Wednesday, January 20, 2010

Selamat Jalan Dr. Nuar

Dr. Anuar Nor Arai, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik ASWARA telah kembali ke rahmatullah pada pukul 5:20 petang tadi.

Jenazahnya boleh diziarahi di rumahnya di 1, Jalan Kemudi 2, 19/38B, Shah Alam. Jenazahnya kemudian akan dibawa ke Masjid Ubudiah, Seksyen 19 Shah Alam pada pukul 11:30 pagi esok untuk disembahyangkan. Urusan pengkebumian akan disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 selepas solat Zohor.

Kami seluruh warga ASWARA berasa amat dukacita dan penuh redha atas keberangkatan pulangnya Dr. Nuar ke alam abadi. 'Bendera' Beringin kami kibarkan separuh tiang atas kesedihan dan kehilangan ini.

Al-fatihah.
.....................................................................................................
(Kemaskini 21 Januari 2010, 5:09 petang)

Semuanya telah selesai pada pukul 2:45 petang. Selamat jalan kawan, kau betul-betul telah sampai ke sempadan akhirat. Moga Allah yang Satu merahmati, menyayangi dan mengasihanimu serta melapangkan jalanmu di negeri yang juga akan kami ke sana. Amin.

...

Saya kehilangan teman ‘bertengkar’ yang sangat baik di ASWARA. Ada beberapa katanya yang saya kenangi. Antaranya dia “memuji” saya antara tiga orang yang pernah dijumpainya bilik kerja sangat serabut; tetapi dia menyimpan kagum kepada saya dalam keadaan berselerak itu saya boleh mencapai apa sahaja yang diminta, apa jenis fail, apa jenis buku, apa jenis surat semuanya saya “format” dalam kepala saya. Katanya, tak ramai bilik staf ASWARA yang dia sudi hinggap – dan salah satunya dia menyenangi kamar kerja saya. Cuma sayang, sejak saya mengemas sedikit-sedikit kamar kerja saya, dia tidak pernah sempat menyinggah lagi. Kata-katanya lagi, saya “memilih” menjadi pendiam, orang pendiam ni bahaya. Nanti di belakang tulis macam-macam. Saya ketawa.

...

Kerana akrabnya arwah dengan staf bawah, saya pernah sampai ke rumah hinggapnya di Sungai Pelek; selain dari rumahnya di Shah Alam. Saya dan beberapa teman membawa anak isteri masing-masing. Saya tak akan ke Sungai Pelek lagi ...

...

Saya bertemunya suatu hari – berdua kami menyusur ke ruang sunyi. Ditunjukkan naskhah skrip dramanya yang lengkap – sebahagiannya belum pernah terbit. Di ASWARA ini katanya, saya orang pertama yang dia beri lihat – katanya sebab saya “lain.” Bagi saya naskhah ini, saya usahakan untuk terbit, kata saya mengacah. Belum masa, katanya. Kemudian dia mencampakkan kepada saya naskhah asal Muzikal Tun Razak yang dipentaskan oleh ASWARA. Sambil menurunkan tandatangan di naskah tersebut, dia berkata engkau simpanlah. Hati den ada di situ. Saya faham kekecewaannya dengan naskhah yang dipentaskan. Naskhah asal ini adalah untuk saya, saya tak akan berikan kepada sesiapa kerana tuan empunya telah pergi jauh. Itu kenang-kenangannya untuk saya.

...

2010 ini saya belum sempat bertemu panjang dengannya. Kesihatannya yang agak terganggu belakangan ini membataskan pertemuan kami. Ada beberapa perkara ingin saya tanyakan, tentang urusan fakulti. Dia khabarnya tidak puas hati dengan fakulti – dan saya tidak “menyenangi” sebahagian tindakan dan fikirannya. Pernah dulu saya menjadi ‘perantara’ jika melibatkan hal-hal dalaman fakulti. Kini, saya mendengar hanya dari mulut teman-teman. Saya betul-betul ingin bertemu dengannya tapi tak kesampaian. Sekarang, saya betul-betul kehilangan bos, guru dan kawan yang serasi untuk “bertengkar.”
...

Saya mengambil masa yang agak lama untuk menulis bahagian sedih ini. Sebahagiannya saya catatkan di sini, sebahagiannya tidak terungkap dan saya simpan, sebahagian lagi hilang dalam kesedihan. Kata-kata saya berakhir di sini ...

5 comments:

Zaid Akhtar said...

salam ta'ziyah,
utk keluarga almarhum dan warga ASWARA.

Nur Fatiha Fadila said...

Al Fatihah untuk almarhum.

MARSLI N.O said...

Sdr : Saya datang membaca. Ya, hanya membaca.

chekem mirza said...

yang terluah yang tersimpan...di antaranya ada memori

epool said...

saya paling ingat kertas beliau dalam seminar penulisan beberapa tahun sudah..tak silap saya skrip filem yg bertajuk "Broga"..dialognya seperti cerpen..panjang..

al fatihah..