Thursday, January 7, 2010

Catatan Malas pada Awal Tahun

1. Saya di Rumah PENA pada malam menjelang tahun masehi baharu. Mabuk-mabukan di sana. Cuma, saya terlupa hendak membawa beer tanpa alkohol buatan Iran yang dihadiahkan seorang teman ke sana. Kalaulah saya bawa beer itu ke sana, nescaya budak Ulu Bakai tidak akan balik awal malam tahun baru itu. Boleh juga saya gogok beer itu di pentas sambil baca puisi. Rugi terlupa. Terima kasih kepada kawan-kawan PENA yang masih komited, Zakir terutamanya. Semoga 2010 kita boleh bersama lagi dalam percakapan yang kononnya sekarang semua peruntukan akan dipotong. Lagipun, puisi siapa yang suka. Orang setempat saya pun tidak suka. Mana ada “kawan-kawan” kami yang datang malam itu, yang ada kami-kami inilah. Tapi itu hal hingus sahaja. Sudah sampai di telinga saya, orang-orang Penulisan balik-balik buat puisi. Balik-balik buat puisi. Tidak berkembang dan tidak ada makna. Orang akan pandang saya, sebab sayalah yang membuka laluan program seperti itu di sini, dan juga membuka pintu untuk program kerjasama yang lain. Sedihnya, yang bercakap itu pula bukannya kakak cleaner yang selalu masuk ke bilik saya saban pagi untuk mengemas. Yang bercakap ini orang yang selalunya ada kot dan tali leher yang tergantung di kamar kerjanya. Buat puisi memanglah banyak membazir kalau hendak dibandingkan dengan acara “pesta-pestaan” lain, kan? Tidak apalah, saya diam dan pekakkan telinga saja. Tidak mahulah saya hendak isytihar “berjihad dan mati syahid” untuk semata-mata teruskan program ini. Cukup-cukuplah, malas saya hendak terus menjadi “hulubalang.” Saya mahu berkurung di kamar sahaja, bekerja, dan diam seperti dulu-dulu, sebelum saya belajar memekik. Ketika pendiam, saya sebenarnya lebih kenal siapa diri saya. Sekarang, susah cakap. Jadi, 2010 ini saya hendak lepaskan harimau dalam diri saya pelan-pelan pergi ke rimba jauh. Sekarang, saya cuma ingin menjadi seperti merpati di laman, menjadi rama-rama cantik di kelopak bunga. Ini bukan azam tahun baharu, ini cuma anganan dan impian. Maaflah, kalau dalam “mencari” merpati dan rama-rama itu, saya terpaksa mengecer dan menghilangkan terus beberapa bagian nama yang tidak penting dalam kamus hidup saya. Hidup mesti terus, walau ada tika perlu sendirian.

2. Adib mula masuk darjah satu tahun ini. Orang lain mungkin sudah melalui, saya ini kali pertama merasainya. Sukar hendak digambarkan perasaan bila kita hendak melepaskan anak kita kepada orang lain. Seperti ada sesuatu yang terlucut dari kalbu. Saya berharap, tidak ada guru yang akan menghentakkan tapak kasut di kepala anak saya ini, apatah lagi sampai luka, patah riuk, capik atau buta mata. Selebihnya, saya masih mempercayai guru kita. Kalau dia benak, tolong terangilah jalannya, bimbinglah ia. Kalau dia malas dan degil, nasihatilah dan rotanlah ia kalau perlu. Didiklah anak saya supaya menghormati guru dan ilmu, mengasihi guru dan menyayangi taulan, yang selalu mendoakan kebaikan kepada gurunya. Bimbinglah, nasihatilah, tegurilah, sayangilah Adib saya. Kaihanilah dia, bapanya kayu dan bendul sahaja. Bentuklah dia agar menjadi manusia, menjadi orang, dan tidak seperti bapanya ini. Di sekolah, saya lepaskan dia untuk menjadi anak kepada para guru. Di luar pagar sekolah, Insya-Allah, bapanya ini yang kayu, bendul dan bukan orang ini akan kembali memikul tanggungjawabnya menjadi bapa.

3. Dunia tanah air kita ini akan aman selama-lamanya kalau tidak ada para politikus. Mereka ini sebenarnya racun dan penjahat belaka. Kita ini betul-betul seperti steamroll yang membuat dan membina jalan raya. Bila jalan raya siap, steamroll ini tidak dapat merasai pun bagaimana sedap dan seronoknya berada di atas jalan raya. Dan dunia tanah air kita juga akan menjadi teduh dan redup kalau tidak ada orang yang bukan ahli bercakap hal-hal agama dan soal akidah. Mereka ini sebenarnya bebal dan cuba menjadi belati. Kedua-dua golongan ini ini adalah rakan yang sangat perlu kita musuhi. Malangnya, kita selalu menunjukkan yang kita terlalu perlu bergantung kepada mereka. Allahuakbar, petaka apakah ini?

6 comments:

edolah said...

benua suluk,
i. kalau tuan gogok beer mlm tu sambil berpuisi..pasti tewas sutardji...
ii. belajarlah untuk 'melepaskan'apa yg kita hargai, dan percaya kepada pendidik kita..Insya Allah, anak tuan akan ketemu guru yg sebaik saya..hehe...tapi tak pun pernah dihargai!...
iii. politik himpun kuasa; membina atau mendurja! (kata pak samad SN kita)

awangsulungmerahmenyala said...

apa cerita?

Sham al-Johori said...

tuan,
saya cadangkan tuan segera ke klinik syekh Rahimidi untu merawat jiwa yg kurang kasih sayang tu. I'Allah, maulana dari al-Peringati itu boleh menepung-tawar kegelisahan jiwa tuan.
Kalau jumpa hamba, susahlah sikit; tapi kalau bawa beer dari iran tu, boleh juga hamba tolong habiskan. hehehe.

benuasuluk said...

edolah,
i. Apa barang sutardji.
ii. kena "lepas" macam kita main wau, wau tinggi di atas, tali kita pegang di bawah.
iii. Halus sangat kata pak samad tu. Orang politik yang rakus ni kita hak tuih saja.

benuasuluk said...

awang,
tak ada apa cerita. Gula naik harga, jet tak da enjin, blog semua celaka, kita jadi kereta juara.

benuasuluk said...

sheikh sham,
sheikh yang lagi satu tu kalau bertentang dengan saya dia tak nak cakap rahsia kasih sayang ni. Dia takut bila saya tahu, klinik dia akan ditutup hahaha