Monday, July 21, 2008

SATU PAGI, DALAM RINAI GERIMIS

SATU pagi. Dalam rinai gerimis. Dan jalan raya sudah mula padat. Dengan motor kapcai, dan badan bersalut baju hujan jenama Givi. Dari rumah menuju pejabat di kotaraya. Gerimis makin tebal dan berat di pertengahan jalan.

Sampai saja betul-betul hadapan TUDM Sungai Besi, tiba-tiba motor rasa bergoyang. Berhinggut-hinggut di sebelah belakang. Puaka! Tayar belakang motorku pancit. Aku himpitkan motor ke tepi laluan. Dan duduk bermenung dalam rinai gerimis yang kian berat. Betul-betul hadapan TUDM Sungai Besi. Harap-harap pagi-pagi begini ada “workshop bergerak” melintas, dan sudi menolongku. Bukankah menolong orang-orang yang dalam kesusahan sepertiku (ya, pagi ini aku ada mesyuarat lagi) adalah satu kerja mulia?

Sudah 15 minit menunggu tak ada satu pun mamat motor berhenti. Petanda tak ada “workshop bergerak” pagi ini. Hari-hari lain ketika motorku tak pancit penuh pula “workshop bergerak.” Puaka! Tak boleh tunggu lagi. Jam 9.00 pagi ada mesyuarat. Sekarang sudah 8.00 pagi. Punch card pun sudah merah. Aku tolak motor dalam rasa sebal menyusur masuk ke Jalan Istana Negara. Masih dalam rinai gerimis. Sebelum susur masuk ke Jalan Dewan Bahasa, aku nampak ada trak polis sedang menunda dua buah motor naik dalam trak. Apahal pula? Ketika melewati mereka, seorang abang polis menahanku.

Abang orang keenam yang pancit pagi ni. Area yang sama. Tolak motor naik lori ni,” kata abang polis kepadaku.

Aku hanya mengikut. Termasuk motor aku, sudah tiga buah motor dalam trak polis. Satu motor tu pasangan suami isteri. Satu motor lagi tu kepunyaan abang polis yang menegurku tadi. Aku perati mukanya lama-lama. Seperti aku kenal amat mukanya. Tapi entah, aku tak tahu di mana aku pernah berjumpanya. Rasa sebal dan bengkak membuat moodku untuk bercakap terus tawar.

Kemudian kami naik trak polis ramai-ramai, berdiri sambil pegang motor sendiri agar tidak terbalik dan timpa menimpa kami. Dalam lori polis aku seperti pesalah jalan raya. Berdiri bergoyang-goyang mengikut alunan lori, sambil memegang motor sendiri. Lagaknya aku seperti mat rempit yang baru ditahan. Dalam lori semasa berbual-bual aku bertanya abang polis itu macam mana dia tahu motorku adalah yang keenam pancit pagi ini.

Abang polis cakap dia adalah mangsa pertama. Semasa dia menunggu kawannya mengambil lori untuk mengangkut motornya, dia sempat membilang-bilang berapa buah motor pancit yang melintas di depannya. Macam sindiket, aku mengomel dalam hati. Sampai di susur berhadapan Rumah PENA, ada seorang lagi mamat sedang menunda motor. Trak berhenti lagi. Dan angkut lagi. Sudah sendat dengan empat buah motor di dalamnya.

Kemudian, trak melencong ke Jalan Loke Yew, menuju bengkel motor. Nasib baik ada kedai motor yang buka awal. Dan kami gotong royong membawa turun motor satu persatu. Cina kedai motor tak senyum. Dia hanya menggeleng-geleng kepala. Nampaknya, dia simpati kepada kami. Sebagai hormat kami kepada abang polis, kami bagi peluang kepada motor dia dahulu untuk ditukarkan tiub. Lagipun, polis banyak kerja. Nak jaga negara. Aku? Aku ada mesyuarat saja yang tak pernah selesai-selesai.

Malah, kami amat baik bekerjasama. Masing-masing menunggu hingga sampai motor terakhir (keempat) siap dibaiki. Dan cina tuan punya bengkel menunjukkan paku dalam tiub motor kami. Kesemuanya paku yang sama. Dan pakunya bukan berkarat, tapi putih bersih. Puaka! Memang sah kami didajalkan oleh sindiket paku-pakis.

“Sudah ramai pancit, itu orang tak berani keluarlah. Selalu mesti ada motor datang repair maa,” kata cina kedai. Aku dah malas nak menyampuk lagi. Memang puaka.

Motor sudah siap. Kami berlima saling bersalam. Dan terima kasih tak terhingga kepada abang polis yang sanggup menumpangkan kami hingga ke kedai motor. Siapa berani cakap di tengah kotaraya ini kemanusiaan telah mati? Polis pun selain dari sibuk menjaga masalah negara pun masih ada ruang untuk mempertajamkan kemanusiaan mereka. Bukan setakat jaga demonstrasi, bukan sekadar kepung mat rempit saja.

Oh ya, ketika abang polis itu berlalu, baru aku teringat tentang wajahnya. Mukanya saling tak tumpah dengan Sinaganaga. “Oit oit Naga, lu ada brader yang kerja polis ke? Kalau betul lu ada brader yang kerja polis, kirim salam gua dengan dia ye. Memang sebijik muka dia dengan lu. Dan misainya pun hampir sama dengan misai lu. So, lu tak payahlah mengaku misai lu sorang je macam best. Haha.”

Sesekali kalau ingatkan balik memang sakit hati. Bayangkan paku-paku yang mencucuk tayar motor orang yang baik macam kita tiba-tiba tumbuh dalam perut orang-orang yang merancang sindiket paku-pakis ni. Dan paku-paku yang tumbuh dalam perut mereka akan berkarat dan menyucuk-nyucuk sampai kiamat, dan kita pun tak “hingin” untuk maafkan mereka. Nak cari rezeki pun janganlah sampai menyusahkan orang. Tapi kalau difikirkan balik, kalaulah motor aku tak pancit hari tu, tak merasalah aku nak naik trak polis. Yelah, aku ni dikira orang budiman. Orang-orang budiman mana polis berani nak angkut naik trak, kan?

Itulah. Dalam rinai gerimis. Satu pagi.

5 comments:

Anonymous said...

salam paku pakis,
itulah dikatakan takdir,takdir tuan untuk menulis bahawa masih ada lagi bapak polisi yang berhati mulia walau bukan semua sekurang-kurangnya ada satu walau bukan sepuluh sekurang-kurangnya hati kita akan merasa lega.

lain kali kalau takmau tayar pancit pakai tayar mampoih huhuhu...

Sham al-Johori said...

tuan benuasuluk,
itulah tanda dan hikmahnya Allah SWT menciptakan syurga dan neraka.
Amin.

Denanz ... said...

wan,
mutu (motor) pancit takpa. jgn oghang hak bawak mutu tu pancit sudah la. haha.

Anonymous said...

Mujur kena di tayar belakang. kalau tayar depan haru...

benuasuluk said...

awangsulung,
ya, sekarang dah tukar pakai tayar mati, sport rim baru. Bila nak bayar, rasa macam nak mati. Haha.

Syeikh Sham,
Ye, kita akan ke sana. Moga semuanya selamat. Amin.

Che Nan,
kadang-kadang bila mutu pancit tengah jalan, maka tuan mutu pun akan jadi pancit jugak. haha.

jebat,
ye, memang haru kalau kena tayar depan. Mau terpacak kepala jadinya saya. Mujur semuak ok.