Teringat-ingat
Ketika hendak bersekolah rendah, ayah hantarkan saya tinggal di rumah arwah Tokwan di Alor Senibong – bersekolah di Titi Haji Idris. Di Kg. Alor Senibong (letaknya tengah-tengah antara Pekan Langgar dan Pekan Pendang), ada sebuah rumah cina. Poh Kam Lor namanya. Kami memanggilnya Kam Lor saja. Ada juga sebuah rumah keturunan Siam, Din Bau namanya. Kam Lor kerjanya meniaga kedai runcit, sedang Din Bau menjadi taukeh traktor. Selain sebuah rumah cina dan sebuah rumah Siam, yang lainnya semua Melayu.
Kam Lor datang ke kampung kami katanya ketika bapa-bapa seusia kami masih berlari bertelanjang bulat di batas ban. Kam Lor ada anak yang hampir sebaya dengan saya, Ah Choon dan Ah Hai. Ah Hai sedikit tua saja dari saya, agak pendiam dan kurang sedikit bercakap. Dia lebih gemar menolong ayahnya menjaga kedai pada masa lapang. Ah Choon yang lebih akrab dan bercampur dengan kami budak-budak kampung yang sebaya – bermain guli, bola, main cakplong, senapang kayu hinggalah mandi-manda di sungai. Begitu juga dengan Juurit, anak Din Bau (ohh begitu puas dan lama saya bermenung untuk saya mengingat nama si Juurit ini). Maklumlah, sudah lebih 25 tahun.
Kam Lor dan isterinya yang kami panggil Heng sangat baik dan mesra dengan orang kampung. Kerana kedainya betul-betul hampir dengan jalan besar (dan kemudiannya bertar), kedainya selalu ramai orang. Malah ketika orang kampung sesak Kam Lor tempat menambah hutang dalam buku tiga lima. Ada kenduri kendara, mereka sekeluarga akan datang. Tiga bulan lepas ketika majlis walimah adik saya, Din Bau yang masih sihat juga datang. Ada kematian, mereka juga akan berziarah.
Ada satu perkara yang tak boleh saya lupa tentang Kam Lor. Suatu hari, Tok saya sakit. Jadi Tokwan meminta saya ke rumah Kam Lor untuk menelefon ayah. Waktu itu, di kampung hanya di rumah Kam Lor saja yang ada telefon. Dia membenarkan orang kampung menggunakan telefon kedainya (yang juga rumahnya) jika ada hal mendesak. Bayaran terpulanglah pada berapa lama si pemanggil bercakap, jadi dia akan terima saja bayaran berdasarkan waktu itu (tak salah sayalah waktu itu kadar telefon tiga minit sekupang rasanya). Saya lepas saja telefon ayah, ucap terima kasih pada Kam Lor dan terus menonong lari keluar balik rumah. Besoknya, Tokwan tanya, hang tak bagi duitkah kat Kam Lor guna telefon dia? Alamak, mana saya tahu. Kena pi bayarkah? Tokwan senyum sambil kata hang ucap terima kasih pun Kam Lor dah suka. Terus saya diam. Waktu itu, Kementerian Rahimidin Zahari (atau ringkasnya KEMERA) belum lagi terfikir hendak buat kempen budi bahasa budaya kita atau gantung segala banner berkaitan budi bahasa pada segala tiang letrik dan tunggul kayu.
Setiap hari saya akan bertandang ke kedainya – membeli sagon, aiskrim, keropok chikidies, ding dang dan segalanya. Banyak perkara yang hendak saya catatkan tidak tercatat di sini, ekoran saat ini jiwa saya seperti dilanda rusuh. Semuanya ingatan yang membahagiakan bila mengenangkan 25 tahun lalu. 1994, ketika Tokwan saya meninggal, Kam Lor sekeluarga datang ziarah. Saya ingat lagi apa Heng, isterinya kata pada saya waktu itu. Macam mimpi rasanya Wan hang mati.
Sekarang Kam Lor pun sudah tiada. Lepas kematiannya Heng masih lagi cuba berniaga. Tapi tidak lama, kemudiannya mereka berpindah dan membuka perniagaan di tempat lain. Hubungan ayah saya dan bapa-bapa saudara saya masih berlangsung hingga kini walaupun sudah agak berjauhan. Melalui mereka saya tahu sekarang Ah Choon sahabat saya dan Ah Hai sudah kaya raya sekarang dengan berniaga. Sejak mereka berpindah, saya tak pernah lagi jumpa Ah Choon. Kata mak saudara saya, saya pasti tak akan kenal kalau jumpa Ah Choon lagi. Tapi, naluri saya kuat mengatakan saya boleh kenal kalau jumpa. Saya sampai sekarang termangu-mangu memikirkan kenapa ayah saya dan adik beradiknya (saya percaya orang-orang tua di Alor Senibong yang masih ada juga sama) masih boleh menjalinkan hubungan dengan keluarga mendiang Kam Lor walaupun sekarang dia sudah sampai ke “syurga.”
Oh ya, waktu itu, sekitar 80-an keluarga Kam Lor bercakap fasih dengan kami menggunakan dialek Kedah yang sama dengan kami. Tidak pelat-pelat. Dan tidak sama dengan Cina Petaling Street atau Cina Petaling Jaya bila bercakap dalam bahasa kebangsaan, yang bila kita dengar mereka bercakap bunyinya sesak seperti lembu yang jatuh dan hampir lemas dalam telaga. Waktu itu juga, kami tidak diperkenalkan dengan segala kempen dan segala slogan seperti bahasa jiwa bangsa, bangsa kita bahasa kita. Tidak ada budaya ungkit-mengungkit, kata mengata. Tidak juga ada waktu itu budaya seperti mengarak kepala lembu yang cukup membingungkan kita seperti sekarang. Tidak juga ada slogana Satu Malaysia seperti sekarang (betapa beruntungnya orang sekarang ya!). Terasa betapa toleransi kami sudah lama mengakar.
Betapa hampir 30 tahun dulu (kalaulah diukur ketika usia saya boleh berfikir; dan mungkin lebih kalau diukur mengikut usia Kam Lor dan arwah Tokwan saya), orang-orang kampung sudah jauh mengatasi segala pekik, tempik dan jerit slogana demi slogana yang baru berbuih di mulut mereka yang terlelap selama ini.
Tokwan dan Kam Lor telah lama pergi, tetapi saya merasa mereka selalu ada; jauh-jauh, berbalam-balam dan sesekali terasa jernih – kembali menjadi terang ketika teringat-ingat, bercampur resah ketika menatap rusuh mutakhir kita.
18 comments:
Merdeka!
kum kum,wawa,toraaa roti sekaya potong pun best tiap2 ptg waktu main dgn kengkawan kami panggil mamak roti.boleh hutang juga,dulu2 mmg best walaupun takder sloga ka apaka...
dulu-dulu pun takdak lagi rasul melayu huhuhu filem blu adalah huhuhu....
kenangan indah ;)
betullah, sekarang semak betul dengan kempen itu ini.
moga Allah bukakan pintu langit taubat kepada gemulah itu dan diri kita. amin.
Salam,
Bila hang bercakap pasal TITI Haji Deris, aku teringat kat supupu hang? kat TITI Haji Deris tue...
Nanti kalau kita dan jumpak , jom kena Bihun Sup Mat Bom dekat Titi Hj Derih (ada lagi ka?)
slogan untuk ahli politik yg mengemis sokongan dan kununnye bervisi
Sdr. Marsli,
merdeka dari siapa, atau merdeka dari apa? hihi
awang,
hak hak rasul melayu dah ada blog. Gilak!
epool,
dah lebih dari semak rasanya
bang aji,
ameen.
adi,
Omar Bom tu bukan dekat Titi, tapi dekat Langgar. Aku tak tau dia hidup lagi ka dak. Yang tentunya Omar Bom meletup dengan resipi mee bandung dia
Luq,
pengemis macam ni selalunya dipandang hina
psssttt, hang nak rekemen gerek kat aku brand apa, :)
Assalamualaikum,
1. Seronoknya ada kampung.
2. Seronoknya pernah main titi.
3. Seronoknya ....
huhuhu. cemburu ni :(
wardah,
bandaraya sdr tu pun dah kira kampung sdrlah tu. Orang kampung susah je tak kaya raya macam orang dari "kampung-kampung" seperti sdr, :)
wan, tengok DB September. "Seniman Harus Berangkat dan Kembali". Abang dah kirim, mungkin belum sampai.
Bang Nan,
Alhamdulillah. Terima kasih banyak.
Apalah ertinya kalau setakat merdeka di dalam botol.
Sdr. Marsli,
campak saja botol tu ke laut luas
Post a Comment