Saturday, July 12, 2008

KERETA POT

MASA itu aku berumur empat, lima atau enam tahun. Seingat-ingat aku. Ayah memilih dua biji tin yang masih elok di antara himpunan tin di bawah jelapang padi (tin-tin terbuang ini akan dijual bila benggali atau keling datang beli). Saiz kedua-dua biji tin itu sama besar. Rasanya tin nestum, sebab masa tu adik aku makan nestum. Ayah tebuk lubang kecil pada bahagian tudung dan bahagian bawah tin. Kemudian ayah meraut batang buluh hingga jadi kecil, lalu disumbat di celah-celah lubang pada dua-dua tin. Kemudian dua batang buluh yang telah dibelah dan agak panjang diikat kemas pada kiri dan kanan tin.

“Haa... dah siap.” Kata ayah. Aku melompat-lompat suka, seperti budak-budak sekarang suka bila mak bapaknya belikan kereta mainan yang ada remote control.

“Terai (cuba) tolak tengok, jalan dak...,” kata ayah lagi.

Itulah kereta pertama yang aku miliki. Bukan kereta kebal yang aku guna sekarang ni kereta pertama aku. Kereta potlah kereta pertama aku. Pot itu berfungsi seperti tayar, dan batang buluh yang panjang itu bertindak sebagai stereng. Di tempatku, tin dipanggil pot. Jadi, dipanggillah kereta pot. Pada tahun 1979 atau 1980 kereta mainan asli seperti itu sudah dikira hebat bagi anak kampung hulu sepertiku. Zaman dulu susah. Hendak bermain maka direkalah mainan dengan menggunakan segala sumber yang ada di dalam kampung. Kampung yang agak kaya dengan kemiskinan seperti kampungku ini sebenarnya ada banyak sumber. Hutan banat yang menghijau, sawah yang menguning, tanah dusun (tempat aku dusun disebut "dalam kampung"), kebun getah yang berkeliling, membentuk peta tanah asalku.

Maka berkeretalah aku satu kampung tak kira penat atau letih. Kalau nak perlahan, cukup ditolak sambil berjalan. Itu dah kira 40 kmj. Kalau nak laju lebih 100 kmj maka kenalah aku berlari, seperti hendak lawan berlumba. Dulu-dulu kalau nak pandu laju pun tak apa, bukan ada yang pakai kereta dalam kampung aku. Jalan pun masih bertanah merah. Waktu itu kalau main kereta pot kena ada satu gaya. Dileher aku, ada tergantung batang lastik. Dipanggil terebey di tempat aku. Terebey atau lastik tu bukan macam lastik budak-budak pekan seperti budak-budak Taman PKNK atau budak Titi Upaq di belakang Menara Zakat Alor Setar. Mereka koman, pakai lastik kedai. Tak ada ciri-ciri pahlawan.

Kami anak kampung pakai lastik yang diperbuat daripada ranting kayu pokok. Waktu itu, yang menjadi kesukaan aku adalah ranting kayu pokok senduduk. Cari ranting kayu yang berbentuk seperti huruf Y, potong dan raut-raut hingga menjadi cantik dan sesuai. Kalau ranting yang bukan berbentuk huruf Y atau seperti huruf A atau Z itu bukan terebey namanya. Pelapiknya tiub atau tayar gerek (basikal) yang sudah tidak diguna lagi. Itu mula-mula. Lama-lama beli getah dan pelapik dari kedai cina di Kebun 500. Baru sedap terebey atau bidas burung.

Waktu itu, semua budak-budak kampung ada kereta sendiri. Meriah betul. Dengan kereta pot itulah aku dengan sepupuku Aziz, dua pupuku Miun, Nan dan anak-anak kampung yang lain bermain keliling kampung. Dengan terebey dileherlah. Ayam melintas dilastik ayam, kambing mengembek dilastik kambing, burung berbunyi akan jatuh tergedik-gedik di tanah dan terus diam. Kalau burung yang dilastik kena dan jatuh lalu mati, kami akan celet (sapu) darahnya pada pelapik terebey kami. Entah, aku pun dah tak ingat sebab apa. Sebagai tanda kami pahlawan kot. Dalam kalangan kami, Aziz paling pandai lastik. Mesti ada yang jatuh. Aku selalu saja memanah ke langit, kerana cita-cita aku tinggi.

Sekali itu sahaja ayah membuat kereta mainan untuk aku menggunakan pot atau tin itu. Aku perati betul-betul. Bila lama-lama pot sudah karat, kemik-kemik, aku terus buang. Lepas itu, aku mula buat sendiri kereta baru. Ayah tidak buat lagi. Dan dia tak mengajar pun macam mana aku nak buat yang baru. Semua aku belajar melalui pemerhatianku. Itulah anak kampung dulu, kepala otak lain sikit. Cepat berdikari.

Dalam-dalam susah sesekali ada juga ayah belikan mainan untuk aku. Dan adik-adik. Ada bas yang agak besar, ada kereta wolkswagen, ada lori, dan ada kereta perang. Dulu harganya masih murah walaupun payah hendak beli kerana hidup susah. Aku main juga, tapi tak berapa enjoy. Main tolak-tolak atas rumah atau bawah rumah saja (rumah-rumah di Kedah dulu tiangnya tinggi-tinggi – itu sebab aku sebut main bawah rumah). Lepas itu aku jemu, kerana pergerakannya kurang. Akhirnya aku baling saja dan kembali kepada mainan tradisi aku sebagai anak kampung. Lepas aku baling-baling, ayah mogok dan tak belikan mainan mahal-mahal lagi. Yelah, ayah susah, hanya menoreh. Pakai pun basikal tua. Tahun 1985 baru ayah mampu beli motosikal.

Banyak nostalgia aku tentang permainan masa aku kanak-kanak dulu. Dan yang paling melekat dalam jiwa sampai sekarang adalah kereta pot ini. Nanti ada masa lain kali aku cerita tentang mainan lain yang aku suka. Lawan biji getah misalnya. Atau main ikan karim (pelaga). Korek lubang congkak atas tanah, dan main congkak dengan biji getah. Atau main biji guli. Atau main tembak getah. Atau main sing kong (ini pun best- main tikam-tikam gunakan syiling sebagai ibu dengan getah urat sebagai taruhan). Kiranya macam judi untuk budak-budaklah. Selalunya main sing kong ni sampai boleh gaduh-gaduh. Tapi besoknya kawan balik, main lagi dan gaduh lagi. Ah! banyak betul yang mengusik jiwa. Tapi kereta pot inilah yang paling klasik bagi aku.

Dengannya, aku telah jauh memandu hingga membawa diriku menjadi seperti sekarang. Hingga membawa aku jauh tinggalkan kampung halaman. Dengan terebey itulah aku melastik langit, dan mengejar cita-cita. Hingga pernah terasa matahari seperti jatuh di laman rumahku dan aku telah berjaya memegangnya. Sekarang budak-budak tak main lagi kereta pot atau terebey. Bahkan tak pernah tengok pun. Tapi, jiwa aku masih melekat di situ. Hampir tiga dekad lalu, itulah cebisan peta diriku; yang telah jauh aku tinggalkan. Sesekali ingatan seperti datang menunda-nunda.

Sesekali bila berpaling melihat jalan-jalan yang pernah ditinggalkan, alangkah terasa mahalnya melepaskan alam kanak-kanak kita pergi.

8 comments:

Anonymous said...

salam terebey,
ahh apa kelas beli terebey kat kedai mamak,bebudak pknk buat sendiri terebey oooo...kan kami dekat dgn kampung kat titi upaq yang hang sebut tuh,waktu tuh banyak lagi kampung-kampung.so terebey aku diperbuat dari pokok jambu batu lerrrr...pelapik kami cari kasut kulit oooo atau tiub getah tayar beskat.hah...buat main ooo..apa ingat kemereh ka kami nih huhuhu.curi mempelam belakang rumah jiran-jiran pun seronok,malam-malam pi mengendap,curi burung merpati pakai gam tikus yang lekat kat kayu galah hahahaha.main camel trophy keliling kampung dengan beskat bmx(aku tarak beskat tak mampu org susah mcm hang gak)tumpang kawan je lah.pi sekolah waktu form six dulu pun tumpang kwn naik beskat dgn mutu budak titi upaq(org susah biasalah mcm hang jugak).
main kawen-kawen lah yang paling best heheheheh.
banyak benda lagi nak citer lah tak terlarat beb.
ahhh...nostalgik.

Sham al-Johori said...

SALAM KUNJUNGAN.
WAH, bernostalgia panjang nampak. Kenapa sejak dua menjak ni kekawan saya asyik nak bernostalgia aja... Ada apa-apa yang tak kena ke? Tapi, orang johor panggil 'pot' tu 'pot' juga. dulu zaman anak-anak kami bawa pot ke sekolah dan waktu rehat kami berlumba di trek balapan macam F1. Maknanya dulu lagi kami dah berfikir macam F1. Hehehe, siapa yang kalah kena belanja pulut kepal kelapa campur ikan masin. Fuhhh, rindu masa lalu.. Nostalgia tidak pernah mati dalam diri manusia yang takut mati. hehehe

adiratno said...

Aku tak main terebey la. Aku main Bulu ayang ikat dengan pelapik tayar moto ayah aku. Pastu bawak pi sekolah main kat sekolah, merambu peluh nak masuk kelas petang. Paling best macam budak PKNK tue cakap, main kawen-kawen (tapi main masa Form SIX sebelum tue tak reti..nak kawen ngan Mon...tapi dia tak mau)...hehh

benuasuluk said...

Awang,
terebey kayu jambu tak best, pi terai kayu senduduk tengok.

Syeikh Johori,
Nak berangan nak buka ladang rasa tak mampu, cukup le mengingat-ingat barang yang lepas. Haha.

Adi,
Tempat aku bulu ayam dipanggil patyit. Aku dah agak hang memang "kaki bangku" pasai terebey. Tak pahlawan langsung. Haha.

Denanz ... said...

benuasuluk,
adoi ... syok sungguh dok kenang ceghita lama. abang pun penah main kereta pot. teghebey bughung toksah cakap la. tak tau beghapa banyak jadi mangsa. pasai celet darah di pelapik tu, konon nak bagi lagi paka (pakar?), yg membuatkan setiap kali teghebey, pasti mengena sasaran. senapang buluh hang tak main ka. guna buah cenerai buat peluru ataupun guna kertas soghat habaq - rendam sampai hancox, jadikan bulat2 buat bpeluru.
cari ikan kaqin pun syok jugak. jumpa pulak hat buih bekaqat, wooo hitam meqelit badan dia.

benuasuluk said...

Che Nan,
aat pula tak main senapang buluh. Best tuu. Tempat kita dipanggil cakplong. Dalam Suluk Cinta saya ada saya tulis sajak pasai cakplong ni. Selain tu main senapang kayu. Woo best woo, guna peluru dari pokok bemban. Woo, ni dah meleleh ayaq lioq ni dok teringat.

Jom kita pi main singkong kat bucu, nak?

Anonymous said...

Wan,
Hang tulihlah skrip satu pasal anak Kedah ni.Kalau aku ada bajet, baru aku buat filem.Hahaha!

Syok orang ada kampung halaman,ada nostalgia.Agaknya anak 'orang pekan' macam aku takde nostalgia kot?Ntahlah...

Btw,'kandil' tu maknanya kereta kancil kacuk kandang khinxxx...oops!

benuasuluk said...

Rai yang seronok terima hadiah dari artis,
anak pekan nostalgialah cara pekan. Tapi takdaklah nostalgia pasai tepung talam. Kat shah alam mana nak cari tepung talam. haha.
oh, aku rasa 'kandil' tu ertinya makan begedil. hah. Cuba tanya aljohori tu betul tak.