Monday, August 3, 2009

Semakin Mendekat

SUAMI sahabat saya dan isteri, baru sahaja meninggal dunia menjelang tengah hari Jumaat lalu. Saya, dalam keadaan tersentak dan terkesima, akur dan pasrah berakhir sudah perjalanan seorang teman. Suami teman kami ini, meninggal di pejabat lantaran tiba-tiba sesak nafas. Kerana beliau meninggal di pejabat, maka jenazahnya berada agak lama di Unit Forensik HKL untuk bedah siasat.

Saya dan isteri tiba selepas Isyak, betul-betul ketika jenazah sedang disiapkan untuk dimandikan. Saya sudah beberapa kali diizinkan Allah untuk masuk ke bilik mayat; dan selalunya ia menumbuhkan satu perasaan yang tersangat halus. Betapa kerdilnya kita. Teman ini masih muda, 37 tahun usianya. Tapi kematian tidak pernah mengira usia. Anak sulungnya baru berusia tiga tahun. Isterinya pula sedang sarat mengandungkan anak mereka yang kedua. Hati tiba-tiba tersangat hiba bila melihat keadaan isterinya sekarang. Anak lelaki sulungnya pun tidak mengerti apa-apa. Bahkan ketika dibawa untuk mengucup jenazah, anak kecil ini enggan, lantaran percaya itu bukan ayahnya (walhal menurut cerita sahabat ini, anaknya amat rapat dengan arwah).

Dalam sedu-sedan dan tangis yang tertahan-tahan, isterinya sempat bercerita tentang sikap suaminya menjelang hari-hari akhir. Beliau diarah bertugas di luar kawasan untuk tempoh yang agak lama. Namun masuk seminggu, beliau balik, katanya terlalu ingatkan anak. Malam-malam akhir dia gelisah seperti mata tidak mahu lelap-lelap. Isteri saya, sesekali memeluknya sambil menggosok badannya memberi kata perangsang dengan mata yang berair.

Saya dan isteri menunggu sehingga semua proses selesai malam itu. Jenazahnya dibawa pulang ke Trengganu di kampung isterinya memandangkan suaminya orang Seremban sudah lama kehilangan ibu bapa. Van jenazah bergerak meninggalkan Unit Forensik HKL ketika jarum jam sudah hampir singgah ke angka satu pagi.

Dalam perjalanan pulang, saya teringatkan ketiga-tiga anak saya tiba-tiba. Terlalu sukar untuk menggambarkan rasa halus ini. Betapa terasa kematian itu semakin dekat dan selalu ada. Saya dan isteri, saling berbalas pandang dengan mulut yang terkunci. Tapi, kami tahu apa yang bersarang dalam diri kami ketika itu.

Takziah untuk Suzie, semoga sabar dan tabah dengan kehilangan yang menguji jiwa ini, ketika si kecil sedang bersedia untuk lahir ke dunia. Semoga Allah mencucurkan rahmat, memudahkan perjalanan akhir arwah, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang mukmin. Al-Fatihah.

8 comments:

Denanz ... said...

al-fatihah utk allahyarham dan semua muslimin muslimat yg telah mendahului kita.

awangsulungmerahmenyala said...

salam takziah,
suzie?

al-fatihah.

FARAHNYEMAHMULYA said...

Allah lebih menyayangi..enche wan
kadang2 kita alpa betapa kita hanya ada sedikit masa
untuk saling berkasih sayang
tapi manusia ramai yang memendam dendam dan iri hati

entahlah..bila difikir kehidupan yang singkat..berbahagialah kepada mereka yang dah menemui jodohnya-

puan suzie-arwah menunggu di syurga inshaAllah, dan arwah meninggalkan permata bersama untuk dipelihara harta dunia dan akhirat..

benuasuluk said...

denanz,
amin. Moga-moga yang mendahului kita mendapat rahmat Ilahi.

benuasuluk said...

awang,
ni suzie lain. Bukan suzie kita yang dulu.

benuasuluk said...

farah,
kata-kata adik membuatkan abang luluh ke dalam haru.

p/s - cantik gambar baru, :)

Luqman Hakim QA said...

hang pun kena beringat, ada dare tinggi!

benuasuluk said...

Luq,
tak syok la, hang jangan la menakutkan aku yang tengah takut ni.
:)