YANG "MENGERIKAN"
BEBERAPA minggu sudah, saya terlibat dengan sesi temuduga pengambilan pelajar-pelajar baru ASWARA bagi sesi akademik 2008/2009. Kalau dulu temuduga hanya di peringkat diploma, kini bertambah dengan pengambilan ijazah. Saya sebolehnya kalau dapat tak ingin menjadi panel temuduga. Rasa macam tak layak. Dan saya pun jenis yang agak susah nak menilai orang. Di tambah dengan selalu terngiang-ngiang kata-kata kawan saya, "kita jenis yang tak ada sarjana." Macam jauh je bunyi kata-kata tu. Entahkan rajuk entahkan kecil hati.
Tapi, itulah kerja saya sejak bekerja di sini. Dah masuk beberapa tahun pengalaman temuduga pelajar (khususnya untuk bidang penulisan), saya seperti sudah mangli. Dan tak perlu berfikir banyak. Kalau di peringkat awal dulu, rasa ngeri sebab tak ada pengalaman temuduga orang. Bila dah lama-lama ni, timbul rasa "ngeri" yang lain.
Percaya atau tidak, kebanyakan calon yang saya temuduga mempunyai asas yang sangat lemah berkaitan dengan pembacaan. Malah yang mengejutkan, ada yang tidak tahu langsung dengan bidang yang dipohon. Malah, kadang-kadang yang terlontar daripada mulut mereka sangat mengerikan.
Setahun dua dulu saya pernah bertanya, berapa orang Sasterawan Negara yang kita ada? Dengan yakin (ingat, bila berhadapan dengan penemuduga, kita mesti yakin) calon ini menjawab, "ada ramai SN kita." Saya acah lagi, betul ke ramai? Dia jawab, "Iya, ramai. Tapi sebab dah ramai sangat, saya tak dapat ingat semua." Saya jolok lagi, berapa ramai yang kita ada. Dia jawab lagi, "80." Saya tersedak, "Maik aii, 80 mana cukup," saya mengusik lagi. Dengan selamba, dia menambah, "sebenarnya, ada ramai, Encik. Saya agak-agak je 80. Sebenarnya lebih dari 80." Saya sakat lagi, berapa ramai SN yang awak kenal, tolong sebutkan saya nama. Dapat sebut 30 SN dari 80 pun dah cukup. Dia jawab "antara yang saya ingat Ah***iat ***s*ah, Ai**a **fe* bla bla bla. Oh Ya satu lagi yang ada janggut tu, Samad kot nama dia."
Saya diam sekejap. Masa tu kalau malaikat maut datang, saya nak "sujud" minta cabut aja dulu nyawa budak ni. Saya takut kalau dia masuk ASWARA nanti, umur saya "koi" pendek. Dalam banyak-banyak nama dia sebut, Pak Samad duduk di hujung sekali. Sejak hari tu, kalau ada temuduga lagi, saya tak berani bertanya lagi berapa orang SN yang kita ada. Saya takut nanti Sinaganaga pun mereka cakap SN. Saya hanya bertanya soalan yang dasar saja. Tapi itupun masalah juga. Soalan dasar bila hendak masuk Fakulti Penulisan mestilah berkaitan dengan dunia penulisan. Kalau nak cakap pasal lagu, baik saya suruh kawan saya, Amran PKNK. Dia suka teka-teka lagu zaman sekolah dulu.
Pembacaan pun satu hal lagi. Saya taklah kata saya baca banyak mana pun. Tapi sekurang-kurangnya nak jadi penulis, kenalah baca apa-apa buku. Bila tanya bila kali terakhir baca buku, nun dia jawab dah lama tak baca, kali akhir baca sebelum ambil SPM, atau STPM. Buku-buku sastera saya tak minat baca. Saya pun membentak, kalau tak suka baca, buat apa nak jadi penulis? Pi lah jadi apapun. Jurumeter pun kena baca - baca meter. Inikan nak jadi penulis. Bila tanya apa buku yang dibaca, jawabnya mudah saja - sudah tak ingat judul dan nama penulisnya. Baru-baru ini ketika temuduga di Zon Utara, saya bertanya lagi tentang pembacaan. Disoal saya oleh salah seorang calon, "Kena baca ke, Encik?" Saya hampir pitam, dan hampir terjatuh dari kerusi. Saya memujuk hati, kenalah baca jawab saya, awakkan nak jadi penulis tersohor nanti. Dijawabnya, "takpelah, nanti saya masuk ASWARA, saya akan baca!"
Saya tak peduli apa respon pelajar-pelajar ASWARA (khususnya budak-budak saya di Fakulti saya). Saya pun jenis yang tak disukai oleh semua pelajar saya pun. Lazimnya saya jenis yang diam. Malas bercakap. Kalau mesyuarat pun saya yang paling diam. Tapi kalau saya bercakap benda-benda yang tak betul dan menyakitkan nurani saya, orang akan sakit hati pula dengan saya. Baik saya diam. Saya pernah cabar budak-budak Penulisan dengan kata-kata awak semua masuk ke sini sebab dah tak ada peluang ke tempat lain. Awak hanya nak diploma dan ijazah saja. Yang lain awak tak peduli. Kalau cakap saya salah, tolong buktikan yang awak bukan jenis kategori "ikan mata merah." Ada yang terima cabaran dan cuba buktikan. Ada yang tak dapat terima. Malah ada pun yang tak nak bertegur lagi dengan saya. Saya peduli apa. Saya tak rugi pun. Niat saya baik.
Bila difikirkan balik, saya tak salahkan pelajar kita seratus peratus dalam bab ini. Puncanya, dari sekolah lagi mereka telah diberi jalan yang salah. Sastera kita dimusuhi dan cuba dibunuh pelan-pelan. Kementerian Pelajaran kena bertanggungjawab dalam hal ini. Hello orang di sana, apa salah dan dosa dengan peradaban kita? Sastera kita dirosak dan dimusnah secara senyap di sekolah-sekolah. Bila sastera perlahan-lahan ditolak ke tepi, pelajar kita akan lumpuh pengetahuan tentang segala peradaban kita. Sebab itu saya termasuk dalam golongan orang yang bermasalah bila pelajar-pelajar baru masuk ke ASWARA. Kena didik dari awal semula. Padahal saya bukan pensyarah pun. Saya dipanggil Penolong Pengarah/Penyelaras Fakulti di sini. Tolong-tolong ngajar adalah. Saya bukan ada sarjana nak jadi pensyarah. setahun dua ini saja "dipaksa" mengajar, sebab ada bidang yang saya boleh "masuk."
Ada yang kenal dengan karya-karya "mahakarya cinta" saja (di sini mereka popular dengan ungkapan saya: "cintaku tergolek di tepi paya"). Adik-adik ASWARAku, saya tak peduli kalau anda marah. Ini pengakuan jujur saya. Saya berazam selepas ini tak akan bertanya lagi berapa orang SN kita, apa buku yang awak baca, bila kali terakhir baca. Tapi susah, itulah soalan asas saya bila berhadapan dengan saya. Sastera kita perlu kembali ke akar, kembali ke sumber. Sekolahlah tempatnya. Cikgu-cikgulah pembimbingnya. Kurikulumlah obornya. Kalau kita berniat untuk terus menjadikan peradaban kita seperti musuh dan perlahan-lahan kita membunuhnya - maka kitalah yang mencipta "jenayah" kepada peradaban kita.
Kalau bercakap tentang ini kepada Wak Leman di Rengit atau Mok Jah di Tumpat atau Pak Bakar di Sik, saya tidak risau dan tak perlu gundah gulana. Tapi kalau saya bercakap dengan pelajar dan orang-orang akademik, ada sarjana tetapi tidak faham apa-apa tentang apa yang saya cakapkan seperti di atas - maka saya berasa sedih dan risau!.
8 comments:
salam sasterawan,
hang cuba teka nih lagu sapa?
SUATU HARI NANTI KAU KAN TAHU SUCINYA CINTAKU,KAU AKAN MENANGIS DAN KAU SEBUT NAMAKU SELALU....fuhhh hang tauka aku dengar lagu nih meleleh air peluh ketiak aku ayaq mata kendian baru dia meleleh.tapi kalau hang nak tahu lirik lagu apa hang pi cari sendiri la.kalau aku jadi panel penemuduga aku nyanyi suruh depa teka yang nih lagu apa yg tuh lagu apa.
hang buat aku teringat kat cikgu mohamad dengan cikgu ahmad waktu kita di smdso,teringat juga aku kat cikgu mat amin dgn cikgu nasir.aku tahu hang cuma teringat kat saja saja hang bukan teringat kat cikgu sastera kita yang hang tau saja saja.
budak-budak mana yang hang interview tuh,kalau aku halau pi berambus jer,ahadiat akasah the popular novelis tuh depa sumbat dalam SN,puihhhh kalau dia sebuat FT oklah juga,nih hang suruh depa bagai senarai buku-buku FT.aku jumpa FT kat pesta buku hari tuh ada dua tiga kerat aku sembang dgn dia.nampak lembut jiwa kental keras dan berbisa penuh dgn minda yg ilmiah setiap penulisannya adalah pelajaran.itu baru penulis.kalau nak menulis selain dari bakat ilmu pembacaan yang mendalam dan meluas adalah subjek utama kalau nak bgs lagi kita kena kuat berkhayal bukan rayan iyer berkhayal.
aku setuju peringkat sekolah lah yang menjadikan budak-budak tuh jadi bengap sastera.hang tak payah tanya tentang lingkaran sastera hang tanya kat depa harga minyak petrol malaysia dgn indonesia sekarang nih petrol sapa lagi murah malaysia naik brp persen harga minyak indon naik brp persen.huh hang tanya soalan tuh pun dah cukup.
cuba hang melawat jiwarasa dgn tehranifaisal.blog aku rasa hang dah pi kot.seorang tua di kaki gunung aziziabdullah pun ada.kassim ahmad.blogspot pun ada kalau nak tgk dlm nih jenuh belambak.
buku hang aku takdan pi cari lagi.nanti aku pi tengok.
kita bacalah apa saja setiap kali kita baca kita akan rasa bodoh kerana kebodohan yg kita dapat itu akan membawa kita kepada kecerdikan bijaksana bijaksini serta bijaksana sinun.
rajin2 update blog noooo...hang jgn dok suruh budak hang tlg tulis pula.hahhh jgn jadi katak alaska.
Sdr. Awang,
Fuh komen berjela. Hang dah bole buat entri ni.Blog-blog yang hang suruh baca tu semua kawan-kawan aku.
Saja? Saja tuh sapa? Saja? Tak ingatlah. haha.
bagus lah wan dah ada blog sendiri. bila awak tulis tentang beberapa perkara baru kita boleh baca apa yang awak rasa dan alami. kalau takda laman ni agaknya awak makan hati sorang-sorang. bagus jugakan ada blog sendiri, orang suka atau tidak tidak depa punya hal yang penting kita ada buat catatan untuk diri kita. Tidak perlu ada intention nak jadi blog popular.
Ce'kem yang baik,
Terima kasih atas kunjungan dan terima kasih kerana faham masalah kami di Penulisan. Kita masing-masing ada masalah sendiri, kan? Yang penting niat kita betul.
Oh ya, blog ini bukan untuk tujuan popular, sekadar menjadi "peneman" saya saja; kala gembira, kala sedih, kala terisi, kala sunyi. Salam!
Salam Wan,
Ini betul-betul mengerikannnnn!Lebih ngeri dari segala filem sundel bolong,nyi roro kidul,kuntilanak beranak dalam kubur dan 40 hari bangkitnya pocong!
Antara soalan interbiu aku sebelum masuk ASK tahun 97 dulu-apakah nama sebenar Kala Dewata?Sambungkan pantun 'limau purut lebat di pangkal...', siapa yang belum menerima SN,siapa bukan penerima SEA write dan soalan bonus dari En.z-apakah tajuk sajak Zurinah Hassan yg dijadikan lagu oleh kumpulan Harmoni dan tahun bila sajak tu terbit?
Soalan2 di atas bukan soalan asas.Cuba hang tanya balik kat student hang.Sampai ada 80 org SN nanti pun belum tentu depa boleh jawab.Kak Nisah ada ulas pasal '80 orang SN' tu dalam blog dia.
Kat UPM ni pun sama.Dlm 100 lebih studentku yg tercinta bakal guru BM/Sastera Melayu, adalah 2 orang je yg boleh bercakap pasal novel Mahabbah,FT,Teori Persuratan Baru,kenal siapa Hashim Awang,kenal siapa Sahlan Mat Saman bla bla.Yang lain-lain tu beza lirik lagu dengan lagu puisi pun tak tahu nak explain.
Oh,sungguh mengerikan!
Rai,
Memang ngeri akhir-akhir ini. Kita tahu tahu di mana kelemahannya. Tapi, sayang kita tak mampu. Kita terbelenggu oleh segala sistem.
Memang ngeri lagi mengerikan.
Bdk2 sekarang ...
Sdr. Zaid,
terima kasih kerana singgah. Tak boleh cerita banyak-banyak pasal "ngeri" nanti orang aswara marah, saya kena letak jawatan sebagai penulis blog termuda.
Post a Comment