Balada Orang Kerdil
Sejak disahkan ada darah tinggi, saya cuba melayan hidup saya seadanya, termasuklah cuba bersikap tenang, diam dan sedikit ‘memencilkan’ diri. Tidak ripuh, apatah lagi saya sedikit senang kerana sikap berdiam ini banyak menjauhkan saya dengan sikap ‘latah’, ‘racau’ dan ‘pekik’ tidak bertempat. Saya terasa kesan dua tiga bulan ini saya sangat tenang. Kerja tenang, masuk kelas tenang melawak – walau adakala perilaku sesetengah pelajar boleh menambahkan ketinggian darah saya. Tapi semuanya terkawal. Tenang, dan damai membawa saya ke ruang jernih.
Hanya sayang, rasa jernih saya hanya mampu bertahan hingga semalam sahaja. Dan mulut saya kembali menjadi ‘ringan’ hingga tiba-tiba saya terasa darah kembali memanjat kepala. Puncanya? Kerana kita sering dianggap mudah, murah dan tidak ada harga. Menjadi penyair ini begitu mudah di mata orang.
Ada satu acara besar untuk meraikan kawan-kawan yang terbaik dan cemerlang. Ketika dua tiga jam sebelum acara bermula, saya dipohon untuk menulis sebuah puisi yang bertemakan satu gagasan besar yang riuh mutakhir kini – riuh kerana sampaikan salam yang mulia pun sudah menjadi salam gagasan. Dan akan dideklamasikan oleh pelajar berbilang bangsa bagi menunjukkan kehebatan kesatupaduan kita.
Lantaklah. Saya tidak peduli dengan apa pun gagasan. Cuma saya sangat marah dan kecil hati. Saya sudah nyatakan dulu pendirian saya sebagai seorang penyair kecil. Saya juga tidak gemar dengan puisi tempahan, apatah lagi tempahan di saat akhir dan kemudiannya seperti ‘mengerah’ untuk saya menyudahkannya. Saya katakan kepada mereka, menulis puisi bukan seperti beratur untuk membeli tiket wayang.
Orang selalu menganggap menulis puisi adalah satu kerja mudah dan main-main. Maka kerana itulah barangkali permintaan pun dibuat seperti main-main lakunya. Oh, sungguh saya terhiris. Saya kecil saja di sini, orang tak tahu pun apa saya buat, orang tak tahu pun saya menulis puisi. Maka bila ada acara bermusim dan berkepentingan, maka ‘nama’ saya pun sangat diperlukan untuk melengkap rasa.
Saya naik seketika ke tempat acara sebelum majlis bermula dan ketika tetamu mula mencari tempat duduk. Tiba-tiba saya terasa kerdil dan terasa betapa diri tidak diperlukan pun untuk hadir ke situ. Maka, dalam diam saya pun menyusup keluar dari majlis dan kembali berkurung di kamar kerja sahaja. Maaflah kawan-kawan ya, kerana tidak menumpang langsung rasa gembira di atas kecemerlangan kalian. Tak perlulah saya bermuka-muka dalam majlis dengan rasa bebal.
Begitulah. Mudah, murah dan tidak ada harga menjadi penyair. Kalau begitulah caranya untuk menghargai bakat saya, selepas ‘abang’ saya, hari ini saya isytiharkan untuk juga berhenti menjadi penyair!
18 comments:
Sdr RH: Tidak ada sebab untuk berasa kecil kerana perbuatan orang yang bodoh dan bahlol. Atau salahkah cara saya bertanya ini? Untuk makluman, saya pernah menampar pipi seorang kerana "menghina" saya atas nama puisi.
sedihnya dengan ratapanmu wahai sang benuasuluk.
berhenti sahaja jadi penyair untuk sang jakun jangan berhenti menyair untuk kami.
darah tinggi tuh mungkin sebab timing enjin lu tinggi bro,lu kena p buat tunning agar `step down `nya menunjukkan aras yang betul.
jom kita pi mandi kolam kat Grand Season bestt ooo...
~ 'berhenti menjadi penyair?'
tu saya tak sokong... kalau guru dah berhenti, macam mana anak didik mahu terus berjuang? Kalau guru dah mundur masakan anak asuhan bisa berlari sendirian? Maka bertambah susutlah kelompok si penyair dalam Malaysia ni yang sememangnya kelihatan amat kurus...
~kadang2 manusia yang tak pernah faham bahasa ni kena ajar juga sesekali...biar mereka rasa...
Huh, lepas geram kat sini pula...sorry en wan....
Enche Wan..
Aku ( bahasa aku ja boleh la no ) rasa bekerja sebagai pendidik atau mengajar sudah tentu darah sentiasa tinggi. Cuma kita ja nak kena kawai.Cuba bayangkan, aku kat sek rendah dengan budak2, kwn-kwn kat sek men dgn remaja..dan hang dengan budak besar yang kadang2 mcm budak sek lagi la..naik darah. Tentang buat sajak tu..aku pernah baca yang hang memang pantang buat sajak tempahan..ya aku setuju..dan juga seperti aku..sajak bukan mai ikut majlis. Apa pun Enche Wan..teruskan perjuangan...gembira selalu supaya darah sentiasa rendah..
Tuan benua sunyi,
'Darah tinggi' adalah ujian yang mendekatkan kita kepada-Nya. Jika tidak kita sentiasa lupa atau buat-buat lupa. Ada rahmat di balik itu.
Berhenti jadi penyair bukan pilihan terbaik. Pilihan terbaik ialah menikmati al-Quran kemudian memindahkannya ke dalam puisi.
Amin..
Kita baru nak jadi penyair.kununnyaaa.
seronok juga. baca lebih kurang dapat duit. dah letih jadi pengkritik, berminggu buat kertas kerja dapat ciput. tak berbaloi
tak tahu nak cakap apa wan.... rasa sedih saya untuk awak , mungkin esok lusa pada saya pula... begitulah. Mungkin bukan sebagai penyair tapi kulibatak hina sahaja. Tahniahlah buat kawan2 yang cemerlang.
saya mencari seseorang pensyarh yang selalu susah dan senang bersama saya..namun kelibatnya tidak kelihatan. papun terima kasih untuk 3 tahun yang membuat saya jadi begini!
Terima Kasih En wAN :)
wo..wo..wo...
sabar wan...
saya hormati prinsip tuan. dan mungkin dalam situasi tertentu, saya pun begitu. saya juga ada pengalaman sedemikian di sini.
banyak yang dapat kita pelajari daripada pengalaman2 ini.
Sdr. Marsli,
tidak salah cara sdr bertanya. Itu saja jawapan saya.
awang,
jomlah kita pi karaoke, cari lagu ratapan memori usang terra rossa, nak?
:)
rain,
saya hargai pandangan sdr. juga
anjung,
darah saya ok, cuma timing ja kadang-kadang dia buat-buat bengong sikit haha. terima kasih atas sokongan semangat sdr.
syeikh sham,
dalam kata-kata tuan guru. Klaua tak nak bagi saya berenti jadi penyair, bak sini cepat dummy negeri kata-kata saya. Bila nih? Duit dah telan licin, :)
Ayah Leeh,
teruskan hajat nak jadi penyair tu. dan teruskan juga menjadi pengkritik. Tak semua orang boleh jadi pengkritik yang baik dengan disiplin kritikan. Yang banyak kutukan adalah.
ce'kem,
orang kadang-kadang tak tahu apa yang saya rasa. Di sini, saya selalu terasa orang-orang di bahagian kami dipandang seperti orang kelas ketiga.
p/s- saya tak peduli kalau ada sapa-sapa di sini yang menyusup membaca blog saya secara senyap dan tidak menyetujui saya. Yang penting, saya tekal dengan pendirian saya.
sari,
i miss u bebeh!
ekspresi,
kadang-kadang pengalaman banyak mengajar dan mematangkan kita. Adakalanya sangat menyakitkan. Saya tak dapat nak menggurui pengalaman yang menyakitkan seperti ini.
Post a Comment