Tuesday, November 13, 2012

Pengalaman Kecil

Setahun dua ini, saya sering 'meneman' isteri dalam proses permohonan untuk bertukar sekolah. Hingga ke tahap proses rayuan. Setahun dua kali, begitulah setahun dua ini. Ada pengalaman yang mengajar, ada juga yang menyakitkan. Semuanya kami 'telan'. Tahun ini, sekali lagi kami memohon - dan lebih berharap. Dengan kos sara hidup yang meningkat hidup di kawasan yang diiktiraf sebagai bandaraya, saya semakin tidak betah hidup dengan menyewa rumah orang. Sedang rumah sendiri sudah lama siap, sudah hampir tiga tahun saya membayar tanpa duduk. Saya pun sudah semakin jarang singgah ke sana, bimbang mata melihat rumah kami menjadi lusuh dan buruk.

Sekali lagi, gagal - dan sekali lagilah mengunjungi JPN di Shah Alam. Sebelum ini, masalah sedikit ruwet bila guru besar isteri saya tersalah tanda, bersetuju untuk tidak bersetuju permohonan pertukaran. Kerana ia sistem online dan tidak boleh dibetulkan secara manual, sudah tentulah menyusahkan. Terkejar-kejar ke PPD di Subang jaya sebelumnya. Selesai, dan kininya ke Shah Alam pula. Rezeki tahun ini, dapat berjumpa dengan pegawai yang menangani rayuan pertukaran - lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya bila terpaksa tinggalkan surat bila pegawai enggan jumpa - dengan alasan berkursuslah, mesyuaratlah dan macam-macam.  di sini, kami dijelaskan kawasan sekolah yang isteri saya mohon bertukar adalah 'kawasan panas'. Bukan kawasan penagih, kawasan air ketum, kawasan perompak dan sebagainya. 'Kawasan panas' yang dimaksudkan oleh pegawai JPN ini bermaksud kawasan yang ramai guru mohon untuk bertukar. Saya senyum saja. Tak sangka, kawasan hulu pun ramai guru yang minta tukar ke sana. Agaknya sekarang orang lebih suka duduk hulu. Entahlah.

Tapi di sini saya belajar sesuatu. Ada kes yang lebih teruk daripada kami suami isteri. Saya sempat bercakap dengan seorang guru perempuan yang juga membuat rayuan. Ironinya, dia sudah 15 tahun mengajar di KL, dan suaminya di negeri. Sudah 15 tahun dan tidak pernah pun bertukar sekolah. Lima tahun belakangan ini, setahun dua kali katanya, dia ulang-alik ke Shah Alam dan Putrajaya - merayu untuk dipindahkan ke negeri, untuk dapat bersama keluargnya. Matanya sedikit berkaca bila bercakap. Bila mendengar masalah orang, saya rasakan masalah saya hanya umpama sayap kelekatu, tak ada apa-apa. Rupanya masalah orang lebih besar dan rencam. Dan anehnya, bagaimana Kementerian Pelajaran ini menangani kes permohonan (dan rayuan) guru bertukar sekolah. Masalah mana yang ditimbangkan dulu berbanding dengan masalah guru 15 tahun hidup sendirian di Lembah Klang dan suaminya serta keluarga di negeri. Aduh, saya pergi membawa masalah kami, dan pulang membawa masalah kami yang belum selesai, ditambah dengan masalah orang yang sangat saya kasihani.

Semoga langit mendengar rintih dan doa kami. Semoga Allah memudahkan rezeki kami, untuk kami bertukar dengan aman dan lapang dada. Amin.

No comments: