DI ATAS RUANG YANG SATU, KITA BERKONGSI SEGALA RASA
KADANG-KADANG kita akan terpempan, terpaku, sesekali terharu dengan beberapa keadaan yang kita depani secara yang tidak kita jangka. Dalam ruangan sulung Beringin ini, saya akan berkisah sedikit tentang pengalaman kecil saya, tetapi terasa sangat besar dan dalam maknanya pada jiwa muda saya.
Pada 16 Jun 2005 yang lalu, saya bersama Penolong Pengarah Jabatan Muzik, Mohd Syukor Ibrahim dan Tutor Jabatan Tari, Mohd Kamaluddin Daud telah dijemput untuk menjadi panel hakim bagi Hari Kebudayaan dan Kesenian Program Integrasi Pendidikan Khas Daerah Gombak bagi tahun 2005, bertempat di Kelab Sri Damansara. Secara jujur, saya tiada pengalaman atau tidak pernah melihat bagaimana anak-anak istimewa seperti mereka akan melakukan persembahan, dan saya di bawah pentas duduk menilai dan memberikan markah. Sebelum pergi, saya tidak dapat bayangkan bagaimana situasinya. Saya tidak tahu apa perasaan yang berselirat di sukma saya, dan saya juga tidak tahu bagaimana rasa kedua-dua sahabat yang turut bersama saya ketika itu.
Antara mereka yang dikategorikan sebagai golongan berkeperluan khas adalah kanak-kanak yang bermasalah dengan penglihatan, pendengaran, masalah pembelajaran, disleksia serta kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat. Saya dimaklumkan oleh seorang guru bahawa program seperti ini diadakan setiap tahun oleh Sekolah Pendidikan Khas di daerah Gombak, dan setiap sekolah bergilir-gilir menjadi tuan rumah (ada 11 buah sekolah pendidikan khas di daerah Gombak). Tahun ini tuan rumahnya adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit rahman Putra, Sungai Buloh. Sungguh, ketika duduk di meja panel yang disediakan, saya masih lagi keliru kerana ini pengalaman pertama saya. Tetapi gelisah saya lenyap bila sahaja persembahan anak-anak istimewa ini bermula. Saya terpempan, terpaku, dan pada masa yang sama saya diasak haru yang berpilin dengan sejuta kagum.
Mereka mempunyai bakat tersendiri, dan setiap persembahan mereka diberi "nyawa" dengan keadaan istimewa mereka itu. Daripada nyanyian solo, membawa kepada deklamasi puisi dan bersyair, sehinggalah kepada persembahan berkumpulan dalam bentuk sketsa, lakonan, nyanyian dan tarian. Saya lihat ketika mereka membuat persembahan, guru-guru mereka di bawah akan memberikan perhatian, sesekali ketika mereka bermasalah, guru-guru ini akan memberi bantuan semangat dan tunjuk ajar dari bawah.
Saya diasak kagum dan terharu, sesekali terasa sedar diri. Seorang anak yang mendeklamasi puisi secara hafal, di pertengahan jalan "ghaib" baris-baris puisinya, tiba-tiba berdiri rajuk dan jeda seketika. Ketika dipujuk gurunya agar membaca terus sajak di kertas yang dipegang di tangannya, dia masih berkeras mahu terus deklamasi secara hafalan. Akhirnya, dia memulakan kembali deklamasinya (tetap secara hafal) dan berjaya menyudahkannya. Saya bertepuk tangan semahu saya. Juga ketika seorang kanak-kanak hyper naik ke pentas ala seorang rocker dan lagak penyanyi profesional menggamatkan dewan ketika mengalunkan lagu Blues Gang begitu mengesankan.
Saya telah menjadikan tugas sebagai panel sebagai perkara kedua, borang markah di tangan seperti tidak meninggalkan kesan pada saya. Perkara lebih utama ialah "melayan" dan memberikan sokongan moral kepada mereka. Saya enjoy sepanjang persembahan mereka berlangsung. Banyak perkara yang ingin saya ceritakan, tetapi ruang terbatas ini memungkinkan setakat ini sahaja coretan pengalaman saya.
Saya percaya kedua-dua orang teman yang bersama saya juga melalui pengalaman mahal ini dengan rasa yang berbaur. Keputusan menang-kalah mereka sudah tidak penting lagi. Anak-anak istimewa seperti inilah yang perlu kita sokong dan jiwa kita mesti bersama mereka; kerana dalam dunia moden yang mula mahu menolak dan membuang seni budaya ke sudut tepi (oleh mereka yang tidak "berpendidikan khas"), masih ada seperti mereka yang mahu turut serta memperkasakan seni budaya bangsa. Suara mereka perlu kita dengar, kerana mereka juga sebahagian daripada kita.
Saya tersihir dengan anak-anak ini. Dan saya juga tersihir dengan komitmen dan cinta guru-guru yang sabar meladeni kasih terhadap anak-anak ini. Kalau saya menjadi guru "khas" ini, saya tidak tahu apakah boleh saya segigih atau sesabar mereka. Saya benar-benar tersentuh sampai ke saat ini; kerana saya percaya di atas ruang yang satu, kita berkongsi segala rasa.
Sumber: Buletin Beringin ASWARA, Julai 2005
No comments:
Post a Comment