Friday, May 18, 2012


Wawancara Lereng

Sempena ulang tahun ke-10 saya berkhidmat di akademi ini, wartawan Buletin Kampus, Beringin Tumbang sudi untuk mewawancara saya. Wawancara ini dilakukan di Lereng Padang Merbok. Berikut sebahagian saja wawancara tersebut, sebahagiannya lagi saya simpan.

Soalan: Errr apa azam sempena 10 tahun ni?

Jawapan: Bekerja macam biasa untuk dapat gaji macam biasa. Bekerja luar biasa untuk rezeki luar biasa.

Soalan: (Sambil garu-garu kepala) Apa pengalaman paling berguna sepanjang berkhidmat?

Jawapan: Bila kita sedar kita ni mungkin tak berguna bagi sesetengah orang. Selain itu, berhadapan dengan manusia tak berguna juga adalah pengalaman paling berguna yang dapat saya perolehi.

Soalan: Gila betul jawapan Enche Wan. Emmm ada boss ucap selamat ulang tahun tak? Ucap selamat maju jaya ke, selamat terus berbakti ke, ajak minum kopi ke?

Jawapan: Saya dah lama tak ada bos kot.

Soalan: (Garu kepala lagi) Sekarang buat apa?

Jawapan: Sedang menikmati hukuman buang daerah 2 tahun. Kamu anggaplah ia sebagai hadiah ke, biasiswa ke, geran ke, apa ke, padahal kamu tak mahu aku dok dalam pejabat dan bikin “kacau” sama kamu. Ceh tak ikhlas.

Soalan: Kenangan manis dan kenangan pahit selama berkhidmat di sini? Errr janganlah Enche Wan cakap ketika makan gula dan peria pula hehehe.

Jawapan: Boleh skip ke soalan lain tak? Ini kalau nak jawab tiga hari pun tak habis. Tapi ringkasnya, banyak. Banyak sangat. Saya lebih belajar menjadi orang sekarang, dan lebih mengenal orang. Biarlah saya mengenang yang manis saja, yang pahit biarlah berdiri di luar kata.

Soalan: (Sambil tepuk-tepuk dahi) Apa impian Enche Wan?

Jawapan: Kalau ada kekuatan dan kekayaan, nak berhenti sebelum bersara. Serius!

Soalan: Kalau Enche Wan bos, apa yang akan dibuat?

Jawapan:  Ni soalan provokasi ke apa ni? Kalau saya bos, perkara utama yang saya akan cuba buat ialah menampal dan menjahit kembali perasaan sesetengah kakitangan yang rosak. Mereka ini menyumbang untuk jabatan kita, mereka ada kebolehan dan kepakaran, lebih utama mereka juga manusia yang ada hati dan perasaan. Daripada sibuk menampal bumbung bangunan yang bocor atau menampal jalan berlubang ada eloknya kita tampal hati mereka. Beri mereka kekuatan dan semangat untuk mereka bekerja. Ini lebih utama, merekalah sumber manusia kita. Jadi layanlah mereka dengan sifat dan rasa kemanusiaan kita. Insaniahlah sikit. Tapi kalau diberi pilihan lebih baik, saya tak mahu jadi bos. Banyak benda yang saya nak kena tampal kesilapan manusia lain. Takan saya nak sapu letak bawah karpet kot?

Soalan: Kalau betul-betul jadi bos, apa yang Enche Wan tak akan buat?

Jawapan: Oh, macam ni punya soalan pun ada ke? Kalau saya jadi bos, antara perkara yang saya tak akan buat ialah dengan menghina staf sendiri, menyuruhnya pergi jual pisang goreng kalau duit gaji tak cukup. Jadi bos, jangan hina anak buah. Takut-takut nanti bila kita pencen atau ditamatkan kontrak, anak buah pakat gantung pisang baru padan muka. Bila dah tak ada jawatan nanti, tak ada siapa nak pandang muka atau bertegur sapa di tepi jalan. Jangan jadi kaldai depan anak buah, ia sangat memalukan.

Soalan: (Sambil menyapu peluh dengan lengan baju) Apa pesanan Enche Wan pada rakan-rakan sekerja?

Jawapan: Inilah soalan paling cerdik saya tunggu. Nasihat saya, ikhlaskan hati bekerja, jaga tempat kerja kita baik-baik. Jangan buat benda-benda tak senonoh di tempat kerja. Tempat kerja bukan sekadar tempat cari makan. Ia lebih dari itu. Ingat rezeki kita langit yang memberi, bukan datang dari tingkat tiga. Biarlah kita jadi orang bawah yang ada harga diri, biar kita selekeh tapi kerja hebat, jangan jadi macam sesetengah PTD pakai hebat tapi kerja berkarat. Batang kayu lagi cerdik dari dia. Saya berharap kita semua menjadi pekerja yang “bekerja bersama-sama saya, bukannya bekerja untuk saya!” Paradigma ini kalau ada kena ubah. Inilah barah yang berlaku dalam dunia kerja. Jangan jadi kaldai orang di tempat kerja. Jadikanlah institusi tempat kita mencari makan, mencari rezeki yang halal untuk anak bini sebagai tempat yang mulia. Pertahankanlah tempat kerja kita seperti Jins Shamsuddin pertahankan Bukit Kepong.

Soalan: Pesanan untuk bos pula?

Jawapan: Jangan suruh staff jual pisang goreng (walau kamu ada kebun pisang yang luas). Ia, sangat melukakan.

4 comments:

Anonymous said...

wan, aku suka dengan nota ni. Memang mengharukan...

Bea Adra said...

Enche Wan, sememangnya Enche Wan antara pensyarah paling ikhlas yang pernah saya berguru. Catatan ini buat saya sebak seketika. Semoga Enche Wan selalu berbahagia. Amin.

benuasuluk said...

Sahabat,
terima kasih atas kenangan yang kita kongsi bersama...

benuasuluk said...

Aina Nabila,
terima kasih. 10 orang pelajar lagi seperti awak, boleh membuatkan saya lupa bahagian pedih kerjaya saya...