Wednesday, February 16, 2011

Jalan Pintas



Selalunya, bila hendak pulang ke Pokok Sena di Kedah, sampai saja disusur keluar tol Pendang, saya akan menyisih ke bawah, menggunakan jalan biasa. Dari tol Pendang itu, saya akan melalui pekan Pendang, melewati pekan Tanah Merah, kemudiannya menggilap nostalgia di jalan Kg. Titi Haji Idris, Kg. Alor Pak Ngah, Kg. Tualang hinggalah saya sampai ke Kebun 500 di Pokok Sena. Itulah jalan pintas yang cepat untuk saya sampai ke Pokok Sena tanpa perlu melalui jalan yang menghala ke Alor Setar. Itu lebih jauh – dan membosankan tentunya. Saya suka melalui jalan-jalan kampung. Titi Haji Idris terutamanya. Di situlah saya habiskan sebahagian besar zaman kanak saya, bersekolah dan membesar di situ, sebelum kembali ke Kebun 500 bila menganjak remaja. Tak apa, itu cerita lama (akan saya ceritakan dalam entri-entri yang lain, tentunya).

Pokoknya, saya hendak cakap tentang jalan pintas. Jalan pintas untuk segera sampai ke destinasi. Semua orang kalau ditanya, tentu ada pilihan jalan pintas masing-masing, yang digunakan untuk sesuatu keperluan. Mengelakkan kesesakan atau menjimatkan masa, misalnya. Maka, jalan pintas akan menjadi pilihan.

(ii)

Tetapi dalam dunia akademik, maaf cakap tidak ada jalan pintas. Dalam dunia akademik untuk berjaya tidak ada pilihan jalan pintas. Semuanya mesti melalui denai dan selokan dunia akademik. Semua mesti diladeni dengan prinsip yang ada di dalamnya. Memanglah sekarang segala ijazah boleh dibeli asal berduit, tapi tentunya sudah menyalahi etika dunia akademik. Justeru, sebagai pelajar tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Tak ada orang yang berjaya tanpa berjuang!

Begitulah juga nasib menjadi seorang penulis. Tidak ada jalan pintas. Tidak ada penulis yang terus menjadi penulis hanya dengan menulis sebuah karya sahaja. Tak ada penulis yang berjaya dengan melakukan hal-hal jenayah dalam dunia penulisan. Plagiarisme contohnya. Plagiarisme, menciplak, mencuri karya orang lain menjadi karya sendiri bukanlah lesen untuk menjadi penulis yang baik dan berjaya. Dengan menciplak menjadikan kita seorang penulis yang tidak ada etika. Semuanya melalui perjalanan panjang, dan tidak ada jalan pintas sebenarnya. Menjadi lebih sedih dan terkilan sekiranya kita penulis (atau, calon penulis) menciplak karya orang kemudiannya melabelkan sebagai karya kita sendiri, semata-mata mahu menyiapkan tugasan (jangka panjangnya, tentulah menjadi penulis). Sangat kesal berlebih-lebih lagi sekiranya hal tentang jenayah plagiarisme ini sering diulang-ulang dalam kuliah oleh setiap pensyarah kita. Percayalah, untuk jangka pendek dan panjang, anda tidak selamat dengan mencuri. Ingatlah bidalan klise, Kota Rome tidak dibina dalam sehari. Justeru, padamkan anganan anda tentang jalan pintas dalam dunia akademik dan dunia penulisan.

(iii)

Tidak mudah untuk berjaya tanpa sebarang rintangan. Apatah untuk menjadi seorang penulis (lebih-lebih lagi menjadi penulis sebenarnya tidak boleh diajar). Ia tidak sama seperti kita melewati jalan-jalan pintas untuk pulang ke kampung atau untuk sampai ke mana-mana destinasi tujuan. Untuk menjadi penulis, percayalah tidak ada jalan pintas.

(iv)

Anggaplah catatan entri ini adalah nota kuliah saya untuk minggu ini. Nota saya cukuplah sekadar ini. Maaf, dan sekianlah adanya.

4 comments:

ZABRI ZAINOL ABIDIN said...

Salam tuan tanah
Saya pun suka juga ikut jalan tu..saja nak elak kesesakan kalau ikut aloq staq...lalu kot tu keluaq pekan pokok sena terus masuk kg pancoq, tang isu jalan pintas ni..naik keta balik kg boleh la, tapi bab belajaq..toksah dok mimpi..saya belajaq apa yang tak dak..upsr, srp, spm,stpm, diploma, ijazah, master.dalam perjalanan dan insyallah dokter nnti. Tak satu pun guna jalan pintas..tua-tua pun dok belajaq lagi..habaq kat pelajar-pelajar tuan tanah..belajaq hidup susah..jgn ambik org punya...salah di dunia tak nampak di sana sapa yang tahu...teringat pokok sena..esok kena balik ni...

awangsulungmerahmenyala said...

litar pintas boleh mengakibatkan kebakaran.

benuasuluk said...

anjung kg pancoq,
jalan pintaih yang kita dok guna balik pokok sena tu sah :-)

benuasuluk said...

awang,
mangsa ditemui mati rentung dengan berpelukan. Kebakaran disyaki berpunca dari lintar pintas. Yang ni lintar pintas akademik namanya hak hak