Thursday, February 12, 2009

Berbengkel

SAYA baharu pulang dari berbengkel di Kuantan, Pahang. Bengkel Deklamasi Puisi. Membawa anak-anak buah, lalu kami pun berbengkel di sana. Tiga orang tokoh yang diundang sebagai pembimbing rasanya amat berbaloi dengan ilmu mereka dan dengan apa yang mereka beri. Alhamdulillah, sudah ada sedikit perubahan yang agak ketara pada pelajar-pelajar yang saya bawa. Moga ini akan berterusan, dan bukan berubah kerana ditempik, diherdik dan ditempelak pembimbing bengkel.

Bengkel ini bukan sekadar dibuat dalam ruang bilik yang tertutup, bahkan turut dibuat di pentas terbuka dan auditorium kepunyaan Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negara, Negeri Pahang. Lebih daripada itu, vokal mereka juga diasah di sisir Pantai Gelora. Angin sesekali keras, tapi sungguh menyamankan. Sempat juga saya lari dalam ruang sibuk bengkel ke Teluk Cempedak, Pantai Batu Hitam, hingga mampir ke Balok. Di Pantai Batu Hitam, angin lebih keras menampar wajah.

Keluar dari ruang sempit pejabat sangat mendamaikan saya. Tidak ada mata helang yang mengekor saya sepanjang empat hari ini. Sangat damai dan tenteram bila bekerja tanpa ada sekatan dan halangan. Di sini juga, di sela-sela sibuk mengendalikan bengkel, saya selesaikan hutang saya pada pelajar yang saya selia bagi projek tahun akhir. Beberapa bab yang sudah dua minggu tertangguh tidak sempat dibaca, saya usaikan bacaannya di sini. Sempat juga membuat beberapa catatan untuk komen awal. Dan sempat juga membuat beberapa catatan peribadi.

Angin dari Jalan Teluk Sisek adakalanya sedikit keras, sesekali bertukar lembut. Seketika, saya sentosa di sini. Saya lupa pada jalur saya di Kuala Lumpur. Saya lupa seketika pada beberapa perkara yang sangat melukakan saya, yang sangat menjengkelkan saya akhir-akhir ini sepanjang berada di sini. Ruang rusuh dalam jiwa jeda seketika. Di tengah-tengah tempik dan herdik Marsli, di tengah-tengah suara Rahman yang mendidik, di tengah-tengah suara Rosman yang melantun antara keras-lembut, saya benar-benar terasa damai.

Beberapa kesan awal yang saya simpulkan: menjadi deklamator bukan suatu kerja mudah, bukan boleh dibentuk melalui bengkel dua tiga hari. Ada penyair yang tulisannya sangat bagus, tapi sangat buruk bila membaca di pentas. Ada deklamator yang sangat cemerlang di pentas, malangnya orang itu bukan pula tergolong dalam kawakan golongan penyair. Ada yang boleh menjadi penyair kertas dan penyair pentas sekali gus. Dan jenis saya, tentunya lebih memilih untuk berada di ruang kertas.

Saya meninggalkan Kuantan dengan penuh kepuasan. Berbengkel sambil membereskan kerja dari Kuala Lumpur yang saya bawa ke sana; beserta rusuh yang saya kendong dalam kepala sepanjang awal tahun 2009 ini. Semuanya seperti lebur disentak angin pantai timur.

Di sini, di Kuala Lumpur; anginnya pula selalu saja terasa pijar dan pahit ...

12 comments:

Anonymous said...

angin kat bangi sepoi2 bahasa
marilah bertandang lansgung ke putrajaya-ehehe

FARAHNYEMAHMULYA said...

kan kan..heheh
hari ni nak tgok pgl
nnt farah update--

benuasuluk said...

farah,
apa barang putrajaya. Putrajaya tu untuk m,at-mat ngantuk pek-pak aji ja. Ba hak hak.

benuasuluk said...

farah lagi,
apa barang pgl.dari tangga istana budaya, penuh dengan hinduisme Bali. Chitt ptuih tuih.

FARAHNYEMAHMULYA said...

alalala
yang baik2 tentang hiasan apasalahnyer
bunga dengan lilin wangi je
takde unsur pemujaan
huhuu

benuasuluk said...

farah,
perhiasannya buruk seperti cara berkembannya.

Eva Sardiyanti Sarudin said...

~ sy jd senyap bila...
en.wan kata...
"Tak boleh... kak epa awak novelis... dia nak menulis, jangan ganggu dia..."

~ sy bertambah diam bila...
bab seterusnya tidak dapat sy sempurnakan mengikut perancangan...

> sy dah cuba cr di mana silapnya permulaan penulisan sy yg tersangkut-sangkut, bila dah dapat jawabnya, muncul lagi persoalan2 yg perlu jawapannya, dah dapat jawapannya, muncul lagi, begitulah seterusnya selama 2 minggu ni... dan minggu ni juga sy rasa akan jadi sebegitu hal juga... dah terasa nak gila dah menghadap PeTA ni... <

benuasuluk said...

Epa rainrose,
teruskan membaca dahulu. Biasalah tu. Bekerja dengan saya memang lebih teruk sikit kot.
Di hujung nanti awak akan rasa puas yang tak tergambarkan.

Eva Sardiyanti Sarudin said...

~ mudah-mudahan itulah yg terjadi krn itulah yg sy harap-harapkan, sesuatu karya yg sempurna untuk tatapan pembaca...

benuasuluk said...

rainrose,
selamat sengsara!
:)

Anonymous said...

Assalamualaikum

Harap sangat jika ada program lagi di Kuantan, dapat buka kepada umum.
Saya sangat tertarik untuk belajar cara-cara/ teknik deklamasi itu.

Terima kasih.

Hazwani,
UIAM Kuantan.

benuasuluk said...

wardah,
InsyaAllah.
tk singgah.