Monday, June 25, 2012


PeTA 2012: Satu Catatan Singkat

Terlewat untuk membuat catatan singkat tentang Seminar Akhir Penilaian Tahun Akhir (PeTA) Fakulti Penulisan Kreatif, yang diadakan pada 11-13 Jun yang lalu. Daripada 26 orang pelajar yang seharusnya wajib dinilai dalam projek akhir ini, 24 orang telah berjaya melalui fasa penilaian akhir ini. Ada rasa yang berbaur dalam jiwa bila melihat 'hari akhir' kumpulan ini. Saya melihat setiap sudut, yang mungkin berbeza dengan tenaga pengajar yang lain. Saya tidak melihat projek akhir ini sebagai pengakhiran perjuangan mereka; kerana pada saya usai sahaja PeTA 2012 ini, barulah sebenarnya bermula perjuangan mereka. Saya tidak menilai siapa yang terbaik sepanjang tiga hari kami berkampung melaksanakan seminar akhir ini. Saya hanya menilai mereka hanya selepas ini - bagaimana mereka membawa bakat mereka, bagaimana mereka menggunakan ilmu yang ditimba sepanjang tiga tahun di sini (ada yang selama enam tahun di sini, mengambilkira dari zaman belajar diploma dan kemudiannya menyambung ke peringkat ijazah pertama pula di sini) di luar nanti; di dunia sebenar, di gelanggang penulisan yang sebenar.

Pujian, teguran, nasihat dan pandangan setiap ahli panel yang menilai mereka seharusnya dijadikan satu renungan panjang. Saya percaya, dengan ilmu yang dimiliki, dengan kesungguhan yang tinggi, dengan bakat yang sentiasa digilap, mereka boleh berenang di laut luas. Keluarlah dari akuarium kecil di pinggir Padang Merbok ini, dan berenanglah di laut sebenar - yang menjanjikan lebih cabaran, lebih keterujaan, lebih keseronokan, dan lebih segala kemungkinan. Saya selalu bercakap dunia di kampus kecil kami ini cumalah sebuah akuarium. Di luar sana, ada laut sebenar yang lebih membiru, dan jua menggelombang. Kini, inilah waktu terbaik untuk menikmati dunia laut yang sebenar.

Kepada kumpulan Diploma - Mohamad Shahril Azizi, Nurul Atikah, Rainee Hilda, Radzmi Riko, Farah Azyan Izzati, Nor Syamimi, Noraishah dan Nur Asilah - selamat maju jaya dan doa semoga segala yang terbaik menjadi milik semua anak didik kami. Saya kenang yang baik-baik sepanjang anda semua bersama saya sepanjang tahun 1 dan 2.

Kepada kumpulan Ijazah - Hadawiyah, Che Nor Amirah, Mohamad Uzair, Siti Nurul Naquiah, Noor Suhaida Hidayu, Amirul Annuar, Julia, Nurulain Filzah, Nurul Najwa, Nurul Hidayah, Sarah, Maisarah, Khalila Ilia, Nur Fatiha, dan Siti Khalisah - doa saya juga bersama anda. Keluar, dan berenanglah di laut sebenar. Saya juga hanya ingin mengenang yang baik-baik sahaja sepanjang bersama anda. Ada yang melalui enam tahun bersama saya di sini.

Begitu mudah kami menerima anak didik yang datang; dan begitu payah saat melepaskan ketika telah berakhir waktunya. Semoga semuanya sentiasa dalam rahmat-Nya. Catatan saya berakhir di sini. 

Sebahagian daripada 24 pelajar Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA pada hari PeTA
Kredit foto: Dr. Norhayati Abd. Rahman





No comments: