Kad undangan yang Terpaksa dibakulsampahkan
Beberapa hari lalu, saya menerima satu kad undangan (tanpa setem) – bermaksud dihantar tangan. Kiriman dari sebuah jabatan yang kononnya masih ramai pemikir di dalamnya. Sampulnya putih, bertatahkan tulisan urusan seri paduka baginda; kemudiannya dihiaskan dengan cop undangan dari pejabat menteri.
Hanya sayang, kad itu terlewat tiba, sesudah programnya sudah selesai dianjurkan. Kesian. Bukan kesiankan saya. Saya kesiankan mereka. Punya kuat bekerja setahun lebih 400 program kena buat, di tengah semua yang terdiri dari pemikir, sayang mereka tidak belajar cara-cara yang betul untuk mengirim satu kad undangan. Sekeping kad undangan yang terbuang itu menggunakan duit saya sebagai seorang rakyat. Bayangkan kalau ada lagi kad undangan yang tercicir dan lewat tiba ke tangan orang lain, berapa banyak harta rakyat yang kita kebas dan buang begitu-begitu saja.
Kesian, kata masih ramai pemikir. Tapi nak hantar satu kad undangan yang jaraknya tak sampai 10 kilometer pun susah jadinya. Saudara pemikirkah; atau sayakah yang pembohong?
Saya rasa tiba-tiba bakul sampah di kamar kerja saya tidak cukup besar.
SMS yang “dimuliakan”
Dua malam lepas, saya ke Stor DBP untuk menonton. Undangannya saya cuma dapat melalui sms seorang teman baik. Malam itu teater arahannya akan turut dipentaskan. Catat smsnya, “kawan-kawan, datanglah ke Stor DBP malam ni, teater saya Bidan ke Tujuh.”
Maka, dalam ripuh berkejar-kejar pulang mengambil anak dari nursery, dan ditambah dengan hujan yang merusuh sekitar PJ dan KL, saya berdiri di luar Stor DBP 15 minit sebelum persembahan bermula. Stor penuh ketika masuk.
Masuk percuma. Bahkan si teman ini yang “membayar” atas smsnya yang dikirimkan kepada setiap orang saya kira. Tapi saya hadir atas rasa istimewa, yang mercup dan berkembang dalam jiwa saya. Jadi, sebetulnya saya hargai undangan si teman ini.
Saya belum delete lagi sms jemputan ini walaupun persembahannya sudah selesai.
Akademi Sastera
Semalam di DBP berlangsung acara saringan Akademi Sastera yang melibatkan pelajar-pelajar IPT. Ada tiga pelajar ASWARA turut terlibat. Atas gendala urusan lain yang agak penting, saya lewat tiba. Sayang, saya tak sempat melihat dua pelajar kami, Rodziah dan Fatiha membuat pembentangan. Saya sempat jenguk semasa mereka membuat latihan pembentangan olok-olok di Perpustakaan ASWARA tiga hari lalu. Sesi petang ada seorang lagi pelajar ASWARA, Asrul terlibat.
Rasa kagum melihat semua pelajar IPT yang terlibat – dari UKM, UPM, UM, ASWARA dan UPSI. Kalau saya pun, peribadi takkan mampu membuat seperti apa yang mereka buat. Dua dari ASWARA layak ke pusingan akhir Oktober nanti. Tahniah untuk Rodziah dan Fatiha. Berbaloi kerja keras mereka sebelum ini. Saya selalu melihat kegigihan mereka. Tahniah juga untuk mentor mereka Azman Ismail. Saya hadir hanya untuk memberi sokongan kepada mereka. Tahniah juga kepada pelajar dari IPT lain yang turut berjaya. Pembentangan kertas mereka meliputi kumpulan cerpen, novel dan naskhah drama. Hairan juga saya kerana tak ada seorang pun yang sentuh kumpulan puisi.
Hanya sayang, calon “favourite” Nazmi dan saya tersasar. Barangkali mentornya, “Ayah Leeh” boleh kekalkan pelajar ini untuk Akademi Sastera tahun hadapan; kerana tahun depan mungkin mentornya akan bertambah daripada satu menjadi tiga. Uhuk huk.
7 comments:
Selamat berpuasa dan menyambut lebaran enche Wan. kalau balik pokok sena time ni..peh..sesak-sesak..tunggu enche wan buat laporan tentang suasana di kg pula
anjungsena, kulim
Assalamualaikum
Terima kasih atas ingatan dan sokongan. Kalau En. Wan balik kampung, nak kirim segenggam pokok padi :) Kempunan nak memegangnya ni :)
anjungsena,
selamat berposa cikgu. Ni saya dok bayangkan jalan kat simpang 4 kedundong tu hui mesti jem
wardah,
pokok padi tengah membesar. kalau saya cabut, sah saya kena 'tengalong' kayu dengan orang tua saya, :)
saya bercadang nak ajak nazmi dan pak wan datang um bimbing pelajar yang gagal tu. amacam boleh?
Post a Comment