Sunday, June 6, 2010

Catatan-catatan Selepas PeTA

Penilaian Tahun Akhir (PeTA) masih berlangsung. Namun, untuk Fakulti Penulisan sudah tamat 4 Jun yang lalu. Mula-mulanya saya fikir tidak mahu mencatat apa-apa berkaitan dengan PeTA Fakulti kami. Tetapi, untuk melepaskan apa yang terbuku di hati (atas alasan tidak mahu menyimpan apa-apa lagi rasa selepas ini) – dan juga berharap catatan ini akan boleh menjadi peringatan terbaik untuk yang lain, maka saya mencoret juga apa yang terpendam dan tersimpan. Lepas ini saya mahu lupakan semuanya.

Ada lapan pelajar Diploma yang terlibat untuk PeTA Fakulti Penulisan. Tahun lepas kami ada 20 orang lebih. Tapi menguruskan lapan ini sangat menjerakan – satu daripadanya pelajar seliaan saya. Hampir 10 tahun saya di sini, tidak pernah Fakulti membuat mesyuarat tergempar untuk PeTA kali ini. Satu bersama mereka – diberi peringatan dan nasihat agar berubah menjadi serius untuk masa depan sendiri. Satu lagi, mesyuarat atau pertemuan khas sesama pensyarah bagi membincangkan tindakan terakhir kami berlaku seminggu sebelum PeTA. Rasanya mesyuarat ini berlangsung dengan sedikit emosi dan “tegang“ antara kami. Kami belum pernah ada pengalaman menggagalkan PeTA pelajar. Di ASWARA ini unik, gagal PeTA bererti pelajar gagal keseluruhannya – lebih jelas pelajar buang masa di sini selama tiga tahun dan diberi status “gagal dan diberhentikan” sekiranya gagal dalam PeTA. Oh, saya menahan gigil dan sedih dalam mesyuarat.

Apa yang berlaku sepanjang penyeliaan berlangsung hanya pelajar dan penyelianya sahaja yang tahu. Tapi untuk di bawah saya, saya anggap tidak ada apa-apa yang berlaku. Saya tiada kenangan langsung. Justeru, penilaian akhir kali ini keterujaan saya sedikit terbunuh bila saya menganggap saya tidak ada pelajar yang diselia. Tiga daripadanya melakukan penulisan novel, empat orang naskhah lakon layar dan seorang naskhah drama pentas.

Penilaian hari pertama berlangsung dengan penilaian novel di sebelah pagi, dan lakon layar di sebelah petang. Biarlah saya membuat rumusan keseluruhan sahaja – mereka belum bersedia! Naskhah tidak sempurna siap, tidak faham naskhah sendiri, .... Bahkan ada pelajar yang seperti main-main ketika sedang sesi “viva.” Boleh gelak-gelak ketawa ketika ditanya panel, boleh berabang-abang dengan penilai. Wah!Wah! hebat! Nampakkan, kalau kita suka sangat berabang-kakak dengan pelajar sebelum ini, boleh berkuk-kik kuk-kik dengan pelajar dalam pejabat hinggakan mereka kelabu tentang batas dan protokol; dan inilah yang terjadi. Saya macam ingin bangun ke depan dan tempeleng saja pelajar ini. Ada yang ketika ditanya hanya menggeleng-geleng kepala saja tidak mahu menjawab sampai ke akhir sesi. Ada pula yang berani bercakap sebenarnya karyanya tidak siap. Mahu menjerit rasanya saya. “Viva” apa ni? Saya tidak tahu apa yang tersirat dalam kepala Hanafi Ibrahim sebagai penilai luar – yang pertama kali hadir ke sini atas cadangan saya. Tapi saya rasa pilihan saya tepat tidak mahu memilih Saleeh Rahamad seperti biasa. Sekurang-kurangnya teguran Hanafi walaupun bunyinya tidak keras, tapi bagi saya kalau pelajar-pelajar ini ada otak, tentu percakapan Hanafi akan makan dalam.

Sesi petang berlangsung dengan lebih “berani”. Pelajar berbalas hujah dengan penilai – yang bagi saya makin menunjukkan betapa siakap senohongnya mereka. Malah ketika penilai bertanya tentang format pun, mereka asyik menyalahkan pensyarah mereka, penyelia mereka. Siap sebut nama lagi. Tapi, saya akan ingat kata-kata Hassan Muthalib, awak kalau tak boleh jadi penulis jangan jadi penulis. Nanti awak akan merosakkan penulis! Kesimpulannya sesi lakon layar cakap berdegar-degar, tapi haprak! Sesi drama pentas saya menjadi moderatornya. Sungguh, kalau tidak hormatkan Dr. Samat Salleh dan Mazlan Tahir, saya ingin bangun saja meninggalkan sesi yang berlangsung. Kalau saya buat begitu, saya akan menjadi sejarah moderator yang meninggalkan sesi. Dengan bangga mengaku tak pernah menulis skrip, tidak pernah menonton teater sangat memualkan saya. Tiga tahun belajar tak pernah menulis skrip? Bagaimana pelajar ini boleh “terlepas” untuk PeTA? Dan dengan bangga bercakap, naskhahnya ini hanya mampu ditafsir oleh pengarah dan pelakon yang hebat saja kalau mahu dipentaskan. Pelakon cap ayam tak ada peluanglah nampaknya.

Dan Jumaat, sekitar 11:00 pagi kami semua berasa “lega” kerana sesi PeTA Fakulti Penulisan berakhir dengan “jayanya.”

Saya sepatutnya tidak mencatatkan catatan buruk seperti ini – kerana nyata menonjolkan kebebalan saya – dan membuka pekung kami tentunya. Tapi saya perlu tulis. Saya tidak mahu sakit dada seorang diri. Pakat-pakatlah kita berkongsi sama-sama sakit dada. Dan anggaplah kepada pelajar lain – yang saya percaya menyusup masuk ke sini mencuri baca – terimalah ini sebagai nasihat, peringatan dan pengajaran kepada diri masing-masing. Saudara semua akan melalui juga takah seperti ini nanti.

Kepada pelajar yang terbabit, jangan anggap saya membenci saudara. Tidak sama sekali. Saudara pelajar kami, mana mungkin terbuang begitu sahaja. Saya bukannya jenis orang yang sanggup mengaku yang baik saja pelajar kami, yang tidak baik bukan pelajar. Tidak, itu bukan prinsip saya. Bahkan saya selalu di hadapan dalam memberi ruang kepada pelajar yang selalu bermasalah. Tidak mahu mengungkit semuanya, saya anggap saya memperoleh pengalaman berguna bersama saudara semua. Cuma kesimpulan saya mudah – dekad mutakhir ini, bermula dengan 2010 ini pelajar/penulis tidak boleh hidup semata-mata hanya bergantung kepada bakat sahaja. Tidak memadai. Bahkan saya sangat percaya bakat kalau tidak diguna sebaik mungkin, suatu hari nanti ia akan tercabut daripada jiwa kita.

Oh tersangat letih. Saya mahu berehat dan bercuti. Tak kisahlah, sama ada ke Kelantan; atau ke Medan!

10 comments:

Eva Sardiyanti Sarudin said...

~ Mungkin rasa kecewa saya tidak seperti 'rasa' kecewa en. wan. Keterujaan saya datang untuk melihat atau mendapat sesuatu dari 'pesta viva' junior-junior yang hebat-hebat belaka tu terus mati apabila melihat pelajar pertama yang di viva hanya melenggang tanpa sebarang alat tulis mahupun secebis kertas. Untuk pelajar kedua, saya tidak harapkan apa-apa cuma semasa viva berlangsung saya cuma minta dia bersuara tapi permintaan itu cuma di dalam hati sebab itu dia tidak mendengarnya dan saya masih boleh bertahan untuk pelajar yang ketiga atas sebab penilai dalamnya. Rasa hampa yang menggunung melitari nyali saya ketika berjalan pulang.
Ditambah lagi dengan kata-kata moderator pagi itu yang memberi ulasan kurang enak didengar kepada ketiga-tiga pelajar berlegar-legar di ruang fikir. Apa-apa pun semuanya sudah selesai. Semoga mereka berjaya nanti. Amin....

siakap senohong said...

salam en wan.

selalu ke medan ada apa-apa ka ? hehehe

adiratno said...

Wan,

KAlau ikut hati mati, ikut rasa binasa...ikutlah sejarah, selalunya berulang, kalau memang sepatutnya gagal...gagalkanlah..kenapa perlu lagi nak bersakit dada.

Luqman Hakim QA said...

membazir duit pembayar cukai jer bagi sekolah kat budak-budak hang tu. tak payah bagi diploma la. hambat balik jer. aku rasa mmg tahap hapaq nak mampus tambah ngan lagak mcm bebal sombong. aku dulu masa grad dah menang adiah penulisan n merasa gak duit nulis sepjg tahun jadi budak belajar.

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

Saya turut rasa malu dan kecewa. Harap mereka sedar setelah melalui realiti di luar sana.

benuasuluk said...

eva,
terima kasih kerana hadir memberi sokongan kepada junior-junior awak.

benuasuluk said...

siakap senohong,
tak jadi ke Medan kali ni. Pergi Takbai saja.

benuasuluk said...

adi,
kalau hang menjadi guru, aku rasa baru hang tau apa erti menggagalkan pelajar. Selalunya, menggagalkan pelajar adalah pilihan terakhir. tapi kalau dah macam setan, elok digagalkan aja.

benuasuluk said...

luqman,
jangan kata lagu tu hehe.

benuasuluk said...

tengah,
jangan malu dan kecewa.Semoga mereka akan berubah, kita doa-doakan. Mana tahu selepas kesilapan ini mereka akan bangkit?