Monday, November 22, 2010

Minggu yang Panjang

15-16 November
Dua hari paling padat, menyesakkan dan menyenakkan. Penilaian Fakulti Penulisan oleh MQA sebelum diberi pengiktirafan. Segala dokumen diselak mereka, semua tempat dilawati mereka, masuk ziarah ke dalam kelas, berjumpa dan ‘bercakap-cakap’ dengan beberapa kelompok pelajar, berjumpa kami secara berkumpulan; kemudiannya langsung ‘menemuduga’ kami tenaga akademik di Penulisan secara individu. Saya gilir yang ketiga – sempat mengangkat kening kepada teman sekerja yang pertama keluar dari bilik MQA; sepatah ayatnya, ‘maut punya soalan.’ Gilir saya sampai, sekitar 15-20 minit di dalam; entah saya tak ingat tentang masa.

Petang 16 November, sesi rumusan bersama panel bertiga dari MQA. Saya ingat kata mereka – kami datang cuma nak menolong. Hmm banyak kerja rumah yang perlu kami siapkan. Ada suara setan singgah sekejap dalam hati – dunia akademia ini sepatutnya bukan ‘rumah’ saya. Ha ha. Sekarang ‘rumah’ akademia ini telah menyerkup saya. Apa lagi yang boleh saya lakukan selain daripada terus mencantikkan ‘rumah’ ini, kan? Pulang, teringat kata panel MQA - kami di Penulisan ada satu keistimewaan tersendiri. Apa yang istimewa, itu biarlah rahsia kami, kata orang MQA bergurau, cari sendiri kekuatan anda.

17-21 November
Berbekalkan keluh isteri yang tak pernah seumur hidupnya beraya puasa dan haji di bandar, kami batalkan hasrat tidak mahu pulang. Pulang jugalah kami malam-malam, dalam penat dan sesak; dengan kepala pun belum boleh lupa tentang MQA. Saya fikir usia dan tenaga yang tanpa rehat mencukupi sudah tidak memungkinkan saya untuk ‘marathon’ seperti dulu. Pukul satu pagi di Kampung Relong, Lipis berhenti tidur sekitar 30 minit di tepi jalan. Kemudian menyambung tidur sekitar 20 minit lagi di simpang jalan menuju Lata Rek, sebelum Kuala Krai. Kemudian terjaga (tak boleh tidur sebenarnya), lalu terus memandu. Di Gong Datok, Gaal kira-kira 1km sebelum sampai ke rumah mentua, saya terkejut bila mendengar suara isteri menempik. Kereta saya terbabas dan hampir masuk parit. Saya ‘tertidur’ sekejap saja waktu memandu. Alhamdulillah, syukur tak ada apa-apa.

Semalam, 21 November mengharung perjalanan panjang juga sebelum selamat sampai ke KL. Hampir 10 jam. Dari Pasir Puteh ke Kuala Krai pun sudah dua jam. Paling saya benci dari Tol Bentong menghala ke KL. Benci sungguh. Benci-benci pun, dah berapa kali (ratus? Ribu?) saya ulang alik ke sana melalui jalan yang sama juga. Cuma kali ini saya betul-betul mengelak pulang mengikut susur Terengganu. Letihnya sama juga.

22 November
Hujan mengiring perjalanan saya ke pejabat tanpa hati – hati saya bersama isteri – yang ke PPD Shah Alam pagi ini untuk urusan rayuan permohonan bertukar sekolah. Di pejabat, selonggok daripada sebahagian tugasan pelajar sudah berlonggok atas meja, separuh lagi belum dapat. Empat mata kuliah bagi orang selekeh macam saya ini memang suatu beban berat. Pensyarah universiti yang ada sarjana pun tak mengajar empat subjek sesemester. Kerja gila. Betul-betul terduduk semester ini.

Kadang-kadang terfikir betulkah ini pilihan? Atau ini cuma suatu kemujuran? Bolehkah patah balik, menjadi pegawai biasa saja seperti dulu – yang boleh sedikit bersenang dan kurang susah hati. Oh, tak boleh sebab sudah opsyen. Tapi saya tengok ada orang yang sudah opsyen pun sudah ada yang dicampak dan ditendang keluar depan-depan mata. Kasihan dan simpati dari jauh. Ini masa orang, masa kita belum tentu duduknya. Mohon Allah mudahkan semua urusan.

Menyesal? Tak adalah – bersyukur sebenarnya. Cuma, ada dalam masa-masa tertentu rasa sangat terdesak dan terbeban. Saya perlu cepat-cepat untuk kembali membiasakan diri dengan rutin dan tuntutan dunia akademik.

Entri ini untuk kawan-kawan baik – yang sering mengambil berat, bertanya dan mengingatkan saya yang blog saya ini sudah jarang saya kemas kini...

12 comments:

awangsulungmerahmenyala said...

salam aidiladha,
saudara perlu mengajar diri untuk beraya di perantauan,beraya di bandar bersama keluarga.kalau mengantuk sangat tak payah lah memandu.

edolah said...

hang blk kelate rupanya?! samalah kita! lupalah pulak nak berhello...

benuasuluk said...

awang,
aku dah pernah beraya di sini, orang rumah tak pernah.

benuasuluk said...

kri,
aku pun tak hello sapa-sapa balik. Banyak bekwah

Anonymous said...

enche wan,

marathon dan terus marathon sampai lena terakhir. ;)

benuasuluk said...

anon,
ingat lepas ni enche wan nak marathon cari sayung le :-)

MARSLI N.O said...

Sdr Ridzuan Harun: Tidak mengapa. Selagi Sdr tetap memiliki diri Sdr sendiri. Peribadi yang selalu menyenangkan saya.

benuasuluk said...

Sdr. Marsli, terima kasih. Selamat berangkat ke Korea; moga pulang nanti boleh berkongsi sesuatu dengan kami di sini.

MARSLI N.O said...

Sdr Ridzuan: Selamat menjadi penyair sejati dan bukan yang upahan.

MARSLI N.O

benuasuluk said...

Sdr. Marsli,
Insya-Allah, dan terima kasih. Saya berharap ingin menjadi diri sendiri.

Denanz ... said...

wan, abg pun dh kurang dlm aktiviti berblog ni.

benuasuluk said...

Bang Nan,
sekali sekala kena kemas kini juga.