TENTANG DINASOUR
AKU akhir-akhir ini sering terbelit dalam jaring masalah. Bukan aku yang cipta. Orang lain yang gumpalkan jaring dan campakkan menjadi masalah pada aku. Aku terbelit di dalam jaring. Bila berjaya keluar dari jaring, aku nampak dinasour berdiri depanku. Mula-mula satu, kemudian bertambah menjadi dua. Dari dua, bertambah menjadi berbelas-belas. Dari berbelas-belas, bertambah menjadi satu kapal. Meluat sungguh aku melihat dinasour ini. Dia hulurkan salam. Aku enggan menyambut, kerana tahu salam yang dihulur berbau najis. Najis dinasourlah.
Tiba-tiba ada tempikan dari satu lubang gelap di hadapan tempat aku berdiri. Memaksa dan menolakku bersalam dengan dinasour itu. Lepas itu, jiwaku rusuh. Maka, berkawanlah aku dengan dinasour. Kawan-kawan aku yang tahu aku berkawan dengan dinasour memandang jengkel kepadaku.
"Tahniah kerana bersahabat dengan dinasour." Begitulah kata sahabat-sahabatku.
"Semoga kulitmu tidak bertukar dinasour." Begitu antara kata yang aku terima.
Karib aku yang seorang lagi sinis. Pilu aku mendengar kata-katanya.
"Kalau kita berkawan dengan benda atau orang atau hewan yang hina, dia juga akan membuatkan kita menjadi terhina dengan sendirinya."
Sungguh, aku seperti mahu menangis bila karib ini berkata begitu. Hina betulkah dinasour? Aku menyambut salam dinasour dengan jiwa yang kacau. Aku tampar-tampar pipi . Berharap-harap aku hanya bermimpi. Malangnya, kecewa. Betul, aku memang di alam nyata.
Sesudah hampir sebulan berkawan dengan dinasour, barulah aku semakin nyata mengapa karib-karibku menempelakku dulu. Aku jijik kepada diri sendiri. Pelan-pelan, aku cuba mengungsi dan menjauhkan diri daripada teman-teman. Aku malu. Tapi bukan niatku untuk berkawan dengan dinasour, dan membelakangkan sumpah kami untuk tidak memandang kepada dinasour. Tapi aku terpaksa. Tempikan dari lubang gelap itulah yang menolakku kepada dinasour.
Dan kini, aku benar-benar berdendam. Bukan dengan dinasour. Tetapi dengan lubang gelap itulah. Lubang gelap yang menghuni rumahku seperti benalu, dan membuatkan nafasku menjadi sesak setiap ketika. Aku tidak pasti adakah dendamku ini akan makin bertambah atau akan ruyup dengan sendirinya. Aku takut, jika dendam ini makin membusung dan bernanah dalam nuraniku, aku takut aku lupa diri. Lupa Tuhan. Dan lupa sebagai sifat seorang hamba-Nya. Dan lebih parah kalau tiba-tiba aku terloncat bangun dan meludah lubang gelap itu. Dialah angkara.
Ketika bangun tidur menjelang subuh tadi, aku rasakan sesuatu yang berbeza menyentak-nyentak tubuhku. Dan di hadapan cermin, aku benar-benar terpempan. Wajahku kini bertukar menjadi dinasour.
2 comments:
salam ultraman,
ana berkawan dengan dinasour pemakan daging atau pemakan sayur(pucuk-pucuk paku)sekarang ini bermacam jenis dinasour ada.dinasour juga ada yang manja ada yang cenge,ana dapat dinasour dalam kategori yang mana iyer?
http://greatdaddy.blog.ekawan.com
Sdr. Awang,
dinasour ni dah tua. Jadi makan bubur je. tapi nak bubur pun bubur yang manis-manis saja.
Post a Comment