Tuesday, June 29, 2010

Wak, Pantun dan Ingatan yang Jauh

Saya menghadiri satu majlis rasmi; yang di dalam dewannya memuatkan 800 orang. Seperti biasa, Wak Jelebak pun berucap bermadah seloka berpantun berperi-peri. Seperti biasa juga, orang-orang yang biasa mendengar ucapan Wak Jelebak akan bertepuk tangan berdegar-degar. Kagum sungguh mereka kepada Wak seorang ini. Hanya saya yang diam berlama-lama di bahagian belakang, di tingkat dua bangunannya yang persis istana.

Ada beberapa kali Wak berpantun secara spontan; hanya satu pantun Wak yang mendesup dan melekat di kalbu. Yang sebenarnya, sangat mengganggu saya. Bunyi pantunnya lebih kurang:

Jangan tampil di Rawang,
Tampillah di Indragiri;
Jangan ambil hak orang,
Ambillah hak diri sendiri.

Entah kenapa, saya teringatkan sesuatu. Hak saya, dan hak kita yang sudah terlepas; yang “sengaja” kita beri pada orang. Pulau Batu Putih! Apa khabar sekarang, berada dalam nasib dan takdir orang? Apa yang Wak lakukan dulu sewaktu memikul amanah di tempat lama? Kenapa Wak lepaskan genggaman dan biarkan ia terlepas? Sejak Wak kembali ke sini, tak ingin rasa hati memandang muka Wak, apatah lagi hendak dengar ucapan dan bertepuk tangan. Sejak saya hilang Batu Putih, saya rawan dan berdendam dengan Wak.

Jauh di belakang di tingkat dua, kalbu saya membasah. Dan ketika berkereta pulang, sayup-sayup terkeluar pantun saya secara spontan:

Bagaimana hendak ke Indragiri,
Lebih senang tinggal di Rawang;
Bagaimana tidak tangis sendiri,
Tanah sekangkang diambil orang.

6 comments:

saleeh rahamad said...

memang tak patut tanah sekangkang pun diambik org, jagalah bebaik

Anonymous said...

Tok Wan..walau apa pun aku ucapkan tahniah kepada hang kerana terlibat dan bersama-sama meraikan majlis tu sebagai yang dirai... aku bangga dapat kawan camni.. moga majlis tu dapat bagi semangat kat hang untuk terus lebih dedikasi didalam menjalankan tugas harian seperti selalu.. jangan jadi mcm aku ni... hua hua hua.. apa-apa pun pagi-pagi mesti waka waka.. jom waka waka vuvuzela!!..

Hasmora said...

dgr2, dua kangkang lagi dibagi orang di sabah nih.. bukan tanah saja, air dgn minyak sekali..huhu

benuasuluk said...

tuan dosen,
dah terlepas ke tangan orang macam mana nak jaga lagi? Bangsa kita memang tak reti mengambil iktibar, lepas hilang Batu Putih, di Sarawak pula kita lepaskan. Sayang. Yang di Sabah tu entahlah silap-silap ruyup juga nanti.

benuasuluk said...

anony,
terima kasih. Kita semua dah cemerlang, kalau tak cemerlang dah lingkup tutup dah aswara. Orang atas boleh datang dan pergi, tapi kita tetap ada di sini buat kerja macam biasa.

benuasuluk said...

hasmora,
hal ini sangat merisaukan; dan menyedihkan sebenarnya.