tak tahulah kalau kawan-kawan ada ambil gambar saya bersama arwah. Mungkin gambar di Bucu ada. Dr. Saleeh suka ambil gambar kalau minum di Bucu.

Saya tak tahu bagaimana hendak menyusun catatan ini menjadi catatan yang lebih baik. Ada sebahagian besar percakapannya tak tertulis di sini, biarlah hanya terakam dalam ingatan. Ada sebahagian lagi sms ketika ‘detik akhirnya’ masih saya simpan, belum padam lagi. Semuanya menghimpun kenang dan ingatan. Karya-karyanya, ada yang masih belum sempat dibaca.

Catatan ini mengenang 40 hari kita tanpa Azizi Hj. Abdullah. Seperti masih ada, tapi tiada. Tiada, tetapi seperti masih ada.

Tak ada lagi orang yang akan menyebut saya “Dajai” – dalam penuh sedar dan mesra.

Al-Fatihah.

8 comments:

MARSLI N.O said...

Baguslah kerana blog ini kembal bernyawa dan bernafas dengan entri baru. Mujur belum sempat bersawang.

awangsulungmerahmenyala said...

blah lah hang wan!tak reti bercakap,bila aku ngan jundi hang bercakap sampai bersemboq ayaq lioq,puihhh!!kehkehkeh oit!

Norziati Mohd Rosman said...

Catatan-catatan kecil yang menarik. Saya suka dan terharu

benuasuluk said...

Sdr. Marsli,
seronok juga membiarkan blog bersawang lama-lama. Hi hi.

benuasuluk said...

awang,
hang dajai!

benuasuluk said...

Sdr. Norziati,
Terima kasih. Rasa saya, bagus juga kalau saya terus berdiam. Setidak-tidaknya, saya boleh mengingat apa kata kawan-kawan; suatu waktu yang lain bila dikenangkan.

Rositah Ibrahim said...

Salam, saya selalu ikuti blog tuan.
Menarik catatan ini. Selepas pemergian beliau, saya sedari banyak karya beliau yang belum ada dalam koleksi saya.

benuasuluk said...

Puan Rositah,
terima kasih kerana selalu singgah ke sini.