sebahagian autobiografi

kau teringat kata-kata temanmu:
jika kita sering mengenang
kenangan semasa kanak
itu tanda kita makin menua
kau sering teringat sungai yang penuh kenangan
pernah hampir melemaskan temanmu
kau sering terbayang paya jauh tempat menyauk pelaga
kau selalu terkilas guli yang berselerak di tanah
kau kerap tersua hutan bemban dalam mimpimu
tempat mencari peluru senapang kayu
kau pantas terkenang tanah bendang
ketika kemaraunya bertukar menjadi padang bola
segalanya mendekat dan tidak upaya menjauh
semuanya tergenang dan berpuput di ingatan
dan hari ini ketika kau sering gelisah di kota besar
ingatanmu pantas mengenangkan alam kanakmu
kau terimbas temanmu di masa lalu
di manakah mereka kini
benarlah kau kian mengerti maksud temanmu:
bahawa kau perlahan-lahan mula menua
dan ketika gelisah inilah kau teringatkan madrasah kecil
yang dulunya kayu kini bertukar batu-bata
kau teraba-raba dalam ingatan
di mana dulu pernah kau letakkan muqaddam kuninglusuhmu
kau rindukan murabbimu yang sudah pergi jauh
kau tak pernah upaya menjahit kepingan-kepingan perca kenangan
menjadi sebuah catatan yang tidak terpisah
cuma, ada tika tertentu
ingatan kecilmu akan menyelinap
sesekali membawamu masuk ke dunia jauh
sesekali menghantarmu ke dunia kecil
yang tak akan kau kembali lagi
ketika inilah terasa betapa kau sangat sendiri
begitu batinmu segera berkocak
dan matamu tiba-tiba bergenang
ketika hatimu sudah jauh terseret ...
Padang Merbok, KL
10 comments:
Assalammualaikum, Cik Wan.
Ada kerinduan terhadap zaman kanak yang penuh damai dan tenteram dalam susunan aksara ini.
Cuma, melihat kepada latar ditulis iaitu di Padang Merbok - ingatan saya hanya teringat akan salakan anjing-anjing liar yang melatari padang setiap pagi dan petang. Cuba mengentarkan manusia yang sering dijadikan bahan ketawa dalam salakannya.
seperti murung ... benarkah?
senjuh bahasanya
wardah,
barangkali Padang Merbok sdr. dan padang Merbok saya berbeda. Ya, siapa tahu?
Sdr. Marsli,
kemurungan itu satu penyakit aneh. Mohon dijauhi.
Ayah Leeh,
senjuh? apa tu tak paham. Loghat chemor ke?
Ketika kecil, hidup tidak sekompleks seperti zaman dewasa. Tidak ada cemburu dari isteri, tidak ada permintaan itu ini daripada anak-anak, tidak ada ugut marah dari majikan, tidak ada surat ingatan dari bank.
Lalu, setelah melalui padang hidup, kita dikejutkan dengan cabaran dan masalah. Kerana terlalu takut kepada kegagalan dan masa depan yang tak pasti, kita menjadi manusia pesimis dalam meneruskan hidup. Sebagai remedi atau penawarnya, kita melihat zaman kanak-kanak yang sangat menggembirakan. Ingatan pada waktu tersebut adalah regresi, iaitu kita menyorot kembali titik mula dalam hidup kita sebelum kita ditimpa pelbagai kepayahan.
Wallahua'lam.
[aku manusia gelandangan]
Sdr. aku manusia gelandangan,
pandangan sdr. ada benarnya, tapi kadang-kadang kita ditimpa nostalgik bukan sekadar hanya "Kerana terlalu takut kepada kegagalan dan masa depan yang tak pasti, kita menjadi manusia pesimis dalam meneruskan hidup." Kadang-kadang ada sebab lain yang susah nak terluah. Entahlah, itu pada perkiraan masing-masinglah. Apapun, saya hargai pandangan sdr. TK berkunjung, ya!
kalau pd usia sekarang sering ingat nak kawen lagi apa macam ye?
luq,
nak teringat buat apa, kawen ajelah. Tapi perkara macam ni kena minta pandangan haji sham dulu, dia arif.
eh bila free jom lepak kat al kausar
Post a Comment