Tuesday, October 13, 2009

Aku, Anakku dan YB Pamanku

SUATU hari, aku menghadiri majlis keraian pamanku, di sebelah ayah. Dia bukan calang-calang orang. Dia seorang YB. Sudah berpenggal-penggal. Usianya sedikit muda daripada usia bapaku. Hanya sayang, kerana cara berfikir tidak sealiran, dia menjadi tidak ambil pusing dengan bapaku dan seluruh ahli keluargaku. Hanya aku yang sering sahaja mengalah – lantaran tidak mahu memanjangkan sengketa dan memutuskan silaturrahmi antara kami.

Biarlah aku saja bermuka tembok, asalkan hubungan antara kami masih ada talian hayatnya. Cuma, sejak pamanku bergelar ahli politik (dan juga punyai jawatan penting), aku berhubung dengannya dengan cara dan adab yang penuh susila dan protokol. Bayangkan hampir 20 tahun aku tidak memanggilnya dengan gelaran paman. Ringkasnya, aku memanggilnya dengan gelaran yang dimilikinya. Ringkasnya lagi – dengan merendah, aku menyapanya dengan panggilan YB Pamanku. Dia nampaknya tidak kekok (malah seperti suka) aku menyapanya dengan begitu. Dengan sendirinya, gelaran paman sudah melurut dan ghaib.

Terlalu lama aku rindukan panggilan paman yang dulu – yang kami kenali 20 tahun lalu; sebelum dia bukan siapa-siapa. Tapi malangnya juga, aku bukan siapa-siapa – yang berhak memanggil semula ingatan lalu itu. Aku hanya seorang guru cabuk biasa yang barangkali langsung tidak punya harga di mata pamanku. Oh maksudku YB Pamanku sekarang. Cuma, aku ini terlalu sayangkan ikatan kekeluargaan. Makanya, aku menjadi anak bapa yang sering beralah dan mengalah – dan sikapku amat tidak disenangi serta bertentangan dengan pendirian bapaku – dan kemudiannya kusedari pendirian dan sikap bapa ini menurun kepada semua adik-adik lelakiku yang berbeza pegangan siasah dengan YB Pamanku. Cuma aku anak lelaki sulung bapa yang sering beralah dan mengalah – seringnya ditempelak adik-adikku sebagai orang yang rabun seni siasah.

Tapi biarlah. Aku hanya ingin silaturrahmi kami tidak putus. Biarlah aku dilihat agak berlawan arus dengan seluruh ahli keluargaku.

Sebelum ke majlis keraian YB Pamanku, aku berpesan dan menasihat serba sedikit apa yang patut kepada ahli keluargaku – tentang perlunya menjaga susila dan duduk diri di majlis orang besar, walaupun orang besar itu ada hubungan darah denganku. Dan lebih-lebihnya pesan ini kutujukan khusus buat anak sulungku; yang pada perhitunganku bisa saja membuat kejutan yang mampu membuatkan aku rebah. Si sulungku ini walau usianya cuma delapan tahun, tapi sering kulihat dalam dirinya punyai petak-petak warna yang sering berubah. Ringkasnya, pemikiran dan tindakannya sukar terjangkau olehku. (pernah sering disindir oleh isteriku, anakku yang ini menurun sebelah siapa – kerana sikapnya amat bertentangan dengan diriku sebagai ayahnya).

Telah kupesan, di hadapan YB Pamanku nanti, sapalah ia dengan tertib; dengan panggilan YB Tok Pamanku – begitu kupesan padanya. Kerana itulah darjah yang layak untuknya. Anakku merengus tanda tidak senang. Aku hanya berdoa dalam diam – anakku, janganlah kau membuatkan ayahmu ini mati terkejut!

Dan igau ngeriku betul-betul terjadi di laman rumah YB Pamanku. Ketika tetamu ramai berpusu-pusu datang, ketika itulah si sulungku membuat kelaku. Ketika bersalam dengan YB Pamanku, dengan suara yang kuat dan lantang, anakku menjerit apa khabar Tok Pamanku? Seluruh tetamu memandang ke arah kami. Ya tuhan, anakku ini membuatkan aku malu dan ngeri. Dia degil dan tidak mendengar kata – bukankah sudah kupesan tadi jangan panggil Tok paman. Sebutlah YB Tok Paman. Kulihat air muka YB Pamanku sedikit berubah rona. Mungkin terkejut. Mungkin malu. Mungkin terkedu. Disapa begitu oleh cucu saudara dengan tidak tahu adab dan protokol di hadapan ramai khalayak.

Seleraku rentung dalam majlis yang tersaji makanan yang enak-enak. Putus. Suaraku tersangkak sepanjang berada di situ.

Sebelum mengensot pulang, YB Pamanku mendatangi kami. Sambil menggosok-gosokkan kepala anakku, dia menghulurkan sampul kecil, yang kukira berisi sedikit duit sebagai buah tangan kepada anakku. Tapi ya tuhan, anakku ini betul-betul membuatkan jantungku mahu tertanggal.

Tahu apa dibilang sewaktu YB Pamanku menghulur sampul itu?

Ini duit apa? Duit balakkah? Duit loterikah? Duit taukehkah? Rasuahkah? Saya tidak terima duit tercemar. Tok Ayah saya tidak mengajar saya untuk terima duit haram. Maaf Tok Paman, saya tak boleh terima. Begitu kata anakku.

Betul-betul berubah air wajah YB Pamanku. Bukan sekadar itu yang kukesani – turut berubah urna ialah tampangku sendiri. Ya tuhan, anakku ini benar-benar gila. Ya tuhan, anakku ini benar-benar menjadikan aku gila.

Besok pagi, isteriku mengunjukkan surat khabar harian kepadaku dengan wajah kelat. Pada halaman hadapan, ada wajah YB Pamanku. Tapi tajuknya membuatkan aku betul-betul mahu menangis. YB Pamanku akan memfailkan dua saman malu terhadap seorang kanak-kanak – dipercayai cucu saudara. Saman malu pertama kerana anak kecil itu tidak menyapanya dengan panggilan protokol dan sapaan hormat di khalayak ramai. Saman malu kedua kerana anak kecil itu memfitnahnya memberi duit yang tidak bersih.

Aduh. Ya tuhan.

Betul-betul aku menangis hari ini. Aku menangis betul-betul hari ini.

Entah kerana anakku.

Atau entah kerana pamanku.

14 comments:

zabad said...

Hahaha...
Saya kagum dengan anak tu...
walaupun masih kecil tetapi berani menyuarakan apa yang tidak disukainya.

Saman je...
bukannya hukuman mati...
bsyar sahajalah...

ansur-ansur :)

Zaid Akhtar said...

cerpen hang ni baguslah, duan.
:-)

awangsulungmerahmenyala said...

buat pula cerpen pomenku.jangan pula p buat cerpen poenku,ingat tuh!

FARAHNYEMAHMULYA said...

nak peguam tak?

lutfi said...

Sadis dan sinisnya cerpen hang, haha.

Rahimidin Z said...

baguih la dah makin pandai!!!!!

benuasuluk said...

zabad,
bayar ansur-ansur susah, nanti cukup bulan je paman dah terpacak depan pintu rumah.
:-)

benuasuluk said...

zaid,
tengah susun, nanti jadi kumpulan cerita-cerita pendek. Judul sementara, Aku, Anak-anakku dan Beberapa Cerita Lain. Masalahnya cerpen bengong macam ni sapa nak terbit?

benuasuluk said...

awang,
lu ni bengong la. Apa turr cerita poen. Patut syaja lebih gila aku dari hang ba hak hak.

benuasuluk said...

farah my dear,
boleh, asalkan peguam tu tak ada cita-cita nak jadi ptd. Dorang pun sengal gaban macam paman juga. Errr sori kawan-kwan ptd tersengaja kata.
:)

benuasuluk said...

lut,
ada lagi yang lebih sadis dan sinis. Ada lagi nih. Huii dah boleh buat buku macam encik marsli punya ni. Tapi DIY lah.

benuasuluk said...

abe,
abe nak tulis kata pengantar? Buleh? Buleh?

FARAHNYEMAHMULYA said...

CADANGAN SAMBUNGAN:

Di pasar ria menjual ciku,
Ciku yang nikmat dibuat minuman;
Yang Bahgia Tante Nendaku,
Ku peluk2 erat jangan menyaman.

TANTE GIRANGNYA..apa reaksi..tokku pamanku..mesti ada tante girang baju kelip2 labuci swaroski..hak hak gincu dior di bibir..kasut tumit tinggi

benuasuluk said...

farah,
budak kecik 8 tahun mana reti pantun.